Kia Carnival vs Hyundai Staria – MPV 11 penumpang yang mana idaman rakyat Malaysia?
Faisal · Jul 17, 2021 04:00 PM
0
0
Hyundai Staria (US4) 2021 baru sahaja membuat debut ASEAN pada minggu lepas tetapi sebelum ini, Kia Carnival(KA4) 2021 terlebih dahulu telahpun melebarkan sayapnya. Walaupun mereka menggunakan platform Hyundai-Kia N3 yang sama, kedua-duanya MPV 11 penumpang ini mempunyai pendekatan yang cukup berbeza. Untuk itu, mari kita lihat MPV yang sudah ada di Thailand ini dengan lebih dekat.
Dimensi – Staria lagi besar
Bagi anda yang belum tahu, Staria adalah pengganti kepada Hyundai Grand Starex/H-1. Kali ini, ia lebih besar daripada model yang terdahulu. Malah, Staria sendiri lebih besar daripada Carnival.
Perbezaan dimensi di antara mereka boleh didapatkan dalam rajah berikut:
Perbezaan saiz
Kia Carnival
Hyundai Staria
Panjang (mm)
5,155
5,253
Lebar (mm)
1,995
1,997
Tinggi (mm
1,775
1,990
Jarak roda (mm)
3,090
3,273
Kelebihan Staria dari segi ukuran panjang dan tinggi memberi petunjuk bahawa tempat duduknya mempunyai ruang yang lebih lapang.
Eksterior – Konvensional atau futuristik?
Walaupun kedua-duanya ada imej yang tersendiri, Staria sebenarnya jauh lebih radikal daripada Carnival. Lihat sahaja lampu depan dan belakangnya.
Ramai juga yang berpendapat bahawa Staria nampak seperti dari filem sains fiksyen.
Antara pilihan tambahan yang ada pada Staria ialah lampu belakang jenis LED Parametric Pixel dan cermin tepi Flush Glass. Dari jauh, cermin ini nampak seperti sebuah kaca yang besar. Apapun, kedua-dua keunikan ini hanya terdapat pada varian atas.
Reka bentuk Carnival pula lebih konvensional. Profilnya yang lebih pendek dan rendah membuatkan ia nampak lebih anggun daripada Staria.
Elemen istimewa yang ada pada Carnival ialah reka bentuk bumbung ala terapung. Sentuhan ini dimainkan peranan oleh tiang A dan B yang ‘ghaib’. Tiang C pula hadir dengan kontra berkemasan krom.
Secara standard, kedua-dua MPV datang dengan lampu LED sekali dengan DRL.
Pilihan roda pula agak berbeza. Di Thailand, kedua-dua varian Carnival dilengkapkan dengan roda 18 inci. Mengenai Staria pula, varian pengenalan, S, menggunakan roda 17 inci. Hanya varian teratas, SEL, sahaja yang datang dengan roda 18 inci.
Interior – Formula sama tapi pendekatan yang berbeza
Kabin Staria yang diinsipirasikan oleh kapal layar nampak lebih moden daripada Carnival.
Misalnya, Staria S sekalipun hadir dengan kluster instrumen digital bersaiz 4.2 inci. Cumanya, varian SEL dinaik taraf dengan saiz 10.25 inci.
Carnival yang ada di pasaran Thailand pula hanya menggunakan kluster instrumen analog.
Walaupun kedua-dua MPV boleh memuatkan satu pasukan bola sepak, susun atur tempat duduk yang mereka gunakan cukup berbeza. Misalnya, Staria datang dengan format tempat duduk 3-3-2-3 manakala Carnival pula menggunakan susunan 2-3-3-3.
Kerusi kecil di baris depan pada Staria boleh ditukar kepada tempat pemegang minuman atau simpanan barang. Namun begitu, pendekatan ini tidak sekemas konsol tengah pada Carnival yang mana ia datang dengan perehat tangan dan ruang storan yang sebenar.
Apapun, tempat duduk pada kedua-dua MPV boleh dikonfigurasikan untuk memaksimumkan kapasiti ruang kargo.
Dari segi multimedia, Carnival dan Staria datang dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Untuk Staria, ia dikawal oleh infotainment 10.25 inci. Carnival pula menggunakan saiz 12.3 inci dengan audio Bose sebagai pilihan tambahan.
Antara ciri lain yang ada pada kedua-dua MPV ialah:
Pintu gelangsar dan but belakang berkuasa jenis tanpa pegang
Pengecas tanpa wayar
Port USB yang banyak (6 untuk Carnival, 7 untuk Staria)
Di pasaran Thailand, kedua-dua MPV dikuasakan oleh enjin 2.2L turbodiesel 4 silinder. Enjin pada Staria menghembuskan 177 PS dan 431 Nm tork. Enjin diesel pada Carnival pula menghasilkan 202 PS dan 440 Nm tork.
Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 8 kelajuan.
Keselamatan – Cukup menyeluruh
Varian atas buat kedua-dua MPV yang mengagumkan ini lengkap dengan ciri ADAS seperti:
Forward Collision Warning (FCW)
Blind Spot Monitor dan Rear Cross-Traffic Alert (BSM, RCTA)
Lane Keeping Assist (LKA)
Adaptive Cruise Control (ACC)
Harga – Salah satu lebih mahal
Di Thailand, Carnival sebenarnya jauh lebih mahal.
Varian permulaan, EX, ditawarkan pada harga THB 2,144,000 (~RM 275,610). Varian teratas, SXL pula berharga THB 2,459,000 (~RM 316,146).
Sebagai perbandingan, harga Staria varian S bermula pada THB 1,729,000 (~RM 226,636). Varian teratas, SEL pula berharga THB 1,999,000 (~RM 257,403).
Dengan julat harga yang agak berbeza, Staria nampaknya lebih berbaloi untuk dimiliki memandangkan kebolehannya lebih kurang sama dengan Carnival.
Akan masuk Malaysia ke?
Setakat ini, Bermaz Auto (BAuto) mahupun Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) belum mengesahkan apa-apa.
Untuk maklumat anda, Kia di Malaysia kini sedang meletakkan fokus untuk pulihkan selepas-jualan. Bermaz Auto pernah merancang untuk lakukan pemasangan lokal (CKD) buat Carnival tetapi usaha itu tetap memerlukan jangka masa 12 ke 18 bulan. Jadi, Kia model CKD yang paling awal kita boleh lihat adalah pada tahun 2022.
Hyundai-Sime Darby Motors pula mempunyai pelbagai pelan untuk tahun ini. Antaranya seperti pelancaran Hundai Kona N Line dan Hyundai Palisade. Jadi, Staria mungkin dirancang untuk tiba pada tahun depan.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.