Perodua Aruz, Proton X70. Ke mana hilangnya nama tempatan seperti Kancil dan Saga?
Haris · Sep 11, 2020 08:00 PM
0
0
Pada awal pembabitan Perodua dan Proton dalam industri automotif Malaysia, kedua-dua jenama Malaysia ini menggunakan nama yang agak menarik pada barisan model mereka. Siapa yang tidak ingat dengan Perodua Kancil, Kelisa, Rusa yang menggunakan nama haiwan?
Perodua mula mengubah strategi nama model mereka sekitar tahun 2005 dengan Perodua Myvi. Selepas itu, nama yang lebih unik dipilih seperti Perodua Viva (Untuk Hidup dalam bahasa Latin), Perodua Axia (diolah dari nama benua Asia, dengan menukarkan huruf S kepada X, angka roman 10 bagi model ke-10 Perodua) dan Perodua Alza (Bangkit dalam bahasa Sepanyol).
Perodua mungkin mengikut langkah Proton di mana Proton mula-mula menukar nama yang unik dengan pelancaran Proton Gen 2 (singkatan daripada Generation 2) pada tahun 2004.
Model Proton selepas itu tidak lagi menggunakan perkataan tempatan (Savvy, Inspira, Iriz). Sebelum soal Proton Persona (2007) dibangkitkan, nama Persona sebenarnya telah didaftarkan pada tahun 1993 sebagai model Proton Wira pasaran eksport.
Nama kereta walaupun nampak picisan sebenarnya penting dalam menilai hala tuju syarikat. Perhatikan sahaja penggunaan nama ataupun kod yang diletakkan pada model-model kereta. Di sinilah kita dapat melihat aspirasi syarikat.
Nama model guna perkataan
Jika anda melihat kepada pengeluar-pengeluar yang masih mengekalkan tradisi menggunakan perkataan yang memberi maksud kepada barisan produk mereka, anda boleh menjangkakan bahawa pengeluar tersebut merancang untuk menarik minat pembeli yang lebih umum dan pasaran massa (mass market).
Contohnya, Volkswagen dengan pilihan nama model seperti Golf, Arteon dan Tiguan adalah sebuah ‘kereta rakyat’ Jerman. Volkswagen Tiguan juga merupakan SUV paling laris di Eropah. Contoh yang lebih baik sudah tentulah Toyota dengan pilihan nama model seperti Vios, Corolla dan Camry. Renault juga menggunakan taktik nama sama dengan Clio, Captur dan Megane.
Dalam konteks Malaysia, Perodua masih lagi menggunakan nama-nama unik sebegini. Proton pula menggunakan kedua-dua strategi nama model. Kita boleh lihat perbezaan kualiti model melalui namanya sahaja. Setuju?
Pada hujung spektrum yang berbeza, jenama ultra-mewah juga turut menggunakan nama perkataan dalam model mereka. Jenama seperti Rolls Royce, Bentley, Lamborghini dan Maserati masih menggunakan perkataan sebagai nama model mereka. Hal ini kerana, jenama mewah tidak perlu mengikut trend pasaran, kaya dengan warisan dan berada dalam kelas yang tersendiri.
Nama model kod nombor dan gabungan huruf
Model kereta menggunakan kod huruf dan nombor lebih sinonim dengan ‘kereta conti’ seperti BMW, Mercedes-Benz dan Audi. Bagi peminat kereta tegar, mereka tentu dapat membezakan antara model BMW 330i dengan BMW 320i namun bagi orang kebiasaan, tak ada siapa kisah model yang mana lebih baik atau mahal.
Kekeliruan ini adalah sebahagian daripada strategi pemasaran yang bijak dan sengaja mengelirukan. Hal ini kerana pengeluar jenama terbabit mahu orang awam supaya tertumpu kepada jenama dan bukannya model kereta secara spesifik. Apabila anda melihat BMW 330i, anda akan memanggil kereta tersebut BMW. Apabila anda melihat Perodua Myvi, anda terus memanggil Myvi Raja Jalanan dan bukannya Perodua.
Mengaburi nama model kereta dengan menggunakan kod memberi peluang untuk membina identiti dan prestij terhadap jenama itu sendiri. Peluang inilah yang diambil oleh Dr Li Chunrong ketika mengambil keputusan menamakan Geely Boyue versi Proton kepada Proton X70. Beliau berpendapat, dalam usaha menaikkan imej Proton, langkah menggunakan nama kod seperti X50, X70 dan X90 adalah lebih tepat.
Nama model berdasarkan kod ini selalunya dikaitkan dengan jenama premium (bukan mewah). Kebanyakan model jenama premium menggunakan taktik nama kod pada barisan produk mereka. Contohnya Mazda, Lexus, BMW, Mercedes-Benz dan Jaguar.
Seperti Proton, Honda dan Toyota juga menggunakan kedua-dua strategi nama yang seperti BR-V, CR-V, RAV4 dan C-HR. Hal ini adalah untuk membina sedikit 'rasa' premium dan menonjolkan model tersebut sebagai serba baru.
Bukan isu patriotisme
Tidak dinafikan, Proton dan Perodua adalah jenama kebanggaan Malaysia tetapi jangan dilupakan bahawa mereka pada asasnya adalah sebuah perniagaan. Kita sepatutnya tidak lagi memanggil kedua jenama ini sebagai ‘kereta nasional’, sebaliknya mereka lebih sesuai digelar ‘pengeluar kereta domestik’.
Oleh kerana tidak terikat dengan mana-mana pihak, sudah tentu mereka bebas untuk memilih nama kereta apa yang sesuai dengan halatuju mereka sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran.
Melihat kepada strategi perniagaan masing-masing, maka tidak hairanlah jika nama-nama tempatan tidak lagi digunakan pada model-model kereta sekarang. Hal ini bukan berkaitan dengan isu patriotisme malah sepenuhnya adalah taktik pemasaran dan trend industri.
Adakah anda rasa nama tempatan lebih menarik atau lebih sukakan trend nama sekarang?
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.