Litar Nurburgring atau lebih dikenali sebagai The Green Hell adalah sebuah litar yang sangat terkenal bagi peminat sukan permotoran sedunia. Di antara liku-liku, titik buta dan curam yang menakutkan, Nürburgring senantiasa menjadi cabaran utama bagi pemandu-pemandu di seluruh dunia. Nürburgring adalah trek perlumbaan yang boleh dikatakan paling berbahaya dan paling panjang di dunia.
Lebih menarik lagi, 2 orang adik beradik, Jochem dan Ruben Gravemade, melalui instagram mereka Dutch Diy Mechanics telah memilih jentera Proton Wira dalam usaha menakluk Nurburgring. Menarik bukan?
Model Proton Wira yang dipilih adalah Proton Wira 415 GLSi tahun 1996. Kereta berumur 24 tahun tersebut telahpun ditala untuk pemanduan litar. Kereta ini adalah kereta pemanduan sebelah kiri (Left Hand Drive) yang bermakna kereta ini asalnya adalah kereta untuk pasaran Eropah.
Talaan kereta ini adalah seperti berikut. Enjin 1.5L 4G15 yang berkuasa sekitar 91 PS kuasa kuda digunakan. Rim 15 inci OZ dengan tayar Toyo Proxes R1R, pad brek Black Diamond untuk bahagian hadapan, EBC Brake Shoes untuk bahagian belakang, sistem suspensi APEX, tempat duduk jenis bucket jenama Sparco.
Warna yang dipilih oleh adik beradik ini adalah warna merah putih untuk menyerupai teksi di Malaysia. Di samping itu, kereta ini telah dikurangkan berat dan mempunyai ekzos yang bocor, kami yakin akan diperbetulkan dalam masa hadapan. Anda berminat untuk membantu adik beradik ini?
Perincian yang diletakkan di kereta ini juga sangat menarik. Misalnya, ada pelekat Drive Thru McDonalds Malaysia pada bahagian cermin hadapan dan pelekat teksi di sisi pemandu. Pelekat teksi tersebut turut meletakkan DDM Dutch Mechanics Sdn Bhd dan Ampang bagi memberikan lebih citra Malaysia.
Apabila ditanya mengapa adik beradik ini memilih Proton Wira sebagai jentera taruhan mereka, Jochem hanya menjawab bahawa mereka menghabiskan masa kanak-kanak mereka di Malaysia. Oleh hal yang demikian, Proton sememangnya dekat di hati mereka dan sudah tentu jentera jenama tempatan ini pasti digunakan mereka bagi hobi ini.
Ramai anak watan tentunya berbangga apabila melihat jenama Malaysia menjadi kepercayaan sedunia. Adakah anda masih bersetuju jika Proton bercadang untuk penjelmaan semula kereta-kereta prestasi mereka seperti Wira dan Satria?
Sumber: Instagram Dutch DIY Mechanics