Mercedes-Benz CLS bukanlah peneraju coupe 4-pintu namun, ia membuka jalan terhadap evolusinya
Zaid ยท Jul 31, 2021 04:00 PM
0
0
Hampir dua dekad yang lalu, di Frankfurt Motor Show 2003, Mercedes-Benz mendedahkan kereta konsep Vision CLS, dan dunia automotif amat kagum dengan kecantikannya.
Mercedes-Benz juga sangat bangga dengan kereta konsep tersebut yang menggabungkan coupe dan sedan menjadi satu.
Malah, ia dikatakan sebagai ‘satu inovasi besar dalam sejarah automotif’ memetik laporan rasmi mereka.
Pembikinan CLS membuka jalan kepada pesaingnya (Volkswagen) yang juga melancarkan versi coupe 4-pintu mereka.
Namun begitu, Mercedes-Benz bukanlah yang pertama memperkenalkan idea ini kepada dunia.
Ia sebenarnya adalah hasil rekaan pembuat kereta British; yang memperkenalkan gabungan gaya coupe dengan reka bentuk 3-kotak tradisional hampir 40 tahun sebelumnya.
Malah, rekaan ini sebenarnya tidak pernah dilupakan saban tahun sehinggalah CLS diperkenalkan.
Kereta 'low profile' yang sesuai bagi kerabat diraja
Land Rover sebaliknya, telah lama hilang namun, pada zaman kegemilangannya, pembuat kereta British itu setara dengan Mercedes Benz.
Telah banyak model ikonik yang dihasilkan daripada jenama tersebut dan antara yang terbaik adalah Land Rover P5.
Diperkenalkan pada 1958, Land Rover P5 dilihat sebagai kereta para jejaka Britain yang klasik dan lengkap dengan peralatan mewah menjadikannya setaraf Rolls-Royce.
Malah, harganya sedikit murah berbanding sebuah ‘Spirit of Ecstasy’.
Sejurus pelancaran Mark II dengan enjin 3-liter yang lebih berkuasa, Land Rover kemudian memperkenalkan coupe 4-pintu yang pertama pada 1962 iaitu model P5 coupe.
Garis bumbung diturunkan sebanyak dua setengah inci (63.5 mm) dan ia mempunyai B-pillar yang lebih nipis.
Selain itu, model ini juga menyerupai kembarnya yang bersaiz sedan. Namun begitu, Coupe tersebut dianggap sebagai model tambahan khas dalam barisan P5 kerana pembeli lebih memilih sedan standard.
Model P5 itu juga digunakan sebagai kereta rasmi Perdana Menteri British dari tahun 1960-an sehingga 1980-an.
Queen Elizabeth II dikatakan memiliki beberapa model P5 yang dipandu sendiri dan menjadi kesukaannya.
Land Rover malang sekali gagal meneruskan kejayaan apabila syarikat induknya, British Leyland ditimpa musibah.
Kebangkitan semula 'hardtop' pada era 80-an
Walaupun model P5 Coupe dianggap sebagai coupe 4-pintu pertama di dunia, gaya hardtop yang dibawanya telah menjadi trend lebih sedekad yang lalu di Amerika Syarikat.
Setelah Land Rover P5 ditamatkan produksinya pada 1973, reka bentuk coupe 4-pintu semakin dilupakan sehinggalah pada era 80-an.
Ledakan ekonomi yang berlaku di Jepun mendorongnya menjadi negara dengan ekonomi kedua terkaya di dunia. Oleh itu, rata-rata golongan berkerjaya di Jepun ingin menaik taraf ‘Kei-car’ mereka kepada sesuatu yang lebih besar.
Bagi kebanyakan golongan pertengahan di Jepun, mereka mahukan sesuatu yang ‘sporty’ dan mewah. Tidak hairanlah jika model sedan hardtop yang ditawarkan oleh Toyota, Mazda dan Nissan kian meningkat.
Model seperti Mark II, Luce dan Laurel adalah nama yang menjadi pilihan generasi tersebut.
Namun, masih menjadi perdebatan sama ada model sedan hardtop ini boleh diklasifikasikan sebagai coupe 4-pintu atau tidak.
Ini kerana, kebanyakan model ini dilengkapi dengan pintu tanpa tiang, walaupun bentuk keseluruhannya kelihatan sedan berbanding coupe.
Sesetengah pendapat mengatakan model Nissan Leopard J Ferie adalah sebuah coupe 4-pintu namun, ianya jauh panggang dari api.
Jika ada model yang lebih layak untuk dipanggil coupe 4-pintu, hanya satu sahaja daripadanya wujud.
Model itu adalah Mazda Persona. Ia pada asalnya adalah sebuah Mazda 626 generasi ke-4 yang dilancarkan semula.
Secara asasnya, ia menggunakan pacuan roda depan. Jika dilihat pada reka bentuknya, ia sesuai dengan gaya coupe.
Ia menampilkan pintu tanpa tiang seperti sebuah hardtop tradisional dan masih menggunakan rekaan gaya tirus seakan-akan coupe.
Rekaan ini kemudian diguna pakai pada Eunos Cosmo.
Mazda Persona bersaing dengan Toyota Carina ED, Nissan Presea dan Mitsubishi Emeraude.
Model-model ini merupakan sedan ‘hardtop’ bersaiz kecil yang cuba membawa trend mampu milik.
Tetapi, tidak ada model yang mampu melawan keunikan Persona.
Namun, mereka ternyata gagal apabila Jepun menghadapi kegawatan ekonomi.
Walaupun sedan ‘hardtop’ tidak mencapai pengiktirafan yang sama dengan pesaingnya yang lebih besar, ia tidak menghalang Persona sebagai calon coupe 4-pintu.
Kenyataan yang sukar untuk diterima
Sama seperti BMW yang tidak mencipta sebuah SUV-coupe, Mercedes Benz juga bukanlah peneraju coupe 4-pintu secara teknikal. Namun, model CLS sebenarnya membantu kewujudan coupe 4-pintu mereka.
Apabila CLS dilancarkan secara rasmi dalam pasaran pada 2004, ia pengenalan baru dalam industri automotif.
Tidak seperti Land Rover P5 dan Mazda Persona, CLS dipasarkan secara global, menjadikannya coupe 4-pintu yang paling dikenali di dunia.
Bagi pengguna yang memilihnya, tidak menjadi masalah bagi mereka untuk memiliki ruang but terhad dengan tanda harga lebih mahal berbanding E-Class.
CLS menjanjikan rupa bentuk yang seksi dan mempunyai daya tarikannya tersendiri.
Mercedes-Benz melihat peluang dalam segmen ini.
Mereka kemudian menawarkan CLA-Class yang lebih kecil serta Mercedes-AMG GT 4-pintu yang dikatakan sangat laju.
Pembuat kereta lain cuba untuk meniru resipi kejayaan Mercedes-Benz dalam segmen yang sama. Sebaliknya, model seperti Porsche Panamera dikritik rupa bentuknya.
Walaupun pembuat kereta membunuh sedan tradisional (kerana pembeli lebih menyukai crossover dan SUV), segmen coupe 4-pintu yang ‘sporty’ dan ramping ini berkemungkinan akan diteruskan.