Kawasaki siar video acah model retro terbaharu, mungkinkah Z650RS!
Khairil ยท Aug 26, 2021 02:00 PM
0
0
Kawasaki sememangnya dianggap cemerlang dalam penghasilan jentera bergaya retro-moden dengan rekaan menarik. Antara buktinya termasuklah model W800 dan Z900RS yang memperoleh deretan maklum balas positif.
Malah, model Z900RS 2021 menjadi motosikal pertama dibeli oleh juara dunia WSBK, Jonathan Rea selepas pelumba Britain itu memperoleh lesen motosikalnya.
Sejak beberapa tahun, timbul desas-desus yang menyatakan Kawasaki akan menghasilkan model dengan gaya sama namun bersesaran lebih rendah menerusi Z650RS.
Dan perkembangan terbaharu mengenainya, jenama Jepun itu menyiarkan satu video acah di laman rasmi YouTubenya yang cukup selari dengan model berkenaan.
Jika berdasarkan video berdurasi 16 saat itu, tidak begitu banyak informasi dapat diambil kerana tiada sebarang imej motosikal berkenaan ditunjukkan.
Namun 'tagline' yang digunakan iaitu 'Retrovolution' iaitu gabungan Retro dan Evolution sememangnya memberikan petunjuk ia adalah model dengan gaya berkenaan.
Menerusi video acah itu juga, ia memberi petunjuk model ini mungkin akan dilancarkan sebagai model 2022.
Jika ia adalah model Z650RS, trenkuasanya juga dikatakan akan datang daripada enjin bersesaran 649 cc, 8 Injap, 2 Silinder, DOHC yang turut digunakan beberapa model popular lain seperti moden 'naked' Z650, Ninja 650, Versys 650 dan Vulcan S.
Enjin berkenaan sudah cukup baik dan berupaya menghasilkan 69 Hp dan tork sekitar 64 Nm. Dengan angka berkenaan, ia pastinya lebih berkuasa berbanding satu lagi jenama popular dalam segmen berkenaan iaitu Royal Enfield Interceptor 650 yang hanya menghasilkan sekitar 47 Hp dan tork 52 Nm.
Dari sudut reka bentuk pula, Z650RS dijangka akan mirip 'abangnya' Z900RS yang sememangnya cukup elegan dan turut dilengkapi dengan pelbagai perkakasan moden dan canggih yang pastinya mengujakan. Anda tidak sabar? Ya kita serupa.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.