Dengan prototaip dan beberapa spyshot yang pernah dilihat sebelum ini, akhirnya Honda Civic 2022 serba baharu diperkenalkan secara rasmi di Amerika sebentar tadi.
Selain rupa paras luar dan dalam yang serba baru, Honda Civic FE generasi ke-11 ini turut hadir dengan ciri baru dan Honda Sensing yang dinaik taraf.
Eksterior – lebih konservatif tetapi lebih kemas
Apapun, perlu dimaklumkan bahawa debut ini menyaksikan Honda Civic spec Amerika. Perincian mengenai versi untuk pasaran Asia akan diumum kemudian.
Di Amerika, Honda Civic ditawarkan dalam bentuk sedan. Bentuk hatchback pula akan menyusul di masa yang akan datang. Disebabkan kilang pemasangan Honda di United Kingdom baru sahaja ditamatkan, Honda Civic hatchback generasi baharu akan dipasang di Amerika.
Tidak mengira jenis badan ataupun varian apa sekalipun, Honda Civic generasi baru masih kekal dengan resepi turun temurun, iaitu pakej yang menarik minat pelbagai demografi.
Juga baca: Honda Civic: 50 tahun di persada dunia - 7 sebab ia kekal popular di Malaysia
Reka bentuk berani ala boomerang yang diterapkan pada generasi sebelum ini digantikan dengan penampilan yang lebih matang dan premium. Malah, ia kelihatan seperti baby Honda Accord.
Dimensi - adakah ia lebih besar berbanding CIvic ketam?
Berbanding generasi sebelum ini, jarak roda untuk Honda Civic FE meningkat sebanyak 36 mm. Malah, ia 33 mm lebih panjang berbanding model sebelum ini. Tinggi dan lebar pula dikekalkan seperti dahulu.
Menariknya, ruang but belakangnya yang berkeluasan 402 - 419 liter sebenarnya lebih kecil daripada 416 - 248 liter yang dimiliki oleh Honda Civic generasi sebelum ini.
Juga baca: Honda Civic 2021 serba baharu dirasmikan – pelancaran di Malaysia lebih awal?
Interior – sentuhan elemen retro tetapi lebih moden
Bahagian dalam Honda Civic 2022 diinovasikan oleh falsafah “Man Maximum, Machine Minimum” yang mana ia kini dibangunkan berdasarkan pemahaman “simplicity and something”.
Antara sentuhan yang baru ialah bahagian papan pemuka yang lebih selari (kini sebagai corong penyaman udara, sama seperti Honda HR-V 2021), kemasan trim jenis honeycomb, dan skrin infotainment sesentuh jenis berdiri yang bersaiz 7 atau 9 inci, bergantung pada varian.
Sokongan sistem bunyi Bose dengan 12 pembesar suara serta Android Auto dan Apple CarPlay turut didatangkan. Varian yang lebih atas pula dilengkapkan dengan versi tanpa wayar.
Juga baca: Kenapa kereta anda wajib ada Apple CarPlay dan Android Auto? Ini sebabnya
Walaupun kabin ini meletakkan fokus kepada unsur minimalis, ia masih kekal dengan butang fizikal untuk kawalan multimedia dan penyaman udara yang mana ia lebih mudah untuk pengguna.
Selain itu, bahagian tempat duduknya turut diperbaharui. Malah, kluster instrumen digital (sepenuhnya untuk varian yang lebih atas) yang terletak di sebalik roda stereng yang baru juga tampil dengan paparan grafik yang terkini.
Apapun, Honda turut mengesahkan bahawa elemen reka bentuk yang baru ini akan beransur pada model-model Honda yang akan datang.
Juga baca: Bahagian interior Honda Civic FE 2021 serba baharu didedah secara rasmi – ringkas tetapi futuristik!
Trenkuasa – enjin yang dipertingkatkan
Di pasaran Amerika, Honda Civic generasi ke-11 hadir dengan pilihan enjin 1.5L turbo ataupun 2.0L aspirasi natural:
Trenkuasa Honda Civic 2022 |
Format |
1.5L 4 silinder
Berpengecas turbo
180 PS/240 Nm tork
Transmisi CVT
|
2.0L 4 silinder
Aspirasi natural
158 PS/ 187 Nm tork
Transmisi CVT
|
Walaupun dengan trenkuasa yang sama, enjin 1.5L turbo telah dinaik taraf untuk menghasilkan 4 PS/20 Nm tork lebih daripada Honda Civic generasi sebelum ini.
Untuk sedan, pilihan transmisi manual 6 kelajuan telah ditamatkan. Apapun, ia dijangka hadir pada versi Type R yang bakal menyusul tidak lama lagi.
Keselamatan – Honda Sensing yang dinaik taraf
Honda Civic serba baharu didatangkan dengan ciri keselamatan Honda Sensing yang terkini. Antara pembaharuan yang diterapkan ialah ciri Blind Spot Monitoring (BSM), Traffic Jam Assist, dan Low Speed Brake Control.
Bila Civic baru nak masuk Malaysia?
Honda Civic yang baru sahaja membuat debut ini adalah spec Amerika yang mana jualannya akan bermula pada Jun yang akan datang. Walau bagaimanapun, Honda Malaysia telah memberikan petunjuk bahawa ia akan debut di Malaysia tahun ini juga sekiranya semua pelan berjalan dengan lancar.
Juga baca: Honda Civic FE 2022 serba baharu akan tembus pasaran Malaysia seawal tahun 2021!
Namun begitu, pasaran Thailand yang dijadikan sebagai ‘ibu’ di rantau ini sekalipun masih belum umumkan sebarang pelan mengenai Honda Civic baru. Disebabkan itu, Honda Malaysia mungkin merujuknya sebagai pra-tonton awal.