Mykar - prototaip kereta elektrik Malaysia, jarak perjalanan 150 km, harga bawah RM 50k?
Haris · Mar 31, 2021 08:00 PM
Mykar adalah sebuah prototaip kereta elektrik yang dibangunkan dengan syarikat tempatan iaitu System Consultancy Services (SCS). Terbaru, syarikat ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama beberapa pemain industri iaitu MARii dan Ingress Corporation Berhad.
Mengikut persefahaman yang ditandatangani, MoU tersebut akan menyaksikan Mykar akan membekalkan sistem dan perisian bagi pembangunan kereta elektrik, dibantu oleh MARii untuk proses homologasi bagi membenarkannya digunakan atas jalan secara sah. Ingress Corp pula akan membekalkan komponen untuk kereta elektrik tersebut.
Ini bukan kali pertama Mykar dipertontonkan kepada umum. Wapcar.my berpeluang untuk menyaksikan kebolehlaksanaan prototaip kereta elektrik tersebut pada September 2020 dan kali ini, Mykar dipertontonkan di litar Sepang.
Mykar dibangunkan berasaskan model Honda Jazz generasi pertama tetapi di atas platform dan beberapa bahagian badan menggunakan gentian komposit yang dibuat oleh syarikat subsidiari SCS. Komponen lain seperti bateri dan sebagainya ditempah daripada pengilang OEM.
Dari aspek teknikal, Mykar dikuasakan oleh kapasiti bateri 28.7 kWh dengan jarak perjalanan sejauh 300 km. Pengecas AC 6.6 kW pula digunakan pada kereta ini bagi membolehkan masa pengecasan selama 4 jam.
MyKar turut dipacu oleh 2 motor elektrik pada kedua-dua roda belakang, masing-masing menghasilkan 32 PS kuasa kuda dengan 294 Nm tork. Kesemuanya dapat diterjemahkan dengan ujian pecutan 0 hingga 100 km/j dalam 18 saat.
Mykar adalah manifestasi kebolehan bakat watan dalam membangunkan sistem yang berkaitan untuk kereta elektrik di samping menjadi suatu jemputan terbuka kepada pemain industri lain untuk bekerjasama dalam pembangunan.
Tiada sebarang demonstrasi perisian pada prototaip ini tetapi menurut wakil Mykar, antara sistem yang sedang dibangunkan adalah:
Sistem Pengurusan Bateri
Teknologi Pengecasan Nirawayar
Sistem Jaringan Komunikasi
Data yang distrim secara langsung
Walaubagaimanapun, pihak SCS telah menunjukkan demonstrasi penstriman data secara langsung di mana Mykar yang sedang dipandu menghantar data kepada perisian yang dibangunkan.
Ketika ini, Mykar masih dalam fasa R&D untuk menambah kapasiti bateri, mengintegrasikan keseluruhan sistem secara bersepadu dengan antaramuka dan pembangunan sistem lain antaranya seperti yang disenaraikan di atas.
Mengikut pandangan beberapa pengamal industri, model Mykar dilihat boleh disasarkan untuk harga sekitar RM 50,000. Walaubagaimanapun menurut pengerusi eksekutif SCS, Datuk Khalilur Rahman Ebrahim, Mykar bukan untuk dijual.
Model tersebut hanyalah sekadar ‘bukti konsep’ di mana projek kereta elektrik boleh dibangunkan di Malaysia dan SCS mampu membekalkan perisian untuk tujuan tersebut.
“SCS tidak berminat untuk menjual kereta. Kami tidak akan mempunyai jenama kereta apatah lagi dengan nama MyKar. Kami menjual teknologi tersebut kepada mereka yang berminat membangunkan EV," ujar beliau.
Secara rumusannya, Mykar bukanlah sebuah jenama kereta elektrik baharu, hanya sebuah bukti konsep sahaja di mana pihak yang membangunkannya akan membekalkan perisian. Namun, tiada sebarang demonstrasi perisian yang dipertontonkan. Oleh yang demikian, kami akan sentiasa menantikan sebarang maklumat terbaru dari pihak Mykar.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen