![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 01]()
Tak kiralah jika anda gunakan unit ukuran metrik atau imperial, nombor pada odometer analog selalunya akan berhenti pada 999,999. Apabila anda mencapai kilometer atau batu ke-1 juta, odometer anda akan ‘reset’. Walaupun perkara ini sering terjadi pada kenderaan komersial, jarang sekali ia berlaku pada kereta persendirian.
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 02]()
1 juta batu bersamaan dengan 1,609,344 km. Secara puratanya, pemandu di Malaysia memandu 28,188 km dalam setahun. Ini bermaksud pemandu Malaysia akan mengambil masa 57 tahun untuk mencapai 1 juta batu. Bagaimana pula jangka masa untuk sejuta kilometer? Mereka akan mengambil masa lebih kurang 35 tahun. Jika benar, kita pasti telah habis bayar hutang kereta dan anak-anak dah habis belajar!
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 03]()
Pemandu dengan jarak-tempuh tinggi yang paling terkenal ialah mendiang Irv Gordon, seorang guru Sains yang berasal dari Long Island dengan keretanya iaitu Volvo P1800 1966. Irv Gordon telah memandu lebih kurang 3.2 juta batu atau 5,149,900 km dengan Volvo miliknya. Jika ada yang lebih arif tentang tips penjagaan kereta untuk mencapai jarak-tempuh yang jauh, Irv Gordonlah orangnya.
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 04]()
Irv Gordon meninggal dunia pada 2018 ketika berusia 78 tahun dan kereta Volvonya masih lagi bertahan. Sepanjang 3.2 juta batu itu, Volvo tersebut kekal dengan enjin yang sama dan tranmisi yang sama keluaran kilang kereta tersebut. Walaubagaimanapun, beliau pernah membina semula enjin tersebut pada 675,000 batu atau 1,086,307 km.
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 01]()
Ini membuatkan semua orang tertanya-tanya, apakah nasihat Irv Gordon tentang penjagaan kereta?
Di bawah kami senaraikan beberapa tip-tip berdasarkan temuramah bersama Casey Williams:
- Gunakan petrol daripada stesen berisipadu tinggi untuk mengelakkan kekasaran dalam enjin.
- Basuh kereta anda dengan kerap dan ‘wax’ kereta sekurang-kurangnya 2 kali setahun.
- Bila kereta anda tiba-tiba ada bunyi pelik sikit, dengar betul-betul dan cari puncanya.
- Kekalkan hubungan yang baik dengan mekanik anda.
- Gunakan alat-ganti dan peralatan dari kilang kereta.
- Gunakan hanya satu jenama minyak supaya konsisten.
- Luangkan masa beberapa minit seminggu untuk periksa tahap cecair, ‘belts’ dan hos.
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 02]()
Secara umumnya, anda cuma perlu mengikut panduan pemilik dan gunakan akal fikiran. Itu sahaja. Mendengar masalah kereta anda juga bermaksud memahami lampu-lampu isyaratnya. Bagi Volvo P1800 miliknya, beliau menukar minyak enjin setiap 3,000 batu (4,828 km) dan menukar ‘spark plugs’ setiap 20,000 batu (32,186 km) seperti yang disarankan. Sentiasa beringat untuk servis kereta anda.
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 03]()
Kami juga ingin menambah satu lagi nasihat, iaitu parkir kereta anda di tempat yang redup untuk mengekalkan kualiti cat dan bahagian-bahagian getah kereta anda. Malangnya, banyak rumah-rumah di Malaysia yang dibina tanpa garaj yang sesuai. Tambahan pula, amat penting bagi anda untuk ‘run-in’ atau regangkan kereta baru pada peringkat awal bagi memanjangkan lagi jangka hayatnya. Jika anda dapat kereta yang betul, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mencapai jarak-tempuh sejuta batu.
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 04]()
Menurut nasihat Irv dimana kita perlu kekal setia dengan satu jenama minyak enjin, beliau sentiasa menggunakan minyak jenama Castrol memandangkan kereta tersebut didatangkan dengan minyak jenama ini. Oleh itu, tidak hairanlah Volvo dan Castrol mempromosikan jenama mereka berlandaskan jarak-tempuh kereta Irv yang mengagumkan. Ada banyak video atas-talian yang anda boleh lihat untuk tahu lebih lanjut tentang perkara ini.
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 05]()
Castrol menghasilkan satu video dimana mereka mengkaji bahagian-bahagian enjin di dalam kereta Volvo milik Irv. ‘Cam lobe’ kereta tersebut menunjukkan hanya 0.0508 mm hakisan manakala pistonnya pula hanya ada penumpukan karbon pada kadar yang biasa tanpa ada kesan calar dibawah piston tersebut.
![Nak kereta anda tahan lasak sampai sejuta batu? Ambil nasihat daripada lelaki yang capai 3.2 juta batu 06]()
Inilah dia nasihat dari Irv Gordon dan keretanya yang kekal mantap setelah bertahun lamanya. Walaupun anda bukanlah berhasrat untuk memandu sehingga berjuta batu atau menyimpan kereta anda sebegitu lama, nasihat-nasihat ini amat berguna bagi mereka yang mahukan kereta tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.