Kenapa lampu ABS saya menyala? Apa pula penderia kelajuan roda?
Mersita · Mar 13, 2021 02:00 PM
Salah satu lampu amaran yang dibekalkan di dalam kereta anda ialah lampu amaran ABS. ABS ialah singkatan bagi ‘Anti-lock Braking System’ dan ia memastikan yang anda mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap kereta anda dalam situasi brek kecemasan.
Apa maksudnya apabila lampu amaran ABS menyala?
Melainkan anda nampak kebocoran cecair brek, satu punca paling biasa terjadi apabila lampu ABS menyala ialah penderia kelajuan roda (wheel speed sensor) yang rosak. Malah, beberapa jenama kereta dibelenggu dengan masalah ini berulang kali.
Mula-mula, periksa jika terdapat kebocoran cecair brek terlebih dahulu. Jika tiada sebarang kebocoran, lampu ABS tersebut menyala selalunya disebabkan oleh penderia kelajuan roda yang rosak.
Ada lagi sebab-sebab lain yang menyebabkan sistem ABS rosak, tapi ia jarang sekali terjadi.
Ada yang menggelar penderia kelajuan roda sebagai penderia ABS. Tapi, memandangkan ia juga berkait dengan sistem ESC kereta anda, kita panggil sajalah ia penderia kelajuan roda.
Apa itu penderia kelajuan roda (wheel speed sensor)?
Padan dengan namanya, ia merupakan penderia yang mengesan kelajuan roda. Keempat-empat roda kereta anda dilengkapi dengan penderia kelajuan ini.
Ia mempunyai gelung bergerigi dan penderia. Gerigi ini menembusi fluks magnet penderia tersebut dan anda boleh dapat kelajuan segera dari roda yang berputar.
Ada dua jenis penderia kelajuan roda – jenis pasif dan aktif. Yang pasif berfungsi melalui arus teraruh (induced current), manakala yang aktif pula hanya akan berfungsi dengan arus dibekalkan (supplied current).
Penderia kelajuan roda pasif menghasilkan gelombang sinusoidal secara normal. Gelung yang rosak akan mengganggu isyarat input. Gambar
Kedua-duanya berbeza dari segi penderiaan isyarat dan arah, tapi perbezaan asas yang perlu kita tahu adalah yang jenis pasif hanya berfungsi untuk ABS manakala jenis aktif boleh digunakan untuk ABS dan ESC sekali.
Penderia jenis aktif menghasilkan gelombang digital secara normal. Gegelung yang rosak akan mengganggu isyarat input. Gambar
Apa kaitan penderia kelajuan roda dengan ABS dan ESC?
Bagi membolehkan ABS dan ESC berfungsi, kereta perlu tahu betapa lajunya setiap roda berputar dalam masa sebenar bagi memberi tekanan brek yang betul.
Di dalam kereta-kereta AWD Subaru tanpa LSD, penderia kelajuan roda memberi maklumat kepada sistem AWD untuk membrek satu roda yang tergelincir – hampir menyerupai fungsi LSD.
Bagaimana penderia kelajuan roda boleh rosak?
Kegagalan penderia kelajuan roda boleh terjadi disebabkan oleh masalah teknikal ataupun elektrikal.
Perkara-perkara ini akan mengganggu isyarat yang dihantar ke ECU (perlu diingatkan yang sistem ini berfungsi dengan magnet).
Secara elektrikalnya pula, masalahnya boleh jadi disebabkan oleh:
Gegelung penderia yang terpintas/'short' (ganti penderia)
Magnet penderia yang lemah (ganti penderia)
Masalah pendawaian (selalunya disebabkan oleh kemalangan)
Fius yang terbakar
Komponen penderia di dalam beberapa jenama kereta cenderung untuk rosak
Cari fius ABS dan periksa keadaannya
Alat diagnostik OBD2 akan membantu mekanik untuk mengesan penderia kelajuan roda yang mana satu telah rosak. Bergantung kepada keadaan, proses ini mengambil masa yang agak lama.
Satu contoh bagi sebuah alat diagnostik. Lihat penderia ‘Rear Right Hand’ (RR RH) (atas sebelah kanan) tidak menunjukkan sebarang isyarat. Gambar: Homie Hektor
Bolehkah anda memandu dengan penderia kelajuan roda yang rosak?
Melainkan kereta anda ada kebocoran cecair brek, ya, anda boleh memandu. Tapi, pandu secara perlahan terutama sekali jika ia kereta RWD.
Walau dengan ABS, ESC, dan AWD, kereta masih ada boleh sukar dikawal. Jika anda memandu tanpa bantuan-bantuan ini, pandulah dengan lebih berhati-hati.
Apabila lampu amaran ABS dan ESC menyala, ini bermaksud sistem-sistem ini tidak berfungsi atau dimatikan. Ia seperti anda memandu Perodua Axia E dari tahun 2017. Anda masih boleh pandu dengan perlahan dan berhati-hati ke pusat servis yang dipercayai untuk baiki apa yang patut.
Adakah penderia kelajuan roda mahal untuk dibaiki?
Penderia itu sendiri tidaklah terlalu mahal. Satu penderia, walau untuk kereta BMW, kosnya sekitar RM 100 ke RM 300. Alatgantinya murah, tapi upahnya mahal. Kerja pembaikannya agak sukar untuk dilakukan bergantung kepada situasi. Gelung bergerigi yang rosak lebih sukar untuk dicapai.
Rumusan
Oleh itu, isu-isu ABS selalunya berkait rapat dengan penderia kelajuan roda yang rosak. Melainkan sistem brek mengalami kebocoran, inilah sebabnya mengapa lampu ABS menyala.
Beberapa jenama kereta lebih cenderung untuk mengalami masalah ini berbanding yang lain, dan penderia tersebut sepatutnya tidak begitu mahal untuk diganti. Anda masih boleh pandu dengan cermat menuju ke bengkel atau pusat servis yang dipercayai bagi membetulkannya.
Selain daripada penderia kelajuan roda, mungkin ada juga penyebab-penyebab lain seperti pemutar brek melengkung, bateri lemah (kebanyakan alat elektrikal gagal kerana masalah bateri), ataupun modul kawalan ABS yang rosak (paling kecil kemungkinannya).
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen