Kia Sorento dan Kia Carnival bakal dilancarkan di Indonesia tahun 2021, tiada perancangan Malaysia?
Haris · Feb 8, 2021 11:30 AM
Model-model kereta keluaran Korea kini semakin rancak di Indonesia. Antara model yang sudah tiba di Indonesia bagi model Kia adalah Kia Seltos dan Kia Sonet. Terbaru, Kia Sorento dan Kia Carnival pula dilihat bakal menyusul.
Khabar angin berkenaan bermula apabila Kia Sorento dan Kia Grand Carnival (kedua-duanya model terbaru) didaftarkan di SAMSAT, sistem pendaftaran automobil di Indonesia. Kia Grand Carnival sebelum ini didaftarkan di bawah nama Kia Grand Sedona di Indonesia.
Kia Sorento sebelum ini telah diberhentikan penjualan di Indonesia. Pasaran Indonesia menerima model Kia Sorento generasi pertama dan kedua tetapi generasi ketiga tidak ditawarkan di Indonesia.
Model generasi keempat ini menampilkan rekaan serba baru yang lebih futuristik. SUV 7 penumpang ini sebelum ini ditawarkan dalam pilihan enjin 2.2 liter diesel dan 2.4 liter petrol.
Selain daripada pendaftaran nama, pendaftaran kedua-dua model tersebut memperlihatkan bahawa ia akan menggunakan enjin 2.2 liter diesel namun ciri-ciri kelengkapan lain belum dapat disahkan.
Terdapat perubahan pengurusan baru-baru ini di mana PT Kreta Indo Artha telah mengambil alih hak pengedaran jenama Kia di Indonesia. Sebelum ini, jenama Kia diedarkan sendiri oleh PT Kia Mobil Indonesia. Ini adalah situasi yang sedikit berlainan di Malaysia.
Dengan status hak pengedaran Kia yang masih belum mencapai kata akhir, tidak banyak perancangan model Kia yang dijangka akan menjengah ke Malaysia dalam masa terdekat. Kia Sorento tampak berkeupayaan untuk menjadi pesaing SUV 7 penumpang yang laris di Malaysia namun adakah ia akan ditawarkan di sini?
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen