Kebaikan & Keburukan Mazda CX-8: SUV dengan kerusi baris ketiga paling selesa dalam kelasnya?
Haris · Mar 27, 2022 06:00 PM
Mazda CX-8 adalah SUV 7-penumpang yang bersaing dengan model seperti Volkswagen Tiguan Allspace, Toyota Fortuner dan Hyundai Santa Fe. Jika anda mempertimbangkan Mazda CX-8, kami telah mencuba SUV ini lalu menyenaraikan beberapa kebaikan dan keburukan untuk pertimbangan anda di sini.
Sebagai rujukan, terdapat 4 varian Mazda CX-8, berharga dari RM 173,038 hingga RM 206,465 (OTR tanpa insurans dan SST, sah sehingga 30 Jun 2022).
Varian yang dibincangkan di sini ialah varian teratas 2.2D 4WD High, lantas berikut ialah gambaran ringkas tentang kebaikan dan keburukannya.
Kebaikan
Kabin dalaman yang mewah
Pengalaman memandu yang menenangkan
Tempat duduk baris ketiga yang selesa
Keburukan
Kurang efisien seperti yang dijangka pada enjin diesel
Sistem infotainment yang kelihatan lama
Tiada kawalan pelayaran adaptif
Kebaikan – Kabin dalaman yang mewah
Bahagian dalaman Mazda CX-8 banyak meminjam daripada Mazda CX-5. Pemilihan bahan dan kualiti binaan adalah yang terbaik. Semua titik sentuh dihiasai dengan sama ada kulit lembut atau plastik lembut. Tempat duduk pula disudahi dengan kulit Nappa yang lembut.
Jika nak dibandingkan dengan model SUV 7-penumpang lain seperti Volkswagen Tiguan Allspace dan Toyota Fortuner, Mazda CX-8 merupakan pemenang dengan bahan premium yang setanding harga dan statusnya.
Kebaikan – Pengalaman memandu yang menenangkan
Tugas-tugas peredaman kabin terasa luar biasa. Tingkap hadapan dilapisi lapisan filem yang mengurangkan bunyi luaran dan bunyi angin pada kelajuan tinggi dengan ketara. Walaupun bunyi enjin hadir semasa memecut, namun ia cepat pudar ke latar belakang semasa pelayaran.
Cermin dengan lapisan filem di hadapan
Enjin 2.2 liter Skyactiv D adalah sebuah enjin yang sangat fleksibel dalam jalur kuasanya mengikut piawaian diesel. Kuasa disampaikan secara linear, menolak dengan daya yang cukup dari kira-kira 1,500 rpm dan seterusnya. Karakter ini menjadikan peningkatan kelajuan dan menyusuri trafik sebagai suatu urusan mudah.
Walaupun sistem gantungan mungkin tidak menyerap keadaan jalan yang tajam seperti Toyota Fortuner, ia masih terasa sedap di lebuh raya dan meluncur dengan baik di atas bonggol yang lebih besar, menjadikannya sebuah kenderaan penjelajah yang selesa.
Kebaikan – Tempat duduk baris ketiga yang selesa
Selalunya, tempat duduk baris ketiga dalam mana-mana SUV 7-penumpang agak sempit dan lebih sesuai untuk kanak-kanak. Namun hal ini sedikit berbeza untuk Mazda CX-8, di mana tempat duduk baris ketiga adalah antara salah satu ciri yang paling selesa dalam SUV ini.
Ketiadaan kusyen untuk sokongan paha tidak dapat dielakkan demi praktikaliti tetapi kusyennya secara keseluruhan cukup anjal dan penyandar juga boleh dilaraskan ke sudut yang selesa. Memang tidak mengecewakan.
Dari segi ruang, dengan tempat duduk barisan hadapan dan kedua ditetapkan pada jarak 25 cm - jarak tetapan kami untuk "ruang kaki biasa" - ia mampu memuatkan 1 bola tenis di ruang lutut dan ruang kepala yang cukup-cukup sahaja untuk orang dewasa berketinggian 177 cm. Buat masa ini, Mazda CX-8 memberikan ruang yang lebih berbanding pesaing lain.
Keburukan – Kurang efisien untuk sebuah diesel
Secara umumnya, enjin diesel didakwa lebih jimat minyak berbanding enjin petrol. Untuk Mazda CX-8 2.2D ini, Mazda mendakwa angka penggunaan bahan api 6.0 liter/100 km berdasarkan kitaran ujian NEDC.
Walau bagaimanapun, angka penggunaan minyak yang diuji pasukan editorial Wapcar mencapai sehingga 9.1 liter/100 km. Perlu diingat bahawa hanya terdapat seorang pemandu sahaja yang memandu ketika ujian kami, justeru jangkakan penggunaan minyak yang meningkat dengan lebih ramai penumpang.
Keburukan – Sistem infotainment yang kelihatan lama
Paparan infotainment 7-inci kelihatan ketinggalan zaman berbanding sistem baharu yang dilihat misalnya di dalam model Mazda 3 dan Mazda CX-30. Bingkai yang mengelilingi skrin juga kelihatan besar lalu menyebabkan skrin kelihatan lebih kecil. Selain itu, resolusi kamera 360 darjah juga dilihat agak rendah.
Keburukan – Tiada kawalan pelayaran adaptif
Satu masalah terakhir yang kami dapati pada Mazda CX-8 ini ialah ketiadaan kawalan pelayaran adaptif, walaupun dalam varian Mazda CX-8 2.2D High yang paling atas ini. Ia mungkin bukan sesuatu kekurangan yang besar buat sesetengah pembeli tetapi Mazda CX-8 tentunya akan menjadi pakej yang lebih menarik dengan kawalan pelayaran adaptif (Adaptive Cruise Control).
Walaupun begitu, ia menampilkan sokongan Smart City Brake (AEB) dengan Pengesanan Pejalan Kaki, Pemantauan Titik Buta, Amaran Trafik Belakang, Amaran Pertukaran Lorong dan Bantuan Kekal Lorong. Seperti yang dinyatakan, Mazda CX-8 hanya kurang satu ciri lagi daripada mendapat sebuah pakej suite lengkap ADAS.
Konklusi
Kesimpulannya, Mazda CX-8 mempunyai kabin dalaman kelas atasan, pengalaman pemanduan yang santai, dan salah satu kerusi baris ketiga yang paling selesa dalam sebuah SUV. Walau bagaimanapun, penggunaan bahan api tidaklah serendah yang dijangkakan daripada enjin diesel, sistem infotainmen pula kelihatan ketinggalan zaman, dan ketiadaan kawalan pelayaran adaptif yang terasa lopong dalan suite ADAS yang ditawarkan.
Jika anda sedang mencari SUV yang boleh memuatkan 6/7 penumpang dengan selesa dan mempunyai kabin premium, maka Mazda CX-8 sepatutnya berada di angka teratas dalam senarai pendek anda.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen