2020 Honda City baru sahaja menjengah ke pasaran Malaysia. Persaingan antara model ini dengan Toyota Vios sememangnya suatu persaingan yang tidak asing lagi dalam kelasnya namun kini tidak lagi.
Kehadiran pencabar terbaru iaitu 2020 Nissan Almera Turbo yang merupakan suatu anjakan daripada Nissan Almera generasi terdahulu memberikan saingan 3 penjuru yang lebih mengujakan. Oleh itu, mari perhatikan dengan lebih dekat varian paling atas ketiga-tiga model ini.
Spesifikasi enjin
Sedan segmen B rata-ratanya disasarkan kepada pemandu yang muda (atau berjiwa muda) jadi sudah tentulah kuasa enjin memainkan peranan. Oleh itu, di atas ini adalah perbezaan antara ketiga-tiga enjin pada ketiga-tiga model.
2020 Honda City RS tampil dengan enjin hibrid paling berkuasa antara ketiga-tiga model ini. Enjin 1.5 liter hibrid i-MMD merupakan yang pertama di dunia pada sebuah Honda City. Berbeza daripada enjin pada varian lain, enjin ini mengeluarkan output gabungan sebanyak 109 PS kuasa kuda dan 253 Nm tork, paling berkuasa antara ketiga-tiga model.
Selain itu, 2020 Honda Almera Turbo VLT menggunakan enjin Turbo baru yang diinspirasikan daripada teknologi Nissan GTR. Enjin 3 silinder 1.0 liter berkuasa turbo ini menghasilkan 100 PS kuasa kuda dengan 152 Nm tork. Bukan kekuatan Nissan Almera Turbo tetapi bukan juga kelemahannya.
Di penjuru terakhir, 2019 Toyota Vios G masih setia dengan enjin NA. Enjin 1.5 liter Dual VVT-i ini hanya menjana 107 PS kuasa kuda dengan 140 Nm tork. Angka tersebut tidak memberikan keseluruhan gambaran kerana antara ketiga-tiga enjin, enjin pada 2019 Toyota Vios G ini boleh dipercayai, tahan lasak dan andal.
Dimensi
Jika saiz menjadi ukuran, maka bandingkan sendiri saiz antara ketiga-tiga model ini. Honda City sedikit lebih besar berbanding pencabarnya namun dimensi yang lebih menonjol adalah panjang Honda City. Adakah saiz luaran benar-benar menjadi ukuran? Nyatakan di bahagian komen.
Kelengkapan
Ketiga-tiga model dilengkapi dengan ciri-ciri dan fungsi terbaru. Namun tidak semua kecanggihan yang ditawarkan setaraf. Faktor seperti kejelasan suara dan peredam bunyi masih belum teruji pada Honda City RS dan Nissan Almera Turbo VLT.
Para penggemar audio atau hiburan dalam kereta tentu menyukai kelengkapan yang ada pada Honda City 2020 ini. Menggantikan sistem infotainment yang teruk pada model terdahulu, Honda City 2020 dilengkapi skrin infotainment 8 inci dengan fungsi Android Auto dan Apple Carplay, dibantu dengan 8 pembesar suara.
2020 Nissan Almera Turbo turut menerima paparan skrin infotainment 8 inci tetapi hanya fungsi Apple Carplay yang dilengkapi. Android Auto tidak dibekalkan, menjadi tanda tanya mengapa kemaskini perisian yang mudah seperti ini dihiraukan.
Bukan kekuatan 2019 Toyota Vios G, sistem infotainment pada varian ini sekadar mencukupi sahaja. Nampak sedikit ketinggalan tetapi 2019 Toyota Vios G mempunyai antara penebat bunyi yang terbaik dalam ujian kami. Ruangan dalaman yang senyap memberikan perasaan yang lebih tenang.
Keselamatan
2020 Honda City menerima 6 beg udara, teknologi Honda LaneWatch dengan sistem bantuan pemandu ADAS Honda Sensing. Untuk mengetahui mengapa sistem Honda Sensing adalah yang terbaik, baca dalam artikel ini.
Tidak kurang hebatnya, 2020 Nissan Almera Turbo turut mempunyai 6 beg udara dengan Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Belakang, Kamera pandangan 360 darjah dan Brek Kecemasan Automatik (AEB).
Walaubagaimanapun, 2019 Toyota Vios G masih menduduki tempat teratas dengan tawaran 7 beg udaranya. Ia juga turut mempunyai Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Belakang dan Kamera pandangan 360 darjah. Tiada AEB tetapi Toyota Vios G didatangkan dengan kamera dashcam terbina dalam, sebuah fungsi yang penting tetapi tidak ditawarkan pesaing secara percuma.
Kesimpulan
Berbalik kepada soalan utama, antara gaya mutu dan keunggulan, yang mana satukah yang anda pilih? Pendapat peribadi kami adalah 2020 Nissan Almera Turbo VLT dan 2020 Honda City RS sangat bergaya dan tidak kurang hebat dalam tawaran kuasa enjin.
Walaubagaimanapun, banyak maklum balas positif diterima untuk rekaan terbaru Nissan Almera Turbo VLT. Mungkin kerana rekaan terbaru Nissan Almera Turbo merupakan suatu anjakan paradigma terhadap generasi Nissan Almera terdahulu.
Paling berumur dan paling murah antara ketiga-tiganya, 2019 Toyota Vios G adalah model yang lebih dipercayai ramai dengan rekod keandalan yang baik. Tidak kurang agresif juga Toyota Vios G ini dengan jalur merah pada skirting dan bumper, memberikan kontras yang ketara. Apatah lagi harga dengan kelengkapan dan ketahanan yang ditawarkan, model ini sememangnya sangat baik.
Adakah harganya akan memainkan peranan? Atau layanan servis lepas jualan adalah salah satu faktor pilihan? Nyatakan komen anda di ruangan komen kami.
Dapatkan respons dalam masa 24 jam!
2023 Honda City 1.5L e:HEV RS
Upgrade
Add your car