Norma baharu: DBKL kuatkuasa kaedah bayaran tempat letak kereta guna aplikasi sahaja
Haris · Oct 1, 2020 09:00 AM
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat suatu pengumuman berkenaan pembayaran tempat letak kereta di sekitar Kuala Lumpur. Pengumuman tersebut yang dihantar di laman Facebook Rasmi mereka semalam telah mengisytiharkan kaedah pembayaran baharu untuk tempat letak kereta.
Bermula 1 Oktober 2020, DBKL telah menetapkan bahawa kaedah untuk pembayaran tempat letak kereta di bawah jajahan DBKL adalah melalui aplikasi sahaja.
Hal ini bermakna, tiada lagi pembayaran tempat letak kereta melalui mesin yang diterima.
Terdapat 4 aplikasi mudah alih yang memudahkan menerima pembayaran tersebut. Pengguna hanya perlu memilih salah satu daripada 4 aplikasi ini untuk melakukan pembayaran. Aplikasi tersebut adalah:
EZ Smart Park
Flexiparking
Wilayah Parking
M-Cash
Selain itu, aplikasi e dompet sedang melalui kerja-kerja penyesuaian untuk digunakan melalui aplikasi di atas. Dalam masa hadapan, pengguna boleh melakukan pembayaran melalui e dompet seperti Boost dan Touch N Go e-wallet.
Sehubungan dengan itu, pas harian dan pas bulanan turut dihentikan operasi buat sementara waktu kerana sedang mengalami penyesuaian dengan aplikasi. Walau bagaimanapun, permohonan petak khas masih berjalan dengan kadar yang sedia ada.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berharap agar orang ramai dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu tersebut seiring dengan gaya hidup norma baharu. Langkah yang dilakukan oleh DBKL dilihat memudahkan urusan pelbagai pihak apatah lagi ketika wabak Covid-19 yang memerlukan penjarakan sosial dan sanitasi yang menyeluruh.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen