Kisah Proton X50 2020 yang acap hari memenuhi ruang media sosial anda barangkali buat anda makin tak sabar untuk memilikinya, ataupun barangkali dah buat anda muak. Jangan risau, kami jangkakan yang harganya akan diumumkan seawal bulan Oktober ini. Minat terhadap SUV Proton terbaru ini mungkin cukup panas, tapi adakah prestasinya sepanas ‘hype’nya?
Semalam, kami berpeluang menyertai sesi pandu uji Proton X50 di Litar Antarabangsa Sepang. Setelah membuat beberapa pusingan ujian dengan SUV terbaru Proton ini, kami dapat rumuskan beberapa tanggapan ringkas dalam pertemuan singkat kami dengannya.
Enjin petrol ‘multi-point injection (MPI)’ berpengecas turbo dengan 3 silinder dan kapasiti 1.5 liter (kuasa kuda 150 PS, tork 226 Nm)
Enjin petrol ‘direct-injection (TGDI)’ berpengecas turbo dengan 3 silinder dan kapasiti 1.5 liter (kuasa kuda 177 PS, tork 255 Nm).
2. ‘Suspension’ ditala dengan ‘ride and handling’ Proton yang terkenal supaya sesuai dengan keperluan tempatan. Kereta pendermanya, Geely Binyue, mempunyai 'suspension’ dan ‘feel’ stereng yang kurang baik.
3. Proton telah mengkalibrasikan semula stereng berkuasa elektriknya dengan 4 mod berbeza.
Pengalaman pemanduan – Proton X50 banyak gegaran? Tak lah..
Sebelum kami bincangkan ‘ride’ dan ‘handling’ X50, kami ingin jelaskan persoalan yang sering ditanya – adakah enjin 3 silinder X50 rasa dan bunyinya kasar?
Dari luar, keroncong enjin ‘direct injection’nya berbunyi jelas. Tapi apabila anda masuk ke dalam kereta tersebut, bunyinya hampir senyap dan ini membuktikan yang kabinnya ditebat-bunyi dengan baik. Secara ringkasnya, gegarannya hampir tiada.
Gegarannya hanya dirasai sekejap ketika enjin dihidupkan dan beransur ‘steady’ ketika pegun. Yang pasti, gegarannya memang boleh dirasai sedikit jika anda betul-betul beri perhatian tapi ia langsung tidak mengganggu.
Apabila dipandu, X50 mempunyai kuasa yang cukup menyeronokkan. Anda dah takkan kisah tentang berapa banyak silinder di dalam enjinnya.
Tolakan torknya masuk lancar dari 1,500 rpm dan selepas itu ia memecut tidak seperti SUV-SUV lain berharga bawah RM 100 ribu. Transmisi dwi-klacnya terasa sama dengan transmisi Proton X70 – cuma X50 terasa lebih tangkas / ‘snappy’.
Walaubagaimanapun, perlu kami nyatakan yang X50 tidak terasa seperti ia mempunyai kuasa 177 PS/255 Nm dari bawah hudnya. BMW X1 terasa lebih pantas walaupun janaan kuasanya (140 PS/220 Nm) kurang daripada X50.
Ini disebabkan oleh ciri-ciri DCT 7 kelajuan X50 yang lembut dalam peralihannya. Masa peralihan gearnya lebih perlahan iaitu 0.3 saat – membongkokkan/menurunkan kereta ke bawah di antara peralihan ke gear tinggi dan ini juga menyebabkan sekat atau ‘lag’ yang boleh dirasai pemandu.
Oleh itu, apa yang anda baca dalam risalah spesifikasi hanyalah sebahagian daripada kisah sebenarnya.
Bagi pengendaliannya (‘handling’) pula, Proton X50 terasa lebih harmoni berbanding Geely Binyue. Sterengnya terasa lebih semulajadi dan tidak begitu longgar seperti Binyue. Tapi, ‘body roll’nya pula terasa lebih ketara disebabkan oleh kadar springnya yang lebih lembut serta penyerap hentakannya. Namun, perincian ini lebih sesuai untuk keadaan jalanraya di negara kita.
Perlu diingatkan yang sesi pandu uji yang dianjurkan oleh Proton ini bukanlah dibuat di jalanraya awam – dengan hanya aktiviti menukar lorong dan ujian slalom. Aspek-aspek lain seperti kepraktisan dan ergonomiknya buat masa ini belum lagi dapat diuji sebetulnya.
Keselesaan pemanduan – Pandangan pertama agak bagus
Di atas litar, agak sukar bagi kami untuk menilai tahap keselesaan suspensionnya. Tapi, pandangan awal kami adalah positif. Apabila dipandu melepasi pembahagi di sisi trek, suspensionnya ketara lebih lentur berbanding Binyue. Ia lebih mudah untuk dimampatkan dan memberi kurang sentakan di dalam kabin.
Tahap bunyi di dalam kabin agak rendah; enjinnya menderum di latar dan ia hanya akan kedengaran jika kereta dipecut keras. Bunyi tayar juga berjaya ditahan dengan baik. Secara subjektifnya, ia tidak begitu berbeza daripada Proton X70 dari segi penebatan bunyi kabin.
Kami akan sahkan perkara ini dengan menggunakan peralatan ujian kami lagi nanti untuk berikan anda rebiu yang lebih mendalam.
ADAS – Kereta paling murah dengan pemanduan separa-berautonomi tahap 2
Varian Flagship yang tertinggi diberi suite penuhAdvanced Driver-Assistance Systems (ADAS). Oleh itu, anda akan dapat:
Blind Spot Monitor (BSM)
Forward Collision Warning (FCW)
Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki
Lane Departure Warning (LDW)
Lane Keep Assist (LKA)
Intelligent High Beam Control
Adaptive Cruise Control (ACC) dengan ‘stop and go’.
Ia juga dilengkapi dengan Intelligent Cruise Control. Sistem dalam varian ini ialah kelengkapan pemanduan separa-berautonomi tahap 2 – automasi pemanduan separa dimana sistem tersebut memberi pecutan, pengemudian, dan pembrekan separa. Juga tidak dilupakan kelengkapan Auto Park Assist yang membantu pemandu untuk mengemudi kereta masuk ke ruang parkir tegak atau sisi.
Kami belum berpeluang lagi untuk mencuba kelengkapan ADAS, oleh itu sila nantikan rebiu-rebiu kami yang akan datang untuk dapatkan penilaian yang lebih mendalam.
Proton telah menyelesaikan salah satu masalah yang kami alami dengan kereta penderma X50, Geely Binyue, dengan memberinya suntikan ‘ride’ dan ‘handling’ Proton yang tersohor. Proton X50 boleh dipandu dan dikendali dengan jauh lebih bagus berbanding Binyue.
Enjin berpengecas turbo 3 silinder 1.5 liternya cukup berkuasa dan yang penting, gegaran disembunyikan dengan amat bagus sekali. Tambahan pula, kelengkapan ADASnya dikategorikan sebagai pemanduan separa-autonomi tahap 2.
Ya, kami semua tak sabar-sabar nak tahu harga sebenar Proton X50 2020, tapi kita kena tunggu sehingga pelancarannya. Penilaian kami terhadap kereta ini pula sememangnya amat bagus dan mengagumkan. Apa lagi, dah tempah atau belum?
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.