Sedang seronok-seronok keluar dengan famili, pintu gelongsor/’sliding door’ MPV anda tiba-tiba buat hal pula. MPV anda barangkali Toyota Alphard, Toyota Estima, Toyota Sienta, Nissan Serena, Hyundai Starex, ataupun Kia Grand Carnival.
Pintu gelongsor manual lebih mudah untuk dibaiki, tapi pintu gelongsor berkuasa susah sikitlah gamaknya.
Sebelum anda kelam kabut pandu ke bengkel dengan pintu yang rosak, barangkali anda boleh cuba periksa beberapa perkara terlebih dahulu. Jalan penyelesaiannya selalunya jauh lebih murah dari sangkaan anda.
1. Pintu gelongsor payah untuk dibuka atau ditutup? Barangkali trek pintu itu kotor
Trek bagi pintu gelongsor di dalam Honda Odyssey. Gambar: 1A Auto
Pintu gelongsor pada sebuah MPV bergerak di atas satu trek atau laluan yang ditetapkan. Penggunaan kerap dan dalam jangkamasa yang lama boleh membuatkan laluan/trek ini kotor dengan tanah dan debu yang terkumpul dan kadangkala, air pun boleh masuk ke laluan tersebut.
Trek yang kotor tak akan menyebabkan pintu gelongsor tersebut tersekat sampai tak boleh bergerak, cuma ia akan menyukarkan anda ketika hendak membuka atau menutup pintu tersebut.
Kekotoran terkumpul sekian lama
Minyak pelincir atau ‘grease’ yang telah dicemari air akan mengurangkan tahap keberkesanannya dan boleh menyebabkan karat di kawasan sukar dicapai. Kekotoran meningkatkan lagi kadar geseran antara roda/’rollers’ dengan trek pintu.
Bersihkan trek dengan kain lap dan tambah minyak pelincir baru.
2. Pintu gelongsor tak boleh dibuka? Barangkali disebabkan fius terbakar
Fius pintu berkuasa yang terbakar di dalam Toyota Estima. Gambar: Rizal Latip
Apabila fius terbakar, keseluruhan kawalan pintu tersebut gagal serta-merta. Mudah saja jika anda nak periksa fius yang sudah terbakar dan anda boleh DIY saja. Yang pastinya, perkara/isu ini tidak melibatkan pintu gelongsor manual.
Fius pintu selalunya terletak di belakang papan pemuka/’dashboard’ di sebelah pemandu. Anda boleh cari sendiri nanti.
Jika fius ini didapati sudah terbakar, ganti saja dengan fius yang baru. Jalan penyelesaian ini kosnya hanya bawah RM 5.
Tak sampai RM 5 untuk diganti
Jika fiusnya masih elok tetapi pintu masih belum dapat berfungsi, masalahnya pasti di tempat lain.
3. Pintu gelongsor masih belum dapat dibuka? Boleh jadi masalah pada motor pelepas / ‘release motor’
Motor pelepas yang kecil ini berfungsi untuk menyerupai aksi menarik pemegang pintu. Ia menarik satu kabel yang melepaskan selak bagi pintu gelongsor berkenaan.
Kos bagi motor pelepas kecil ini selalunya sekitar RM 50
Apabila motor pelepas kecil ini rosak, anda masih boleh dengar bunyi “motor pintu gelongsor berkuasa” yang besar cuba untuk membuka pintu tapi pintu masih tidak dapat dibuka.
Apabila motor pelepas kecil mengalami kegagalan, motor pintu gelongsor berkuasa yang lebih besar tidak mampu untuk membuka pintu berkenaan.
Ia hanyalah motor yang sangat kecil dan tak mahal untuk diganti. Namun, ia agak sukar untuk dicapai memandangan kad pintu masih perlu ditanggalkan.
Trim pintu perlu ditanggalkan terlebih dahulu untuk mencapai motor tersebut. Gambar
Apabila kad pintu sudah ditanggalkan, keluarkan unit pelepas utamanya. Leraikan dan anda dapat lihat motor pelepas serta beberapa roda gigi. Motor baharu selalu dijual pada harga sekitar RM 50.
Kalau rasa susah sangat nak buat sendiri, anda boleh saja pergi ke bengkel yang dipercayai dan minta mekanik buatkan.
Rumusan
Perkara yang kami terangkan di atas adalah antara solusi biasa yang murah dan mudah untuk dilakukan bagi pintu berkuasa/’power door’ anda. Namun, ini tidak menyingkir kemungkinan isu kerosakan lain. Seperti biasa, jalan penyelesaian paling mudah ialah pergi ke bengkel yang dipercayai untuk cari dan baiki punca kerosakannya.
Jika bengkel yang anda percayai sukar untuk dikunjungi, anda boleh nyahaktifkan pintu berkuasa berkenaan buat sementara waktu dan gunakannya secara manual sementara menunggu untuk ia dibaiki.
Bergantung kepada model kereta anda, ia juga barangkali disebabkan oleh masalah selak, sambungan yang longgar, wayar yang reput, bahagian mekanikal yang rosak, ataupun apa-apa saja masalah lain yang berkaitan.
Walaubagaimanapun, melainkan kereta tersebut pernah mengalami perlanggaran dari sisi ataupun meredah banjir, agak jarang sekali ‘motor pintu gelongsor berkuasa’ utamanya ataupun bahagian mekanikal utama yang mengalami kerosakan. Kosnya pasti lebih tinggi.
Pernahkah anda ada jenis-jenis masalah lain yang pernah dihadapi dengan pintu gelongsor kereta? Jom kongsi pengalaman anda di ruangan komen FB WapCar – BM nanti!
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.