Kebaikan & Keburukan: Honda City 1.5V – paling luas di segmen tapi tiada AEB?
Faisal · Feb 15, 2021 08:00 PM
0
0
Sebelum ini, kami pernah rumuskan mengenai Honda City 1.5V sebagai varian yang paling berbaloi untuk dibeli. Itupun sebelum Honda mengumumkan harga rasmi buat varian RS. Apapun, kami telah ringkaskan varian yang ditawarkan pada Honda City seperti berikut:
Bagi mana yang sedang mempertimbangkan Honda City 1.5V ini sebagai kereta baru anda, mari kita mulakan rencana khas untuk sedan segmen B ini.
Untuk maklumat anda, Honda City tidak pernah selesa seperti sekarang. Kali ini, suspensinya terasa cukup empuk, hampir sama seperti Toyota Vios.
Berbanding Honda City (GM6) terdahulu, model sekarang terasa lebih tegap apabila melalui permukaan yang tidak rata. Malah, ia mempunyai watak yang santai ketika melalui jalan beralun. Secara keseluruhan, ia memiliki karakter pemanduan yang lebih matang.
Kebaikan – Kabin paling luas di kelas
Honda City terdahulu terkenal dengan ruang kabin yang paling luas di segmen B. Kali ini, Honda City masih mengekalkan status tersebut.
Di tempat duduk belakang, ruang kaki penumpang yang berketinggian 175 cm boleh memuatkan sebanyak 2 bola tenis. Ruang kepala pula boleh memuatkan 1 bola tenis.
Kebaikan – Sistem kamera Honda LaneWatch
Untuk maklumat anda, Honda City 1.5V tidak didatangkan dengan ciri amaran titik buta. Sebaliknya, ia hadir dengan sistem Honda LaneWatch. Ciri ini menggunakan kamera di cermin sisi kiri untuk paparkan imej buta di skrin infotainment.
Untuk pengetahuan anda, hujan lebat, terutama ketika waktu malam boleh mengurangkan keberkesanan amaran titik buta kerana kejelasan cermin sisi dihalang oleh tompokan air hujan.
Pengihatan titik buta yang lebih jelas melalui ciri Honda LaneWatch
Dengan menggunakan teknologi kamera, sistem Honda LaneWatch memberikan visual titik buta dengan jelas walaupun dengan cuaca yang tidak mengizinkan.
Kebaikan – Menjimatkan minyak
Kami telah jalankan dua ujian penggunaan minyak melalui dua keadaan trafik yang berbeza. Secara keseluruhan, Honda City mencatatkan penggunaan realisitik sekitar 6.3 liter/100 km.
Walaupun bacaannya tidak seperti yang disahkan oleh Honda, ia sebenarnya cukup mengagumkan. Sebagai perbandingan, Perodua Bezza yang terkenal dengan penjimatan minyak juga mencatat bacaan yang sama.
Keburukan – Pengendalian yang tidak berapa meyakinkan
Honda City terdahulu mempunyai keseimbangan yang baik dari segi keselesaan dan pemanduan yang sporty. Kali ini, talaan suspensi yang lembut sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pengendalian.
Disebabkan itu, body roll menjadi lebih ketara. Perkara ini boleh menjejaskan keyakinan pemandu untuk mengambil selekoh dengan rancak. Ditambah pula dengan stereng yang tidak berapa komunikatif, Honda City kali ini nampaknya lebih sesuai untuk dipandu secara santai.
Keburukan – Kabin yang lebih bising berbanding pesaing
Berdasarkan ujian kami, Honda City merekodkan bacaan sekitar 70 dB pada kelajuan 110 km/j. Sebagai perbandingan, Nissan Almera mencatat bacaan bunyi serendah 68 dB sahaja. Toyota Vios pula merekodkan bacaan sekitar 69 dB.
Tiada ciri brek kecemasan automatik
Seperti yang anda tahu, ciri bantuan keselamatan Honda Sensing hanya ditawarkan pada varian hibrid RS.
Sebagai perbandingan, Nissan Almera hadir dengan ciri brek kecemasan automatik secara standard. Ciri ini juga ditawarkan pada Toyota Vios 1.5G. Maka itu, Honda City agak kekurangan dalam aspek ini.
Konklusi
Honda City 1.5V mempunyai suspensi yang empuk dan kabin yang paling luas. Selain menjimatkan minyak, ia juga hadir dengan ciri Honda LaneWatch yang cukup berguna.
Namun begitu, talaan suspensi yang empuk memberi kesan terhadap pengendaliannya. Di samping itu, kabin yang luas tidaklah senyap seperti pesaing lain. Ciri bantuan keselamatan ADAS juga hanya eksklusif buat varian hibrid RS.
Walau apapun, Honda City patut berada di senarai teratas sekiranya anda mengutamakan aspek ruang dan keselesaan.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.