Mercedes-Benz C-Class generasi W206 baru sahaja diperkenalkan semalam. Seperti generasi sebelum ini, ia masih memegang falsafah rekaan bak baby S-Class.
Eksterior
Untuk generasi kali ini, kesemua varian datang dengan lambang Mercedes-Benz di gril. Tiada lagi lencana kemegahan yang digemari oleh pakcik-pakcik masjid. Bercakap mengenai gril, varian AMG Line datang dengan sisik yang berlambang Mercedes-Benz. Unik kan?
Tema “baby S-Class” turut diterapkan pada bahagian belakang melalui rekaan lampu slim yang melintang – unsur Mercedes-Benz zaman sekarang.
Interior
Untuk kali ini, Mercedes-Benz C-Class mempunyai kabin yang didominasi oleh skrin besar yang menegak di konsol tengah. Selain itu, corong penyaman udara kali ini juga lebih bersegi.
Seperti S-Class, C-Class terbaru juga datang dengan sistem infotainment Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang terkini.
Ciri baru
Sebagai jenama yang berteknologi tinggi, Mercedes-Benz menawarkan C-Class terbaru dengan ciri stereng belakang.
Ciri sebegini memudahkan pemandu untuk mengendalikan kenderaan di tempat sempit dengan lebih mudah. Pada masa yang sama, ciri ini meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Bagi anda yang ingin tahu, roda belakang boleh dipusing sehingga 2.5 darjah.
Trenkuasa
Seperti yang pernah dilaporkan, Mercedes-Benz C-Class generasi W206 hanya datang dengan enjin 4 silinder sahaja. Tetapi kali ini, teknologi hibrid memainkan perasan yang besar. Varian C200 kini didatangkan dengan enjin 1.5L turbo dengan Integrated Starter Generator (ISG). Ia menghasilkan sebanyak 204 PS dan 300 Nm tork.
Varian C300 pula hadir dengan teknologi yang sama tetapi dengan kapasiti 2.0L. Varian ini menghembuskan kuasa sebanyak 258 PS dan 400 Nm tork.
Kesemua enjin dipadankan dengan transmisi automatik 9 kelajuan.
Teknologi Advanced-Driver Assistance Systems (ADAS)
Driving Assistance Package yang hadir pada C-Class sebelum ini diperbaharui dengan ciri Active Distance Assist Distronic yang lebih menyeluruh. Di samping itu, Active Steering Assist juga diperbaharui dengan fungsi yang aktif sehingga kelajuan 210 km/j.
Bila nak masuk Malaysia?
Sesi pandu uji secara global akan dijalankan tidak lama lagi. Dengan pasaran Eropah yang bakal menerima dahulu, pasaran Asia seperti Malaysia dijangka menyambut ketibaannya pada tahun 2022.