Perodua Ativa (D55L) dengan ASA 3.0 - 'standby' tengok pemilik bodoh 'try' fungsinya sampai ter-over
Faisal · Feb 23, 2021 07:00 PM
0
0
Dengan tempahan yang sudah dibuka pada minggu lalu, rakyat Malaysia pasti tidak sabar dengan pelancaran Perodua Ativa (D55L). Seperti yang anda tahu, SUV di segmen B ini hadir dengan sistem bantuan keselamatan ADAS yang dikenali sebagai ASA 3.0. Versi kali ini merangkumi ciri seperti:
Lane Keep Control
Blind Spot Monitor
Rear Cross Traffic Alert
Adaptive Cruise Control
Cuba anda bayangkan. Ciri kawalan pelayaran adaptif serendah harga RM 73,000, macam tak percaya kan? Persoalannya, adakah rakyat Malaysia bersedia dengan teknologi pemanduan autonomi secanggih ini? Mari kami kupaskan.
Adakah ADAS memudaratkan?
Tanpa sebarang keraguan, Perodua Ativa bakal menjadi satu kehangatan di negara kita. Dengan bilangan pemilik yang bakal mencecah puluhan ribu, tidak hairanlah kalau segelintir daripada mereka menyalahgunakan kebolehan teknologi pemanduan autonomi seperti ini.
Sebagai rakyat Malaysia, bermain telefon ketika memandu, memandu dengan sebelah tangan ataupun tidak memegang stereng langsung adalah kelalaian yang biasa kita lihat.
Kemudian, ada juga yang jenis tidak baca buku manual kenderaan langsung. Apabila ada persoalan tertentu, mereka hanya bergantung pada andaian yang dibuat di media sosial.
Mengenai teknologi bantuan keselamatan ADAS, ia bukanlah magik. Untuk pengetahuan anda, ia bergantung rapat dengan kamera dan radar. Untuk keadaan cuaca yang lebih mencabar, sudah tentu kemampuannya menjadi terhad.
Sebelum wabak Covid-19 melanda, rakyat boleh melihat demonstrasi teknologi ADAS oleh pelatih professional. Perkara ini sangat bermanfaat untuk pembeli supaya mereka faham akan kebolehan dan kelemahan teknologi ADAS secara menyeluruh.
Secara teknikal, teknologi ADAS yang diterapkan pada ASA 3.0 boleh memandu kereta anda secara sendiri. Tetapi, anda tidak seharusnya bergantung 100 peratus dengannya.
Bila anda pandu, pandu betul-betul
Tidak dinafikan bahawa usaha Perodua untuk tingkatkan standard keselamatan sehingga ke tahap teknologi pemanduan sendiri sangatlah terpuji. Tetapi apa yang lebih penting sebagai pemilik kereta ialah kebolehan diri sendiri untuk memandu dengan selamat.
Teknologi ADAS bukanlah alasan untuk anda bermain telefon. Ia direka khas untuk menolong pemandu dalam meneliti keselamatan di jalan raya.
Konklusi
Secara keseluruhan, keselamatan pemanduan bergantung rapat dengan pemandu itu sendiri. Biarkan teknologi ADAS dengan kemampuannya, anda dengan tanggungjawab anda sendiri. Lagipun, anda yang dapat lesen memandu kan?
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.