Julat harga RM 38.6k - RM 49.5k, Perodua Axia 2023 D74A 13% lagi mahal berbanding sekarang
Faisal · Jan 31, 2023 03:00 PM
Perodua X Concept.
Dalam hari yang sama Perodua mengumumkan pembukaan tempahan buat Perodua Axia 2023 D74A, mereka juga mengumumkan harga tentatif yang mana ia bermula dari RM 38,600 – RM 49,500 (tanpa insurans).
Secara amnya, Axia D74A ditawarkan dengan varian G, X, SE dan AV, kiranya dua varian kurang berbanding Axia yang anda lihat di jalan raya sejak tahun 2014.
Bercakap mengenai ini, harganya juga 11 – 13% lagi mahal. Kalau anda nak tahu, harga Axia 1.0 G sebelum ini bermula dari RM 33,490 (RM 5,000 lagi murah).
Untuk varian teratas iaitu AV, harga Axia D74A masih di bawah takuk RM 50,000 tetapi model sebelum ini hanya berharga RM 43,190. Menariknya, julat harga Axia D74A varian AV sudah bertindih dengan Myvi 1.3 G (dengan PSDA) yang mana ia bermula dari RM 48,500.
Mesti anda terkejut kenapa harga model permulaan Perodua pun dah setinggi ini. Kalau anda nak tahu, tekanan inflasi telah menaikkan harga bahan mentah tetapi Perodua sebenarnya menyerap segala kenaikan kos. Jadi, kenaikan harga tersebut adalah disebabkan saiz (penambahan besi) dan kelengkapan yang dipertingkatkan.
Maksud kami di sini adalah penambahan ciri seperti lampu LED, infotainment 7 inci, ESC sebagai standard, ADAS PSDA (Perodua Smart Drive Assist) dan penawaran sehingga 6 beg udara. Penggunaan petrolnya pun boleh pergi sampai 27.4 km/L.
D-CVT pada Myvi facelift.
Dari segi teknikal, Axia generasi D74A akan menggunakan transmisi D-CVT tetapi pilihan manual 5 kelajuan akan ditawarkan kemudian.
Enjinnya pula kekal dengan unit NA 1KR-VE 1.0L 3 silinder.
Jadi, secara keselutuhan, adakah kenaikan harga ini boleh membuat pembeli berpaling ke model lain? Sama-samalah kita tunggu.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen