![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 01]()
Mitsubishi Triton 2024 serba baru yang masih segar di pasaran debutnya, Thailand, bakal menjadi jentera taruhan pasukan rally Mitsubishi RALLIART dalam acara Asia Cross Country Rally (AXCR) pada 13 – 19 Ogos 2023, umum Mitsubishi Motors Corporation (Mitsubishi Motors) sebagai penyokong teknikal pasukan berkenaan.
![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 02]()
Trak pikap itu baru saja dilancarkan di Thailand semalam, menampilkan Triton generasi ke-6 yang diperbaharui dari pelbagai aspek – termasuklah enjin 2.4L baru, chassis lebih teguh, ‘ladder frame’, dan macam-macam lagi pembaharuan luar dan dalam.
Menurut spesifikasi Mitsubishi Triton serba baru versi rally yang bakal dibawa menyertai AXCR nanti, ia menggunakan enjin baru 2.4L jenis 4N16 4 silinder MIVEC turbo diesel dengan kotak gear manual 6 kelajuan yang mampu menjana ‘output’ maksima 204 PS dan tork 470 Nm.
![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 01]()
Triton serba baru versi rally ini diubahsuai selaras dengan syarat AXCR; menawarkan prestasi dan ketahanan lebih hebat berbanding kereta rally yang digunapakai pada 2022. Triton yang dihantar untuk AXCR tahun ini dikatakan mempunyai pengendalian lebih stabil dan sporty, prestasi pemanduan responsif dan berkuasa pada semua julat kelajuan, serta kebolehan menempuh laluan mencabar dan berlumpur.
![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 02]()
![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 03]()
Selain penambahan standard untuk rally off-road seperti ‘roll cage’, ‘bumper guard’, ‘snorkel’, ‘twin dampers’, ‘bump stopper’ hidraulik, dan lain-lain; Triton rally ini dilengkapi dengan suspension depan dan belakang jenis ‘independent double-wishbone’ dengan ‘coil springs’, serta Limited Slip Differential (LSD) CUSCO khusus untuk rally. Sistem breknya terdiri daripada ‘ventilated discs’ depan dan belakang jenama ENDLESS serta kaliper 4 piston dan pad, dengan ‘brake fluid’ FORTEC.
![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 04]()
Penggunaan rim aluminum ringan 17 inci dari WORK dan tayar off-road Yokohama GEOLANDAR M/T G003 (235/80R17) yang lebih kecil ukuran lebarnya berbanding kereta rally tahun lepas telah mempertingkatkan kebolehan pengendaliannya di laluan mencabar.
Berat kereta diturunkan lagi dengan penggunaan gentian karbon pada hud, panel pintu depan dan belakang, serta ‘cargo bed’. Pengurangan berat pada komponen dalaman kenderaan menjadikan Triton versi rally ini sama berat dengan versi rally tahun lepas walaupun Triton serba baru lebih besar berbanding model lama. Ukuran Triton rally ini ialah 5,320 mm panjang, 1,865 mm lebar, dengan jarak roda 3,130 mm. 'Tread' depan dan belakang masing-masing 1,570 mm dan 1,565 mm.
Juga baca: Mitsubishi Triton 2024 serba baru didebut global - enjin 2.4L baru, ADAS, perubahan luar dan dalam
![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 05]()
Pasukan Mitsubishi RALLIART akan menyertai AXCR 2023 dengan tiga unit Triton rally yang dikendarai oleh Chayapon Yotha (Thailand), pemandu juara AXCR tahun lalu; Rifat Sungkar (Indonesia), yang menduduki tempat ke-5 secara keseluruhan tahun lalu; dan Katsuhiko Taguchi (Jepun), yang memenangi Kejuaraan Rali Asia-Pasifik pada tahun 1999 dan 2010.
![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 06]()
Pengarah pasukan, Hiroshi Masuoka, dan jurutera Mitsubishi Motors akan bekerjasama dengan krew rally, menemani pasukan sepanjang rally menaiki Delica D:5 - sebuah minivan serba guna dengan kelakuan jalan raya seperti SUV dan keselesaan MPV. Mereka akan melakukan segala-galanya mulai dari menganalisis keadaan pertandingan, melalui segmen perlumbaan, merumuskan strategi, hingga memberikan sokongan teknikal di kawasan servis.
![Pasukan Mitsubishi RALLIART bawa Triton 2024 serba baru sertai Asia Cross Country Rally - apa ubahsuainya? 07]()
"Kami sangat bersemangat untuk bersaing dengan Triton yang baru sepenuhnya, yang telah mengalami rekaan semula dan berkembang pesat dalam semua aspek. Kereta rally Triton telah mengalami lebih daripada 2,000 km ujian ketahanan di Jepun dan Thailand tanpa masalah besar, dan kami telah mengesahkan bahawa ia memberikan prestasi yang lebih baik daripada model tahun lalu dalam setiap peringkat, dari peringkat tanah rata berkelajuan tinggi hingga peringkat berlumpur kelajuan rendah. Kami akan memandu dengan tiga kereta rali, setiap satu bersaing untuk kemenangan keseluruhan, dan kami ingin meraih kedudukan juara di podium untuk kemenangan berterusan yang lain,” ujar Hiroshi Masuoka selaku pengarah pasukan Mitsubishi RALLIART.