Proton X50 vs Perodua D55L – Spesifikasi apakah yang boleh dijangkakan?

Mersita · Aug 10, 2020 08:00 PM

Segmen crossover Malaysia tampak semakin menyeronokkan apabila dua jenama kereta nasional kita bersaing antara satu sama lain dalam membawakan pakej yang menarik bagi pengguna jalanraya Malaysia. Dari jenama kereta nasional pertama, Proton, kita ada Proton X50 manakala dari Perodua pula, kita akan menyambut Perodua D55L.

Yang mana satukah akan mengungguli aspek kelengkapan dan perincian?

Kedua-dua crossover ini agak berbeza dari segi saiz dan kategori, tapi ia pastinya dua kereta yang amat dinanti-nantikan kedatangannya dalam jangka-masa setahun dari sekarang.

Setakat ini, kami dapati yang Perodua D55L saiznya besar sedikit berbanding Myvi dan ia boleh jadi dikuasakan dengan enjin turbo 3 silinder 1.0 liter atau enjin 1.5 liter yang sama dengan Myvi, kereta terlaris di Malaysia.

Proton X50 pula boleh jadi dipadatkan dengan enjin turbo 3 silinder 1.5 liter yang menguasakan Geely Bin Yue, kereta pendermanya. Ada juga spekulasi yang mengatakan ia mungkin akan dikuasakan oleh enjin turbo 4 silinder 1.4 liter yang digunakan oleh Bin Yue Pro.

Selain itu, apakah spesifikasi dan kelengkapan lain yang boleh kita jangkakan daripada dua model panas ini?

Perodua D55L – Keselamatan dipertingkatkan

Mari kita mulakan dengan D55L. Satu kelengkapan yang semestinya ada pada D55L nanti ialah kelengkapan keselamatan ASA 2.0 Perodua. Ia adalah kelengkapan yang boleh didapati pada semua model Perodua baru – dari Axia (kereta paling murah di Malaysia yang dilengkapi ADAS), sehinggalah SUV Aruz. Myvi, raja jalan Malaysia, akhirnya diberi kelengkapan keselamatan yang dipertingkatkan pada facelift barunya. Tidak hairanlah jika Perodua akan melengkapi crossover terbaharunya dengan kelengkapan yang sama atau lebih baik dari ini.

Daihatsu Rocky dari Jepun, iaitu kereta penderma D55L, memaparkan pengesan titik-buta (BSM) tapi kami masih kurang pasti jika kelengkapan ini akan dipadatkan pada Perodua D55L nanti. Contohnya, Toyota Rush didatangkan dengan BSM, tapi kembar Malaysianya iaitu Perodua Aruz tiada BSM walaupun kedua-duanya dibina di kilang yang sama di Rawang. Oleh itu, adakah D55L nanti akan menjadi model pertama Perodua yang dilengkapi dengan BSM?

D55L juga mungkin akan diberi 6 beg udara, VSC, kawalan cengkaman, dan HSA – sama seperti Myvi. Ia juga mungkin akan dipadatkan dengan pembaca tol bina-dalam serta sistem stop-start Eco Idle. Walaupun Rocky JDM mempunyai sokongan Apple CarPlay, besar kemungkinan D55L hanya akan diberi Smart Link Android sahaja; sama seperti barisan kereta Perodua yang lain.

Proton X50 – Keselesaan diperhalusi

Dengan Proton X50, kita boleh jangkakan perincian arahan suara ‘Hi Proton’ didatangkan sekali. Kami jangka X50 akan diberi fungsi arahan suara yang serupa dengan X70 yang merangkumi muzik, navigasi, cuaca, serta tingkap dan sunroof.

Sama seperti X70 yang lebih besar, kita boleh jangkakan ruang dalaman X50 tampak lebih mewah berbanding D55L dengan skrin infotainmen GKUI yang terapung di tengah-tengah papan pemukanya berserta panel instrumen LCD berwarna. Selain daripada sunroof panoramik seperti X70, X50 mungkin akan dipasang sunroof ‘tilt and slide’ standard pula.

Sumber gambar: Funtasticko

Dari segi keselamatan, X50 akan didatangkan dengan ADAS. Berdasarkan beberapa gambar intipan, kita boleh jangkakan yang X50 akan diberi autonomous emergency braking (AEB) dan kawalan peluncuran adaptif. Kelengkapan lain seperti pengesan titik-buta dan amaran pengekalan laluan (lane-keeping alert) boleh jadi dipaparkan pada X50. Sama seperti Perodua, ia mungkin tiada sokongan Apple CarPlay atau Android Auto. Tapi, ia mungkin menggunakan sambungan ‘mirror-link’ Android sama seperti X70 serta sambungan internet 4G.

Kesimpulan

Walaupun X50 dan D55L adalah dari segmen yang berlainan, kedua-duanya akan memaparkan kelengkapan yang lebih kurang sama dalam beberapa aspek. Kedua-duanya mempunyai jumlah beg udara yang sama, pelbagai kelengkapan keselamatan, dan juga mungkin tidak akan diberi sokongan Apple CarPlay atau Android Auto.

Setakat ini, ini sajalah beberapa ramalan yang kami dapat huraikan sementara kita menunggu kedatangan model crossover yang cukup ‘panas’ ini. Yang jelasnya, Proton akan mempunyai perincian yang lebih mewah dan eksklusif, manakala Perodua akan memberi kelengkapan yang diperlukan dalam kereta moden. Semuanya bergantung kepada apa yang anda mahukan atau perlukan dalam sebuah kereta.

Komen

Berita Terkini

    Cek Lebih

    Model Terbaru