Kawasaki All Star pertama Malaysia dirasmi, pusat 4S Kawasaki kini di Shah Alam!
Khairil · Mar 18, 2023 07:30 PM
Kawasaki Malaysia menerusi Edaran Modenas Sdn Bhd (Emos) merasmikan pusat sehenti lengkap dan komprehensif jenama itu dikenali Kawasaki All Star, hari ini yang bertempat di Shah Alam.
Sebagai info, Kawasaki All Star adalah pusat sehenti lengkap 4S berkeluasan 14,000 kaki persegi yang merangkumi pusat jualan, alat ganti, servis dan pameran termasuk turut menjual aksesori dan kelengkapan penunggang tulen Kawasaki.
Ia dikendalikan oleh pemain industri motosikal yang tidak asing di Malaysia, Chear Motor.
Lokasi dan alamat Kawasaki All Star adalah seperti berikut:
Chear Motor, No. 46, Jalan 15/22, Taman Perindustrian Tiong Nam, Seksyen 15, 40200 Shah Alam, Selangor.
Ketika pelancarannya, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata pihaknya berbangga dengan pembukaan Kawasaki All Star pertama negara yang menunjukkan kesungguhan jenama itu di pasaran tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan
"Hubungan perniagaan yang kukuh, berdaya saing dan tulen sentiasa menjadi tonggak penting dalam kejayaan mana-mana syarikat. Saya percaya bahawa nilai dan kejayaan sebenar untuk kami di Modenas terletak dalam hubungan yang dibina di kalangan rakan kongsi perniagaan kami dan pengguna," kata Roslan.
Mengulas lanjut, Roslan berkata Modenas dan Kawasaki sememangnya komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan Kawasaki All Star Shah Alam hanyalah salah satu dan pertama seumpamanya di Malaysia ketika ini dan akan ada lebih banyak bilik pameran sebegitu dibina tidak lama lagi.
Seperti pusat sehenti lengkap lain, Kawasaki All Star mempamerkan pelbagai jenis motosikal Kawasaki yang tersedia di Malaysia bermula dari kelas 250 cc hingga berstatus Superbike.
Antara model Kawasaki yang terkini dipamerkan adalah seperti Kawasaki Z900RS, Kawasaki Ninja 1000SX, Kawasaki Ninja ZX-10R, dan Kawasaki Versys 1000.
Ia termasuklah tiga model yang menggunakan lencana Modenas iaitu Modenas Ninja 250/250 ABS, Modenas Z250 ABS dan terbaharu Modenas Vulcan S ABS (2023).
Justeru, dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, ia memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat dan membeli motosikal Kawasaki dan produk yang berkaitan jenama itu di bawah satu bumbung yang mencetuskan pengalaman mengujakan.
Turut hadir ketika majlis berkenaan adalah Ketua Komunikasi Strategi Kumpulan DRB Hicom, Mahmood Abdul Razak Bahman, Pengarah Urusan Chear Motor Resources Group, Dato’ Chear Kin Keong dan Ketua Pegawai Pemasaran Modenas, Yusaku Kashiwagi.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen