Kebaikan & Keburukan: Honda CR-V – luas dan praktikal, tetapi cukup ke?
Faisal · Feb 5, 2021 06:00 PM
Sesetengah kereta cukup menyerlah di kelasnya sehinggakan segmen itu sendiri digelar sebagai nama kereta tersebut. Begitu juga di Malaysia. Trak pikap? Toyota ‘Hailak’. Hothatch? VW Golf GTI. SUV? Tidak lain tidak bukan, Honda CR-V. Untuk pengetahuan anda, model inilah yang memulakan trend crossover harian. Kini, ia telah menjadi satu ikutan buat ramai.
Permulaannya suatu ketika dahulu
Tidak dinafikan bahawa Honda CR-V cukup berjaya sejak diperkenalkan kali pertama. Apa yang buatkan ia kekal teguh di pasarannya? Mari ikuti kebaikan dan keburukannya supaya anda kenal Honda CR-V secara keseluruhan.
Kebaikan:
Susunan kabin yang luar biasa
Kehebatan ciri Honda Sensing
Pembaikan dari segi keselesaan dan kesenyapan
Keburukan:
Bahan binaan di dalam kabin tidak sebagus pesaing
Kestabilan pemanduan dan pengendalian
Rupa paras eksterior
Kebaikan – Susunan kabin yang luar biasa praktikal
Dari segi praktikaliti, Honda adalah yang terbaik. Begitu juga dengan CR-V. Di setiap sudut, ada sahaja tempat untuk meletak barang.
Malah dari segi ruang, ia terasa sangat luas. Dari segi ergonomik pula, tiada sebarang isu yang dapat ditonjolkan oleh Honda CR-V. Untuk aspek ruang dan praktikaliti, pesaing lain terasa seperti dibawah satu segmen.
Selain itu, Honda CR-V juga cemerlang dari segi kemudahan penggunaan harian dimana pintu but yang mempunyai bukaan luas juga kini boleh dikawal tanpa tangan. Tidak cukup dengan itu, konsol tengah juga boleh memuatkan beg tangan wanita yang bersaiz besar.
Bukaan pintu but yang luas dan lantai yang cukup rendah memudahkan keluar masuk barang
Kebaikan – Honda Sensing
Talaan sistem bantuan keselamatan ADAS melalui rangkaian Honda Sensing pada Honda CR-V sebenarnya cukup tepat. Malah kawalan pelayaran adaptif dengan ciri Low-Speed Follow yang didatangkan juga terasa semula jadi dan tidak mengejutkan penumpang sama sekali.
Varian pacuan semua roda turut hadir dengan kawalan pelayaran adaptif
Untuk maklumat anda, ciri sebegini boleh memudahkan pemanduan harian anda, lebih-lebih lagi ketika merangkak di dalam trafik. Apapun, harus diingatkan bahawa teknologi sebegini hanyalah sebagai bantuan.
Kebaikan – Pembaikan dari segi keselesaan dan kesenyapan
Keselesaan perjalanan adalah antara aspek yang dipertingkatkan untuk model facelift. Sebelum ini, suspensi Honda CR-V terasa agak membuai dan tidak menyerap dengan begitu baik.
Untuk model facelift, Honda CR-V kini terasa jauh lebih selesa. Pada masa yang sama, Honda CR-V facelift hadir dengan ciri Active Noise Cancellation (ANC) untuk mengurangkan bunyi bising di dalam kabin. Tiada satu pesaing pun yang memberikan ciri sebegini.
Keburukan – Bahan binaan di dalam kabin tidak sebagus pesaing
Walaupun kami memuji pakej yang terdapat pada interior Honda CR-V, bahan binaan yang digunakan pula sebenarnya agak ketinggalan. Jika dibandingkan dengan Mazda CX-5, kabin ini terasa agak murah.
Segala permukaan yang sering disentuh oleh pengguna tidak cukup lembut. Malah suis dan tombol kawalan juga terasa agak kosong.
Selain Mazda CX-5, pesaing seperti Proton X70 dan Subaru Forester mempunyai interior yang terasa lebih premium.
Keburukan – Kestabilan pemanduan dan pengendalian
Dengan pembaikan aspek keselesaan, Honda CR-V agak kekurangan dari segi kestabilan dan ketegapan pemanduan, khususnya pada kelajuan tinggi. Tetapi untuk kelajuan bandar, ia tidaklah begitu ketara. Sebagai perbandingan, pesaing seperti Subaru Forester, Toyota RAV4, Mazda CX-5, dan Proton X70 mempunyai watak pelayaran yang lebih memuaskan.
Honda CR-V juga tidak berapa meyakinkan apabila mengambil selekoh.
Keburukan – Rupa paras eksterior
Dari segi visual, Honda CR-V tidaklah buruk. Cumanya, ia nampak agak kembung. Menurut kami, rupa paras sebegini nampak kurang tegap.
Jika diletakkan bersebelahan dengan pesaing, Mazda CX-5 akan nampak lebih mahal. Proton X70 pula akan nampak lebih kemas. Malah Toyota RAV4 dan Subaru Forester juga mempunyai bentuk sasa yang unik.
Konklusi
Walaupun dengan beberapa kekurangan, Honda CR-V masih ada kekuatan yang tersendiri. Pembeli di segmen ini kebiasaannya lebih mengutamakan aspek keselesaan, praktikaliti, ruang, dan kemudahan mengguna. Untuk pengetahuan anda, kualiti sebeginilah yang ada pada Honda CR-V.
Walaupun dengan rupa yang agak kekok dan kabin yang terasa kurang premium, Honda CR-V menepati citarasa dan kehendak pengguna dengan begitu baik sekali. Disebabkan inilah ia masih menjadi SUV segmen C yang paling laris di Malaysia.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen