Kebaikan & Keburukan: Honda BR-V, lebih baik dari Mitsubishi Xpander?
Faisal ยท Dec 3, 2020 05:00 PM
0
0
Kebaikan:
Paling berkuasa di dalam segmen
Sangat menjimatkan minyak
Keseimbangan dari segi keselesaan dan pengendalian
Keburukan:
Kabin yang bising
Ciri keselamatan dan kelengkapan yang sederhana
Tidak praktikal seperti Mitsubishi Xpander
Sewaktu Honda Malaysia merasmikan Honda BR-V pada tahun 2017, ramai keliru bahawa adakah ia sebuah MPV atau SUV.
Sebenarnya, ia adalah sebuah SUV memandangkan Honda Mobilio di Thailand dan Indonesia adalah sebuah MPV yang dihasil berdasarkan Honda BR-V. Tambahan pula, Honda BR-V diklasifikasikan sebagai SUV di Kastam Malaysia.
Pada awal tahun 2020, SUV 7 tempat duduk ini telah menerima pembaharuan dari segi gaya dan kelengkapan.
Maka itu, mari kita pelajari kebaikan dan keburukan yang dimiliki oleh Honda BR-V.
Kebaikan – Paling berkuasa di dalam segmen
Menguasai Honda BR-V ialah enjin petrol 1.5L SOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi CVT. Tren kuasa ini mirip Honda City generasi sebelum ini dan Honda Jazz di pasaran kita sekarang.
Dengan 120 PS dan 145 Nm tork, ia lebih berkuasa daripada Mitsubishi Xpander (105 PS/141 Nm tork) dan Perodua Aruz (102 PS/133 Nm tork).
Perbandingan output enjin
Model
Kuasa (PS)
Tork (Nm)
Honda BR-V
120
145
Perodua Aruz
102
133
Mitsubishi Xpander
105
141
Kebaikan – Sangat menjimatkan minyak
Walaupun Honda BR-V paling berkuasa di segmennya, ia masih memberikan penjimatan minyak yang cemerlang. Faktor transmisi CVT memainkan peranan dalam kelebihan ini.
Menurut ujian kami, Honda BR-V berupaya mencatat penggunaan minyak sebanyak 7.5 liter/100 km. Angka ini menjadikannnya antara kereta 7 tempat duduk yang paling efisien.
Walaupun Proton Exora yang lebih besar turut menggunakan transmisi jenis CVT, ia tidak efisien sama sekali kerana enjin turbo yang menggunakan suntikan port (bukan teknologi moden yang menggunakan direct injection).
Kebaikan – Keselesaan dan pengendalian yang paling seimbang
Di dalam saingan SUV segmen B, Honda BR-V memberikan keseimbangan yang paling baik dari segi keselesaan and pengendalian.
Dengan mengggunakan platform sedan/hatchback, ia memberikan mutu pemanduan dan perjalanan yang lebih baik daripada Perodua Aruz.
Walaupun Perodua Aruz/Toyota Rush menggunakan susunan suspensi multi-link (torsion beam pada Honda BR-V), mereka tidak memberikan kelesesaan seperti Honda BR-V memandang mereka menggunakan platform ladder frame. Untuk maklumat anda, platform ini sesuai untuk mengangkut kesemua 7 penumpang pada keadaan jalan yang mencabar seperti di Indonesia tetapi untuk jalan yang rata, ia tidak berapa selesa.
Keburukan – Kabin yang bising
Walaupun cukup selesa, Honda BR-V tidak mempunyai kekedapan kabin yang baik (sifat yang sama seperti City dan Jazz).
Berdasarkan ujian kami, Honda BR-V mencatatkan bacaan 71 dB pada kelajuan 110 km/j. Angka ini menjadikannya antara yang terbising di segmennya.
Jika dibandingkan dengan kembar Perodua Aruz/Toyota Rush, mereka mencatatkan bacaan 70 dB pada ujian yang sama. Untuk pengetahuan anda, Proton Exora yang berada di segmen C turut mencatatkan bacaan yang sama.
Keburukan – Ciri keselamatan yang sederhana tetapi lebih kurang Xpander
Tidak seperti Perodua Aruz/Toyota Rush, ciri keselamatan pada Honda BR-V agak ketinggalan dimana ia hanya menawarkan 2 beg udara dan kawalan kestabilan.
Sebagai perbandingan, Perodua Aruz/Toyota Rush menawarkan 6 beg udara secara standard dan ciri brek kecemasan automatik (AEB).
Keburukan – Ciri tidak sebanyak dan tidak praktikal seperti Xpander
Perkara ini mungkin mengejutkan anda tetapi kehebatan Honda dalam menghasilkan susunan kabin yang praktikal telah diungguli oleh Mitsubishi Xpander untuk saingan ini.
Selain tempat meletak barang dan botol minuman yang banyak, Xpander juga menawarkan ruang storan di bawah kerusi penumpang depan. Malah ia mempunyai tempat penyimpanan rahsia di but belakang. Selain itu, Xpander mempunyai perehat tangan (armrest) di konsol tengah yang mempunyai storan penyimpanan yang cukup besar.
Di samping itu, Mitsubishi Xpander hadir dengan kamera 360-darjah beserta sistem multimedia yang mempunyai sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.
Konklusi
Sewaktu Honda Malaysia melancarkan Honda BR-V pada tahun 2017, SUV 7 tempat duduk ini mempunyai rekaan SUV yang segak, kawalan kestabilan, dan prestasi di dalam satu pakej yang rapi dimana ia sesuatu yang tidak ada pada pesaing lain ketika itu.
Namun begitu, dunia telah berubah.
Dengan pelancaran Perodua Aruz, sukar untuk Honda BR-V menyerlah memandangkan pembeli boleh mendapat sesuatu yang lebih berbaloi pada harga yang jauh lebih murah.
Mitsubishi Xpander juga berupaya mengungguli Honda BR-V memandangkan ia berharga lebih murah tetapi masih menawarkan ciri dan kelengkapan yang lebih banyak kepada pengguna.
Maka itu, sukar untuk Honda BR-V mendapat tempat di pasaran kini. Keluarga yang mengutamakan keselamatan sudah tentu akan membeli Perodua Aruz atau Toyota Rush, manakala mereka yang mengutamakan praktikal akan memilih Mitsubishi Xpander.
Tetapi untuk mereka yang mengutamakan keselesaan pemanduan dan penjimatan minyak, Honda BR-V ialah pilihan yang baik cuma jangan harapkan sesuatu yang lebih daripada itu.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.