Pelancaran kereta lokal pertama tahun 2020 adalah facelift Perodua Bezza. Sebagai satu-satunya sedan Perodua dan juga kenderaan mereka paling laris, Bezza bagaikan anak emas bagi pembuat kereta nasional kedua tersebut.
Dengan pelancaran ini, Perodua telah mengurangkan varian Bezza facelift ini kepada 4 varian, dimana mereka menggugurkan Perodua Bezza 1.3 Premium X (MT) 2019 yang kurang mendapat sambutan.
Walaubagaimanapun, satu perkara yang sering dipersoalkan mengenai kereta ini adalah harganya. Semakin lama, harga bagi Bezza semakin naik dimana Bezza 1.3 AV (AT) kini lebih mahal dengan tambahan RM 2,190 dari harga sebelumnya.
Bagi sesetengah orang, ia mungkinlah perbezaan yang kecil untuk ciri-ciri yang ada pada Bezza tersebut. Tetapi bagi ramai pembeli dalam segmen ini, kenaikan 5% itu cukup untuk membuatkan pembeli batalkan niat untuk teruskan pembelian.
Inilah sebabnya kami memilih untuk berpihak pada Perodua Bezza 1.3 Premium X (AT) yang pada hemat kami, didatangkan dengan pelbagai keperluan-keperluan penting yang anda cari dalam sedan sesuai untuk keluarga atau untuk dijadikan sumber pendapatan dalam bisnes e-hailing yang kini popular di Malaysia.
Keselamatan itu penting!
Perodua kini telah menambah kawalan stabiliti elektronik atau ESC dalam varian 1.3 Premium X yang dianggap ciri keselamatan aktif yang amat penting untuk membantu pemandu dapatkan semula kawalan kereta semasa kehilangan daya tarikan yang tak dijangka semasa memandu.
ESC ini amat berguna apabila memandu dalam cuaca hujan dan juga perjalanan jauh sebagai perlindungan tambahan. Kami tidak akan rekomen kereta yang tiada ESC kerana bagi kami, ia amat penting.
Walaubagaimanapun, Perodua Bezza 1.3 Premium X hanya dianugerahkan 4 bintang dalam rating keselamatan kemalangan ASEAN NCAP. Ini kerana hanya model yang didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan A.S.A 2.0 (Advanced Safety Assist) akan diberi 5 bintang.
Premium X pilihan paling bagus untuk Bezza facelift
Pada facelift Bezza 1.3 Premium X, ia dipadatkan dengan pelbagai ciri hebat seperti lampu kabus hadapan, aloi dwi-tona 15 inci, tempat duduk ‘semi-bucket’ berfabrik, pengesan parkir hadapan, sistem masuk dan mula tanpa kunci berserta sistem audio dengan 4 pembesar suara dan juga sambungan Bluetooth & USB.
Ciri-ciri ini cukup berbaloi bagi kenderaan yang boleh dikatakan premium dan eksklusif.
Tak ada Eco-Idle = tak perlu bateri mahal = lebih penjimatan
Walaupun menggunakan enjin petrol DVVT-i 4 silinder 1NR-VE 1.3-liter (95 PS/121 Nm) bagi varian 1.3 AV tahap tinggi, Premium X tidak diberi Eco-Idle iaitu ciri start-stop automatik.
Ini juga bermaksud yang anda tak perlu keluarkan lebih banyak belanja untuk unit bateri yang serasi dengannya kerana ia selalunya dalam 50% lebih mahal berbanding unit bateri biasa.
Walaupun tanpa Eco Idle, facelift Bezza 1.3 Premium X ini masih menjanjikan penjimatan petrol yang dinyatakan Perodua pada 4.8L/100 km berbanding 4.5L/100 km dengan Eco Idle.
Harga yang masuk akal pada RM 43,980
Bila tengok harga, sememangnya ramai akan buat perbandingan. Pesaingnya iaitu Proton Saga yang difacelift bernilai antara RM 32,800 to RM 39,800. Hakikat yang Perodua Bezza lebih mahal dari pesaingnya memang tak boleh disangkal lagi.
Bezza 1.3 AV dipasarkan dengan harga RM 49,980, iaitu RM 10,180 lebih mahal dari Saga 1.3 Premium yang difacelift. Walaupun Bezza ada A.S.A 2.0, perbezaan harga ini masih lagi jauh ketara.
Walaubagaimanapun, seperti yang kami bincangkan tadi, aspek keselamatan dalam Perodua Bezza 1.3 Premium X masih lagi menjadi pilihan kerana ia berbaloi dan menguntungkan bagi jangka masa panjang kerana anda boleh bergantung pada ciri keselamatan yang diberi. Menang membeli, alah memakai.
Secara keseluruhannya, 1.3 AV (AT) terlalu mahal manakala model 1.0 G pula tidak didatangkan dengan ESC. Lagi sekali, 1.3 Premium X jugalah yang menjadi pilihan kami dalam barisan facelift Perodua Bezza.
Apa-apa varian pun yang anda pilih, setiap facelift Perodua Bezza disertakan dengan waranti 5 Tahun/150,000 km.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.