Mitsubishi Triton serba baru sah hadir untuk tahun 2020. Mitsubishi sasar pasaran Malaysia?
Haris · Jul 29, 2020 05:00 PM
Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan sekurang-kurangnya 9 lagi model baru mulai tahun kewangan 2022, termasuk Mitsubishi Triton serba baru dan Mitsubishi Xpander Hybrid baru.
Semasa pembentangan perniagaan syarikat untuk tahun kewangan 2020 - 2022 syarikat semalam, MMC mengulangi penekanannya untuk memberi tumpuan kepada blok ASEAN kerana unjuran pertumbuhan yang bagus.
Asia Tenggara adalah pasaran terbesar MMC, dengan blok perdagangan ASEAN menyumbang hampir 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penjualan MMC. Memenuhi permintaan dari 4 pasaran terbesar ASEAN (Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam) ternyata mempengaruhi rancangan produk masa depan MMC. Pasaran Malaysia juga bakal mendapat tempias.
Konsep Mitsubishi Outlander oleh Theophilus Chin
Syarikat itu turut mengesahkan bahawa ia akan melancarkan Mitsubishi Outlander Plug-in Hybrid di Thailand pada tahun kewangan 2022. Insentif cukai Thailand untuk enjin pelepasan CO2 rendah pastinya menjadi dorongan terhadap keputusan ini.
Secara teknikalnya, Mitsubishi Outlander Plug-in Hybrid bakal melakukan debut serantau sekitar April 2022 hingga Mac 2023. Kemungkinan besar ini akan menjadi model generasi serba baru yang diambil daripada konsep Mitsubishi Engelberg Tourer.
Nota kaki: Mitsubishi Outlander Plug In Hibrid pada asalnya diperuntukkan untuk Malaysia, bukan Thailand. Mitsubishi Motors Malaysia turut melakukan cubaan atas jalan raya kita sejak tahun 2014. Sayangnya, Dasar Automotif Nasional(NAP) kita tidak menguntungkan lalu MMC memutuskan untuk melangkau Malaysia dan memperkenalkan model tersebut di Thailand sebagai gantinya.
Mitsubishi Triton serba baru juga akan dilancarkan dalam tahun kewangan 2022.
Walaupun tiada pengumuman rasmi dari MMC tetapi pengumuman sebelum ini oleh Renault Nissan Mitsubishi Alliance telah mengisyaratkan bahawa generasi Nissan Navara selepas ini akan berdasarkan Triton, sementara Mitsubishi Outlander akan berdasarkan Nissan X-Trail.
Mitsubishi Xpander, model yang telah menerima sambutan terhangat di Indonesia, juga akan menerima varian hibrid menjelang tahun kewangan 2023. Tidak dapat dipastikan sama ada ini akan menjadi generasi baru Xpander atau facelift model semasa tetapi kami lebih cenderung untuk berfikir bahawa ia adalah generasi baru.
Mitsubishi Xpander kali pertama diperkenalkan di Indonesia pada akhir tahun 2017 dan apabila mengambil kira kitaran jangka hayat model normal selama 5 tahun, masa yang tepat untuk menggantikannya adalah sekitar 2022/2023.
Baki dua model yang tidak disebutkan berkemungkinan besar merujuk kepada pengganti untuk Mitsubishi ASX dan juga Mitsubishi Eclipse Cross. Mitsubishi Eclipse Cross mungkin akan menerima varian hibrid plug-in sebelum tahun kewangan semasa ditutup (Mac 2021). Kemungkinan besar model tersebut hanya terhad di Eropah dan Jepun sahaja.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen