Perodua Ativa 2021 vs Nissan Almera – kereta 1.0L turbo mana yang patut anda beli?
Faisal · Mar 6, 2021 12:00 PM
Semalam, Perodua Ativa telah dilancarkan secara rasmi. Berbanding model-model Perodua yang sebelumnya, SUV yang cukup dinantkan ini jauh lebih canggih. Dengan enjin 1.0L turbo, Perodua Ativa sebenarnya mengingatkan kami kepada Nissan Almera.
Walaupun berada pada kategori yang berbeza, kedua-dua kereta datang dengan format trenkuasa yang sama, iaitu enjin 1.0L turbo 3 silinder yang dipadankan dengan transmisi CVT.
Dengan itu, apa kata kita bandingkan diantara mereka.
Harga
Untuk varian teratas, Nissan Almera VLT bermula dari harga RM 93,310, manakala Perodua Ativa 1.0 AV pula bermula dari RM 72,000. Harga sahaja sudah memihak kepada Perodua Ativa kan?
Trenkuasa
Enjin Nissan Almera menghasilkan 100 PS dan 152 Nm tork. Enjin Perodua Ativa pula menghasilkan 98 PS dan 140 Nm tork.
Dari segi transmisi, kedua-dua saingan ini menggunakan jenis CVT. Tetapi D-CVT (Dual-mode CVT) yang diguna pada Perodua Ativa sebenarnya lebih canggih.
Ia menggunakan set gear fizikal pada kelajuan sederhana dan tinggi untuk pemanduan yang lebih bertenaga dan efisien.
Sewaktu ujian kami tempoh hari, Nissan Almera berupaya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 11.7 saat. Untuk maklumat anda, ia lebih laju daripada Toyota Vios yang datang dengan enjin 1.5L aspirasi natural. Untuk pecutan Perodua Ativa pula, tunggu uji pandu kami tidak lama lagi!
Walaupun Perodua Ativa kekurangan dari segi kuasa, beratnya hanyalah 1,035 kg. Sebagai perbandingan, Nissan Almera membawa berat sebanyak 1,114 kg.
Dari segi ujian penjimatan minyak, Nissan Almera sebenarnya di tangga teratas untuk WapCar. Ia boleh mencatat penggunaan petrol serendah 5.8 liter/100 km. Menurut Perodua pula, Ativa mampu melakukan serendah 5.29 liter/100 km. Kalaulah dapat angka sebegini, ia akan menjadi kereta paling menjimatkan minyak yang pernah kami uji.
Sistem bantuan pemandu ADAS
Nissan Almera VLT datang dengan kawalan pelayaran. Tetapi, Perodua Ativa AV lebih mengagumkan kerana ia datang terus dengan jenis adaptif (Active Cruise Control).
Ciri keselamatan
Perodua Ativa 1.0 AV
Nissan Almera 1.0 VLT
ABS
✓
✓
HSA
✓
✓
VSC
✓
✓
6 beg udara
✓
✓
ACC
✓
✕
LKC
✓
✕
BSM
✓
✓
RCTA
✓
✓
Selain itu, Perodua Ativa juga ditawarkan dengan lampu depan LED jenis adaptif. Untuk harga ini, ia agak menakjubkan.
Praktikaliti
Ruang but pada Nissan Almera.
Dari sudut ini, Nissan Almera mempunyai kapasiti but seluas 482 liter. Kapasiti but pada Perodua Ativa pula hanyalah seluas 369 liter. Jadi, Nissan Almera ada kelebihan dalam aspek ini walaupun ia sebenarnya paling kecil untuk kategori sedan segmen B.
Kerusi belakang pada Perodua Ativa yang boleh dilipat 60:40.
Jika kerusi belakang dilipat, sudah tentu anda dapat ruang but yang lebih luas. Tetapi zaman sekarang, hampir semua kereta ada ciri ini.
Konklusi
Situasi untuk pembeli memilih diantara Nissan Almera atau Perodua Ativa mungkin jarang berlaku kerana harga diantara mereka cukup berbeza. Cumanya, agak menarik untuk bandingkan diantara saingan yang menggunakan format enjin yang sama.
Dengan nilai yang ada pada Perodua Ativa, pasaran sedan, hatchback, dan SUV di segmen B di Malaysia dijangka terganggu. Oleh itu, apa kata anda ke bilik pameran Perodua untuk menilai sendiri SUV tempatan yang terbaru ini.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen