Prebiu Chery Tiggo 7 Pro - pesaing X70 yang lebih premium, jadi semewah mana SUV ni?
Haris · Oct 28, 2022 05:00 PM
Sebagai sebahagian daripada strategi produk tiga serampang Chery Malaysia, Chery Tiggo 7 akan memasuki pasaran SUV segmen C yang kini mempunyai paling banyak persaingan. Tanpa syak lagi, segmen tersebut kini diterajui oleh Proton X70.
Chery Tiggo 7 Pro kini dalam generasi kedua seperti yang dilihat di sini telah membuat debut globalnya pada tahun 2020. Sejak itu, SUV ini telah menemui pelanggan di beberapa buah negara di seluruh dunia.
Chery Tiggo 7 Pro versi pemanduan kanan (RHD) membuat penampilan pertamanya di Afrika Selatan pada bulan Mei 2022 lalu.
Di Afrika Selatan, Chery Tiggo 7 Pro berharga antara ZAR 437,900 (~RM 115k) hingga ZAR 472,900 (~RM 124k), dengan selesa mencantas pesaing teras seperti Honda CR-V (ZAR 586,600 / ~RM 154k hingga ZAR 737,700 / ~RM 195k) serta Proton X70 yang dilancarkan baru-baru ini di sana (ZAR 529,900 hingga ZAR 639,900).
Untuk pasaran Afrika Selatan, ketiga-tiga SUV yang dinyatakan di sini adalah unit import (CBU). Sementara itu bagi kita di Malaysia, rancangan pemasangan tempatan (CKD) untuk Chery masih belum diperjelaskan, justeru masih ragu-ragu sama ada Chery Tiggo 7 Pro boleh menandingi harga Honda CR-V di sini.
Chery Tiggo 7 Pro juga merupakan sebahagian daripada acara prebiu yang diadakan oleh Chery Malaysia. Ini ialah pasukan baharu yang bertanggungjawab ke atas kebangkitan jenama itu, berbeza daripada Chery Automobiles Malaysia sebelum ini.
Perkara pertama yang paling menonjol, Chery Tiggo 7 Pro ialah sebuah SUV yang kelihatan megah, menampilkan gril hadapan yang menarik dikelilingi oleh sepasang lampu depan LED yang tajam. Di bawah lampu hadapan terdapat lampu kabus hadapan LED yang terletak di dalam kepingan trim hitam.
Bahagian belakang Tiggo 7 Pro menerima reka bentuk yang ringkas, dengan lampu ekor LED lebar penuh mengambil bahagian tengah. Posisi nombor plat diletakkan pada bahagian bampar bawah, menjadikan pintu belakang kelihatan bersih daripada sebarang perincian. Rim 18-inci melengkapi bahagian luar Tiggo 7 Pro.
Di bahagian dalam, kami berani mengatakan bahawa Tiggo 7 Pro mampu mengalahkan Proton X70 secara keseluruhan. Tempat duduk terasa mewah dan selesa, manakala papan pemuka dan panel pintu mendapat perincian kulit untuk titik sentuhan yang lebih mewah.
Terdapat paparan infotainment berdiri bebas 10.25-inci yang hadir dengan sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto, sesuatu yang tiada pada X70. Bagi penggemar butang fizikal pula, tentunya akan bersyukur dengan perincian ini yang terletak di bawah corong pendingin hawa.
Bercakap tentang penyaman udara, Tiggo 7 Pro mempunyai kawalan iklim automatik dwi-zon, boleh diakses melalui LCD di konsol tengah. Hadir dengan teks besar untuk dibaca mudah, trim hitam pianonya pula ialah magnet cap jari dan calar halus berdasarkan kegunaan. Walau bagaimanapun, apabila tiba untuk kawalan yang paling biasa digunakan, termasuk kelajuan kipas dan kawalan suhu, ia mampu dilaraskan melalui tombol fizikal.
Reka bentuk tombol gear shift-by-wire pada Chery Tiggo 7 Pro juga membebaskan ruang di bawah konsol tengah, oleh itu model ini mempunyai lokasi penyimpanan bijak yang mudah digunakan mirip Honda HR-V.
Memacu Chery Tiggo 7 Pro ialah enjin 4-silinder 1.5 liter pengecas turbo petrol yang menghasilkan 147 PS dan 210 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik jenis CVT. Gabungan rangkaian kuasa ini adalah sama dengan Chery Tiggo 4 Pro yang lebih kompak.
Di sebalik hud depan Chery Tiggo 7 Pro, pecutan mungkin tidak sepantas Proton X70 atau malah adik Tiggo 4 Pro yang lebih kecil. Pada hemat kami, ia memang mengambil masanya sendiri untuk beransur meningkatkan kelajuan, tetapi sebaik sahaja gear meningkat, Chery Tiggo 7 Pro mula bersinar.
Daripada tiga SUV yang kami pandu uji (Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro), SUV ini menawarkan keselesaan perjalanan yang terbaik dan paling senyap.
Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pasukan pemanduan dan pengendalian Proton kerana Proton X70 masih mempunyai sedikit kelebihan dalam aspek keselesaan dan pengendalian pemanduan.
Walaupun perjalanan Tiggo 7 Pro terasa nyaman, menyeterika jalan raya Setia Alam sebelum PRU 15 ini dengan agak mudah, terdapat hentakan sekali-sekala yang akan terasa lebih baik pada sebuah Proton.
Satu lagi perkara yang patut diberi perhatian ialah piksel kamera yang jelas. Kamera pada Chery Tiggo 7 Pro, termasuk kamera undur dan kamera pandangan 360 darjah, menawarkan ketajaman dan kejelasan yang unggul, sesuatu yang boleh dipelajari oleh pesaing yang lebih mahal seperti Mazda.
Pada akhir pandu uji ini, tanggapan awal yang dibentuk adalah agak positif untuk Chery Tiggo 7 Pro, namun ia memerlukan lebih banyak masa bersama baharulah pandangan ini dapat dikukuhkan.
Sesi 10 minit kami dengan Tiggo 7 Pro mungkin singkat, tetapi ia menunjukkan bahawa Proton X70 masih perlu digilap, terutamanya apabila berkaitan dengan pelaksanaan kabin dalaman.
Chery Malaysia masih belum menetapkan harga Tiggo 7 Pro sama ada ia akan tampil kompetitif dengan Proton X70, justeru ini akan menjadi faktor pemenang di sini.
Nantikan ulasan yang lebih mendalam mengenai Tiggo 7 Pro selepas model itu dilancarkan secara rasmi di Malaysia.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen