Mengamuk sebab cara pemanduan, lelaki pecahkan cermin sisi dan hadapan Honda Civic
Mersita · Mar 16, 2021 03:00 PM
0
0
Satu lagi kes ‘road rage’ berlaku baru-baru ini melibatkan seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun yang berang sehingga bertindak menendang cermin sisi sebelah pemandu sebelum membuka helmetnya dan menghentakkannya di penutup but hadapan serta cermin hadapan (‘windscreen’) kereta mangsa sehingga pecah retak.
Pemandu kereta Honda Civic FC berkenaan yang berusia 26 tahun dilihat hanya duduk di dalam kereta dan cuba menghubungi polis sambil lelaki tersebut melampiaskan amarahnya. Kejadian berlaku pada petang Isnin (15 Mac) berhampiran persimpangan lampu isyarat di Parit Jawa, Muar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian yang berlaku pada 3.25 petang itu berpunca daripada perselisihan faham antara penunggang motosikal lelaki dengan pemandu kereta wanita itu.
"Punca kejadian adalah berkaitan cara pemanduan kenderaan masing-masing yang menyebabkan suspek bertindak agresif dengan memecahkan cermin hadapan kereta mangsa. Suspek juga memecahkan cermin sisi kereta sebelah pemandu dan merosakkan bonet hadapan kereta mangsa dengan menggunakan topi keledarnya," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga memberitahu yang suspek telah ditahan polis dan kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar kerana dipercayai mengalami masalah mental. Suspek masih menerima rawatan di sana.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Orang awam juga dinasihati supaya tidak memuat naik gambar, video, mahupun kenyataan di media sosial sewenang-wenangnya sehingga tular dan menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.