Memandu terlalu perlahan boleh membahayakan anda. Inilah sebabnya
Zamil Syaheer ยท Jun 23, 2020 11:28 AM
0
0
Anda sedang memandu di sepanjang lebuh raya dengan tahap kelajuan 110 km/j, dan secara tiba-tiba ada kereta lain masuk ke lorong anda dengan kelajuan 70 km/j.
Apa yang berlaku seterusnya? Logiknya, anda perlulah memperlahankan kereta anda untuk menyesuaikan dengan kelajuan kereta di hadapan.
Senario ini berlaku sepanjang masa di jalan raya kita dan masalah ini terjadi kerana kebanyakan pengguna jalan raya tidak menyedari perbezaan kelajuan lalu lintas mereka.
Perbezaan kelajuan lalu lintas pada dasarnya adalah perbezaan kelajuan kenderaan anda sendiri berbanding kelajuan lalu lintas yang bergerak.
Apabila perbezaan kelajuan terlalu besar, ia berpotensi menjadi bahaya. Keadaan trafik yang bergerak mungkin menyebabkan anda tidak dapat memperlahankan kenderaan secukupnya atau tepat pada waktunya untuk menyesuaikan dengan kelajuan kenderaan yang bergabung, dan ini menyebabkan 'ketidakselesaan lalu lintas' ketika satu kenderaan perlahan.
Ini memaksa keadaan lalu lintas di bahagian belakang juga menjadi perlahan dan kadang-kadang sangat drastik. Inilah bagaimana kemalangan penumpukan (pile-up) berlaku.
Di tanjakan lebuh raya, gunakan lorong pecutan untuk membawa kenderaan anda ke kelajuan lebuh raya.
Apakah yang boleh dilakukan tentang ini? Senang cerita, setiap pemandu perlulah sentiasa sedar dengan kelajuan perjalanan berbanding trafik yang bergerak dan membuat penyesuaian dengan sewajarnya.
Sebagai contoh, saya masuk ke lebuh raya dengan kelajuan 60 km/j manakala trafik sedang bergerak pada kelajuan 100 km/.j
Ini bermaksud saya perlu menaikkan kelajuan di jalan raya untuk menyesuaikan dengan kelajuan lalu lintas semasa secepat mungkin. Dari pemerhatian saya mengenai tabiat pemandu Malaysia, kebanyakan pengguna jalan raya nampaknya enggan atau teragak-agak untuk melakukan ini.
Perkara ini mesti ditekankan; memecut dengan pantas dan setelah anda menyesuaikan kelajuan anda dengan kelajuan trafik, anda kemudian dapat melepaskan minyak dan berlayar dengan kelajuan tersebut.
Dengan menyamai kelajuan trafik yang bergerak, anda juga meningkatkan tahap keselamatan untuk diri anda dan pengguna jalan raya yang lain. Ini kerana proses penggabungan menjadi lancar dan lalu lintas semasa tidak perlu perlahan untuk bergabung.
Akibatnya, 'ketidakselesaan trafik' dikurangkan atau dihilangkan, dan aliran lalu lintas lancar. Sudah tentu, setiap lorong akan mempunyai kelajuan yang berbeza-beza dan oleh itu penyesuaian dilakukan dengan cepat.
Kalau tidak percaya, cuba lah sendiri dan lihat perbezaannya dalam perjalanan harian anda. Sekiranya lebih ramai orang mengetahui perbezaan kelajuan mereka, jalan raya akan menjadi tempat yang lebih selamat dan menyenangkan.
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.