Juara Asia curah ilmu, gilap bakat muda menerusi AS25 Academy Racing Team!
Khairil ยท Feb 24, 2022 07:00 PM
0
0
Sesiapa yang meminati arena sukan permotoran dua roda negara pasti tidak asing dengan nama Azlan Shah Kamaruzaman. Pelbagai kejayaan berjaya dikecapi pelumba negara ini bukan saja di pentas domestik, namun antarabangsa.
Selain pernah bersaing di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 bersama pasukan Honda, Azlan adalah juara Asia di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
Dengan dua gelaran juara keseluruhan kelas elit 600 cc yang diraih pada 2013 dan 2017, Azlan juga adalah penyandang juara Asia ARRC dalam kelas perdana ASB1000 yang baru ditubuhkan pada 2019 lalu menggunakan jentera BMW.
Dan sebagai cara untuk 'memberi kembali' kepada arena sukan permotoran negara, pelumba dengan gelaran 'The Pirate' itu menubuhkan pasukan AS25 Academy Racing Team bagi menggilap bakat-bakat muda tempatan.
Sebagai permulaan, pasukan itu akan beraksi pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini dalam kelas Wira.
Lebih menarik, pasukan AS25 Academy Racing Team bakal diisi seorang pelumba muda lelaki dan wanita.
"Idea ini sudah lama cuma nak mulakan tak tahu bila. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk menubuhkan pasukan pada waktu ini," kata Azlan yang kini berusia 37 tahun memetik laporan BHarian.
Tidak meletakkan sasaran yang rendah, Azlan yang mendapat sokongan Boon Siew Honda meletakkan sasaran untuk memburu kejuaraan kelas Wira namun pelumba wanita masih dalam proses pembelajaran.
Mengulas lanjut, Azlan berkata pasukannya masih dalam proses mencari lebih banyak penaja.
"Penaja utama masih belum ada lagi. Buat masa ini, ramai yang menaja daripada sudut produk, kewangan masih belum ada lagi dan kami sentiasa membuka ruang untuk penaja bersama-sama dengan pasukan," katanya.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.