Jalan tutup di Persiaran Alam Damai untuk kes kren tumbang, lencongan dibuka
Mersita ยท Mar 23, 2021 02:00 PM
0
0
Tragedi yang berlaku pagi semalam membabitkan struktur kren projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang tumbang berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur telah mengakibatkan banyak kerosakan serta tiga buruh asing maut di lokasi kejadian.
Sebuah Perodua Bezza juga ditimpa sebahagian daripada kren gantri tersebut sehingga menyebabkan pemandunya iaitu lelaki warga tempatan cedera parah yang kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.
Susulan kejadian itu, pihak Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) membuka lencongan dan menutup jalan di Persiaran Alam Damai bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan di lokasi kemalangan bermula semalam sehingga hari Ahad (28 Mac 2021).
SUKE mengumumkan pengguna kenderaan dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang ingin menuju ke Alam Damai akan dilencongkan ke Jalan Cerdas (Pasar Malam Taman Connaught) untuk keluar ke Jalan Alam Damai berhampiran OCBC Bank melalui kawasan bangunan Altitude 36.
Semasa penutupan dijalankan, hanya penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran penutupan (Mandarina, Puncak Banyan Condominium, Altitude 236 dan penduduk yang terlibat) sahaja yang dibenarkan menggunakan laluan tersebut.
Arahan laluan untuk penduduk kondominium sekitar lokasi kejadian. Pandu berhati-hati
Pengawal trafik lalu lintas, kon keselamatan, papan tanda amaran dan tunjuk arah akan diletakkan di sepanjang laluan terlibat.
Orang awam dinasihati untuk mematuhi papan tanda arah, had kelajuan, keselamatan, serta arahan kakitangan bertugas untuk perjalanan yang lancar dan selamat. Gunakan laluan alternatif yang dicadangkan bagi mengelakkan kesesakan.
Orang awam boleh menghubungi talian bebas tol 1300 88 9922 untuk maklumat lanjut.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.