Proton Saga, Waja pakai enjin Honda Civic Type R? Inilah ‘engine swap’ pelik dalam casis Proton!
Zamil Syaheer · Nov 26, 2020 08:00 PM
0
0
Sebut saja Proton, memang kerjasama jenama itu dengan Mitsubishi suatu masa dahulu tidak boleh dilupakan, bermula daripada Proton Saga 1985 sehinggalah Proton Inspira 2014.
Sepertimana anda tahu, Proton mengambil asas platform Mitsubishi yang lama seperti Lancer, Eterna, Mirage, dan Galant sebelum merombak model-model ini menjadi model seperti Saga, Wira, Satria, Putra dan sebagainya.
Wira pakai enjin Lancer Evolution adalah satu perkara biasa. Imej dari Adam Photography.
Oleh itu, maka tak hairanlah banyak pemilik Proton menukar enjin asal kereta mereka ke model yang lagi berkuasa. Enjin yang paling terkenal sekali untuk ditukar adalah dari Mitsubishi Lancer Evolution yang menggunakan enjin 2.0 liter 4G63T 4 silinder bercas turbo.
Antara enjin Mitsubishi lain yang menjadi pilihan adalah enjin 4G921.6 liter 4 silinder MIVEC (170 PS, 167 Nm) ataupun 4G93T 1.8 liter 4 silinder bercas turbo (194~215 PS, 270~284 Nm bergantung pada varian) kerana kosnya yang lebih murah serta mudah untuk melepasi peraturan tukar enjin dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Bagaimana jika anda sudah bosan ataupun mahupun sesuatu yang unik? Dalam rencana kami kali ini, kami himpunkan koleksi Proton dengan enjin dari jenama kereta yang lain. Anda pasti tak sangka ianya boleh muat dalam Proton dan juga pernah dilakukan. Bab ‘endorse’ tu belakang cerita dulu.
“VTEC kicked in yo!” – ayat yang terkenal di kalangan peminat lambang H. Enjin 1.6 liter siri-B dari Honda, yakni B16A (digunakan pada Honda Civic, CR-X, dan Integra) serta B16B (dari Honda Civic Type R) adalah pilihan utama bagi pemilik Honda Civic pelbagai generasi di Malaysia
Bagi mana yang inginkan lebih kuasa, terdapat juga enjin 1.8 liter B18C dari Honda Integra Type R.
Pakai kon buat 'intake' pun boleh. Imej dari Str33t Gravity.
Enjin B16A menghasilkan 162~170 PS dan tork sebanyak 150~157 Nm, bergantung kepada generasi enjin ini. Manakala enjin B16B daripada Honda Civic Type R pula menghasilkan 185 PS dan 160 Nm tork.
Berbanding enjin siri 4G mahupun CamPro yang ada pada model Proton, dua enjin Honda ni jauh lebih berkuasa. Maka tak hairanlah ‘engine swap’ ini popular bagi mana yang inginkan kelainan.
Enjin siri-K ini adalah evolusi dari enjin B-series dengan seseran yang lebih besar iaitu 2.0 (K20), 2.3 (K23), dan juga 2.4 (K24).
Tetapi hanya tiga enjin dari siri-K yang digunakan oleh banyak peminat modifikasi iaitu K20A (dari Honda Civic Type R, Integra Type R, serta Accord Euro R), serta K24A2 dan K24A3 (Honda Accord dan Honda Odyssey).
Enjin K20A untuk Proton Putra drag! Imej dari Fuelgarden.
Enjin K20A menghasilkan 212~221 PS dan 202~215 Nm (bergantung kepada jenis) dan ia mampu rev sehingga 8400~8600 rpm. Dah nama pun enjin Type R, ‘confirm’ meraung baik punya.
Jika soal harga pula, enjin K24A2 (197 PS, 232 Nm) dan K24A3 (200 PS, 232 Nm) tidaklah terlalu mahal berbanding K20A. Namun begitu, kerana seserannya lebih besar berbanding siri-B maka tak banyak peminat modifikasi dari Proton memilih enjin ini.
Nissan – Siri-SR
Enjin SR16 NEO VVL dalam badan Satria Neo. Imej dari Super Cerita.
Enjin 4 silinder siri-SR adalah salah satu pesaing untuk enjin siri-B Honda aspirasi natural, dengan seseran 1.6 (SR16), 1.8 (SR18), dan 2.0 (SR20) liter.
Apa yang membezakan dengan enjin siri-B adalah ada versi 2.0 liter turbo bagi mana yang inginkan lebih kuasa dan tork.
Enjin SR20DE dalam badan Wira. Imej dari Vernfoong GT.
Pilihan popular untuk ‘swap’ enjin ini didalam Proton adalah dari versi SR16VE NEO VVL yang berseseran 1.6 liter. NEO VVL ialah ‘variable valve timing with lift control’ – fungsi yang sama dengan VTEC pada varian Type R. Enjin ini menghasilkan 175 PS dan 161 Nm, dengan ‘redline’ setinggi 8,300 rpm. Menjerit baq hang.
Jangan tipu lah pakai penutup enjin Proton. Imej dari Ariff Firdaus.
Bagi mana yang ‘gila kuasa’ dan inginkan sesuatu yang unik berbanding enjin 4G63T dari Mitsubishi, anda boleh menggunakan enjin 2.0 liter bercas turbo SR20DET. Bergantung kepada jenis SR20DET, enjin ini menghasilkan 201~247 PS dan tork sebanyak 274~280 Nm.
Tahukah anda divisyen prestasi Proton iaitu R3 (Race.Rally.Research) pernah menggunakan enjin SR20DET di dalam sebuah Proton Waja yang diubahsuai khusus untuk ‘drift’?
Idea pada ketika itu datang daripada pengasas R3 iaitu Tengku Djan Ley untuk tujuan promosi Proton Waja sepanjang tempoh jualannya di pasaran.
Waja ini asalnya adalah pacuan roda depan dengan posisi enjin melintang sisi (transverse), tetapi untuk ‘drift’ anda memerlukan pacuan roda belakang. Maka dengan itu, posisi tren kuasa Waja telah berubah melintang kedepan (longitudinal). Gempak tak?
Bukan itu saja, resipi yang sama digunakan oleh Encik Saiful 'Kecik', seorang pemilik Proton Wira di Pendang, Kedah yang telah mengubahsuai keretanya menjadi pacuan roda belakang dan menggunakan enjin SR20DET.
Dengan modifikasi yang agak melampau ini, memang kedua kereta ini sah digunakan untuk jalan raya.
Di Thailand, ada sebuah Proton Gen-2 yang menggunakan enjin SR20DET dengan 355 PS dan 433 Nm! Ini adalah peningkatan 3 kali ganda kuasa berbanding enjin standard CamPro. Lihatlah video di bawah. Memang gila kental!
Kalau anda peminat cerita animasi atau manga Initial D dari Jepun, anda pasti kenal enjin ini. Enjin 1.6 liter 4 silinder aspirasi natural berkod 4A-GE mula diperkenalkan seawal tahun 1983 dengan versi 16-injap.
9 tahun selepas itu barulah versi 20-injap yang lebih berkuasa dan sarat dengan teknologi baru diperkenalkan.
Terdapat dua generasi enjin 1.6 liter 4A-GE 20-injap ini, dimulai dengan generasi keempat yang digelar sebagai “Silver Top” dengan 155 PS dan 162 Nm tork (kerana penutup enjin yang bewarna perak), dan generasi kelima yang digelar “Black Top” (penutup enjin bewarna hitam) dengan 163 PS dan 162 Nm tork. Kedua enjin ini menggunakan sistem ‘variable valve timing’ (VVT).
Berbanding enjin B16A dan B16B dari Honda serta SR16VE dari Nissan, enjin ini kurang dari segi kuasa kuda. Malah sistem VVT-nya tidak agresif dan kuat berbanding Honda dan Nissan. Cuma kosnya jauh lebih murah.
Bonus – ‘engine swap’ yang luar biasa
V8 dari Nissan – siri-VH
Seorang pemuda dari Rawang En.Lie telah melakukan sebuah kerja gila dengan memuatkan enjin V8 VH41DE dari Nissan Cima yang berseseran 4.1 liter dan 48-injap ke dalam Proton Saga 1.3S 1989!
'Custom' kaw kaw.
Berbekalkan inspirasi “American Muscle” dari rancangan TV antarabangsa, Lie telah merombak Saga "Tun M" ini dengan pelbagai modifikasi ‘custom’ untuk membuatkannya pacuan roda belakang.
Enjin V8 ini menghasilkan 270 PS dan 377 Nm dari kilang. Sebagai perbandingan, enjin 1.3 liter 4G13 ‘Magma’ hanya menghasilkan 75~85 PS!
Yang membuatkan kami di WapCar respek En.Lie ini adalah segala hasil kerja luarbiasa ini dilakukan oleh Lie sendiri di rumahnya. Buat depan rumah je beb demi mengejar impian dan misi masa lapang. Memang betul kuat semangat "Malaysia Boleh".
Subaru terkenal dengan enjin ‘boxer’ (piston melintang) kerana memiliki pusat graviti yang rendah. Siri-EJ adalah enjin utama bagu Subaru, dengan semua enjin siri menggunakan 4 silinder 16-injap dan konfigurasi yang tersedia untuk susunan camshaft single, atau double-overhead (SOHC atau DOHC). Enjin ini juga hadir dalam aspirasi natural dan bercas turbo, antara 72 PS hingga 324 PS.
Dengan rekabentuk yang kompleks, ini bukanlah ‘engine swap’ yang popular. Ini adalah satu-satunya imej yang kami jumpa di laman internet. Tiada maklumat lanjut tentang model Proton ini melainkan ia menggunakan enjin EJ20 berseseran 2.0 liter dan bercas turbo yang diambil dari Subaru Impreza WRX.
Konklusi
Nampak barai tapi isi perut padu teruk. Imej dari Azizi Mohsen.
Inilah dia, koleksi Proton dengan ‘engine swap’ bukan daripada Mitsubishi. Jika anda lihat, enjin siri-B dari Honda sebenarnya agak popular bagi mana yang inginkan alternatif lain berbanding enjin 4G92, 4G93, atau 4G63 dari Mitsubishi.
Maklumlah harga ‘halfcut’ Mitsubishi pun dah makin mahal, jadi pemilik kereta pun kenalah jadi kreatif dan menggunakan enjin dari jenama lain.
Jika diberi pilihan, enjin mana satukah yang menjadi idaman hati anda? Adakah anda akan kekal setia dengan enjin Proton yang asal ataupun Mitsubishi, takpun anda seorang yang kreatif dan inginkan kelainan?
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.