Pemandu Myvi boleh tuntut insurans dalam kes disodok Waja penjenayah? Ini caranya.
Mersita · Mar 3, 2021 05:00 PM
0
0
Minggu lepas, kami telah laporkan berita tentang sebuah Proton Waja yang enggan membuka pintu kereta dan menyerah diri setelah ditahan oleh polis. Pemandu Waja itu sebaliknya menekan minyak dan merempuh lori di hadapannya dan menggesel sebuah Perodua Myvi yang enggan berganjak walau disodok berkali-kali. Setelah rakaman kejadian itu tular, pemandu Myvi itu menerima banyak pujian dari netizen atas keberaniannya membantu menghalang penjenayah yang cuba melarikan diri.
Apabila kita berada dalam situasi sebegini, terpulang kepada kita untuk ambil tindakan yang dianggap patut, asalkan tidak terlalu membahayakan nyawa sendiri. Namun, akibatnya kereta kita sendiri yang jadi mangsa dan kos pembaikannya pasti mahal.
Mungkin ada yang terus mencelah, “insurans kan ada.” Tapi, persoalannya ialah adakah tindakan pemandu Myvi tersebut boleh diluluskan tuntutan insurans/takaful keretanya? Kalau boleh, adakah NCD (No Claim Discount) pemilik Myvi itu akan ditolak dan berapakah nilai tuntutan yang boleh dibuat?
Pilih tuntutan Knock-For-Knock Own Damage (KFK-OD)
Menurut penjelasan dibuat oleh Etiqa Blog, pemilik Myvi tersebut boleh membuat tuntutan bagi kerosakan yang dialami menerusi tuntutan'Knock-For-Knock Own Damage' (KFK-OD) dari syarikat insurans atau pengendali takaful yang melindungi Myvi tersebut.
Tuntutan KFK-OD ini boleh dibuat jika pemandu atau pemilik yang menuntut bukannya pihak yang bersalah dalam kemalangan tersebut. Tuntutan ‘No-Fault Own Damage’ iaitu sebahagian daripada KFK tidak akan menyebabkan pemilik kehilangan NCD keretanya.
Ini adalah kelebihan bagi kereta persendirian dengan polisi Komprehensif (Comprehensive policy) dan ia hanya boleh dituntut jika anda terlibat dalam kemalangan dengan kereta persendirian lain yang juga mempunyai polisi Komprehensif.
Nilai tuntutan yang boleh dibuat pula bergantung kepada jumlah perlindungan yang diambil – samada mengikut Nilai Yang Dipersetujui (Agreed Value) ataupun Nilai Pasaran (Market Value). Anda boleh rujuk nilai tuntutan yang boleh dibuat di ‘cover note’ insurans kereta anda.
Situasi-situasi yang membolehkan tuntutan KFK-OD ditolak
Menurut info yang dihuraikan oleh Renew Insurance, ada beberapa situasi dimana tuntutan KFK-OD tidak boleh dibuat:
Apabila ada pihak ketiga yang mengalami kecederaan fizikal tanpa mengira pemandu mana yang salah.
Apabila syarikat insurans/pengendali takaful kenderaan pihak ketiga tersebut dari luar Malaysia (contohnya Singapura/Brunei).
Apabila kenderaan pihak ketiga itu ialah jenis bas, teksi, limo, atau kereta sewa/'hire and drive'
Oleh itu, jika kereta anda mengalami kerosakan disebabkan oleh bas atau teksi, anda tidak boleh tuntut di bawah KFK-OD. Anda perlu ambil langkah biasa iaitu menuntut ‘Third Party Property Damage’ terhadap insurans bas atau teksi berkenaan.
Dalam kes ini, anda perlu baiki kenderaan anda terlebih dahulu dan hantar tuntutan tersebut atau ‘claim’ dari syarikat insurans bas atau teksi berkenaan. Pilihan terakhir adalah anda boleh tuntut dibawah ‘Own Damage’ yang boleh menyebabkan anda kehilangan NCD jika anda ada polisi Komprehensif.
Apa yang perlu dilakukan sejurus selepas kemalangan berlaku?
Bagi pemandu Myvi tersebut dan sesiapa sahaja yang baru terlibat kemalangan, pemandu/pemilik perlu memastikan langkah-langkah di bawah diambil dengan segera:
1. Kumpul seberapa banyak bahan bukti sejurus selepas kemalangan. Keluarkan kamera telefon pintar anda dan ambil gambar. Bertukar nombor telefon atau dapatkan maklumat pemandu yang melanggar.
2. Pastikan insurans atau takaful bagi kenderaan masih sah dan aktif ketika kemalangan berlaku.
3. Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan berlaku.
4.Hubungi syarikat insurans atau takaful dalam tempoh 14 hari dari tarikh kemalangan.
Kesimpulan
Kita pandu dah cukup selamat dah. Tapi, kes-kes seperti Myvi dan Waja di atas jadi iktibar yang walaupun kita tak buat salah, ada saja pemandu lain yang kurang panjang akalnya semasa memandu di jalan raya awam. Oleh itu, mujur ada insurans yang boleh melindungi pengguna jalan raya yang tidak bersalah. Hubungi syarikat insurans atau pengendali takaful anda bagi sebarang maklumat lanjut dan pengesahan polisi insurans kereta anda.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.