Edaran Tan Chong Motor (ETCM) turut membuat prebiu Nissan Kicks e-Power di Malaysia Autoshow 2024.
Secara tidak langsung, SUV segmen B yang bertrenkuasa hibrid siri ini mungkin dilancarkan di pasaran kita. Walau bagaimanapun, belum ada kata putus daripada ETCM, termasuk juga soal pemasangan tempatan (CKD) atau import (CBU).
Secara teknikal, Nissan Kicks e-Power menggunakan enjin 1.2L NA 3-silinder hibrid (82 PS/103 Nm) yang hanya berfungsi sebagai penjana untuk mengecas bateri bervoltan-tinggi 1.57 kWh.
Oleh itu, rodanya dipandu oleh motor elektrik berkuasa 136 PS/280 Nm. Disebabkan itu, penggunaan petrolnya didakwa boleh mencapai serendah 2.2 liter/100 km dan jarak pandu elektriknya boleh mencapai 900 km.
Untuk pengetahuan anda, sistem hibrid e-Power jenis siri ini berbeza dengan konfigurasi siri-selari i-MMD Honda dan Hybrid Synergy Drive Toyota kerana teknologi hibrid pesaing kadang-kadang memerlukan enjin untuk turut menguasai roda.
Juga baca: Pengalaman memandu Nissan Note e-Power - minyak 2.8L/100km, Axia tak boleh cari makan!
Dari segi dimensi, Nissan Kicks e-Power lebih kurang sama dengan Honda HR-V, Proton X50 dan Hyundai Creta.
Di bahagian dalam, Kicks e-Power datang dengan tempat duduk Zero Gravity, kluster digital 7-inci, infotainment 8-inci yang menyokong Android Auto/Apple CarPlay, kamera 360-darjah dan bermacam lagi.
Dengan cermin hitam sepenuhnya, kelengkapan yang hadir pada unit prebiu ini masih belum dapat dipastikan.
Bergantung pada varian dan pasaran, antara ciri yang ada pada SUV hibrid ini ialah rim 17-inci, lampu LED penuh dan ADAS Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang merangkumi ciri:
- Intelligent Cruise Control (ACC)
- Blind Spot Warning system (BSW)
- Intelligent Trace Control (ITC)
- Intelligent Forward Collision Warning (FCW)
Untuk makluman anda, Kicks e-Power telahpun dilancarkan di pasaran-pasaran utama ASEAN, kecuali Malaysia.
Di Thailand, walaupun Kicks e-Power sebuah SUV segmen B, harga mulanya 2.4% lebih murah daripada Honda WR-V (segmen A atas) iaitu THB 799,000 (~RM 104k).