Rebiu ringkas: Honda City 1.5L 2020 – kereta keluarga kompak yang cukup baik?
Faisal · Nov 16, 2020 11:59 AM
Sewaktu kami bahawakan Honda CR-V facelift 2020 kepada anda pada tempoh hari, kami terserempak dengan Honda City 2020 yang berada di luar bilik pameran. Jadi, kami meminta kunci untuk membuat rebiu ringkas sementara anda menunggu rebiu menyeluruh dari kami.
Unit yang kami pandu ialah varian V dimana ia merupakan varian teratas sebelum memasuki varian hibrid (RS).
Varian V hadir dengan lampu pemantul LED, lampu kabus LED, dan lampu siang LED. Roda aloi 16 inci yang terdapat pada varian ini juga mirip varian RS tetapi dihiaskan dengan kemasan warna silver.
Secara standard, Honda City 2020 hadir dengan lampu belakang LED.
Kit aksesori Modulo yang berharga RM4,473 boleh dilengkapkan pada semua varian
Interior – ringkas dan kena dengan harga
Sentuhan kulit pada penutup batang gear yang memberikan sentuhan premium
Seperti Nissan Almera, varian teratas untuk Honda City juga didatangkan dengan kemasan kulit putih pada bahagian kabin.
Kemasan kulit putih di beberapa bahagian kabin
Kemasan ini sedap untuk disentuh selain menaikkan suasana di dalam kabin. Namun begitu, anda harus menjaga kebersihan pada bahagian ini kerana warna yang cerah mudah untuk menampakkan kekotoran.
Penyaman udara di belakang yang hadir pada semua varian Honda City
Dari segi keselesaan, Kerusi hadapan pada Honda City tidaklah selesa seperti kerusi ‘Zero Gravity’ pada Nissan Almera. Namun demikian, Honda City mempunyai corong penyaman udara untuk penumpang belakang dimana ia tidak ada pada Nissan Almera.
Skrin infotainment Panasonic yang cukup terang, lancar, dan jelas untuk digunakan; butang penyaman udara yang sedap untuk dikawal
Dari segi infotainment, Honda City hadir dengan sokongan untuk kedua-dua Apple CarPlay dan Android Auto. Nissan Almera pula hanya mempunyai sokongan Apple CarPlay. Walau bagaimanapun, resolusi kamera dan kualiti bunyi audio pada Honda City boleh dipertingkatkan lagi.
Kapasiti but 519L yang lebih besar daripada Nissan Almera
Antara aspek lain yang boleh dipertingkatkan ialah pada kesenyapan bunyi enjin di dalam kabin dimana ia lebih kedengaran berbanding Nissan Almera.
Pengalaman pemanduan – cukup baik
Selain varian hibrid, varian S, E, dan V dikuasai oleh enjin 1.5L aspirasi natural (L15ZE) yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork. Tenaga ini dihantar ke roda hadapan melalui transmisi CVT.
Honda City V yang hadir dengan tayar Toyo Proxes R57 dengan ukuran 185/55R16
Dengan itu, bagaimanakah rasanya? Honda City mempunyai respon kuasa yang paling cekap jika dibandingkan dengan Nissan Almera ataupun Toyota Vios. Perkara ini turut dibantu oleh enjin yang mempunyai kuasa yang mencukupi.
Transmisi CVT kali ini cukup lancar dimana ia memberikan pemanduan yang cukup mudah. Selain itu, anda boleh mengawal 7 nisbah virtual secara manual dengan menggunakan paddle shifter.
Dari segi pengendalian dan keselesaan, Honda City kini terasa lebih matang. Sterengnya cukup responsif dan memberikan maklum balas yang mencukupi. Sistem suspensi juga melancarkan permukaan jalan dengan baik di samping mengekalkan watak yang sporty.
Kepada sesiapa yang persoalkan brek dram di belakang, ia sebenarnya lebih daripada mencukupi untuk memberhentikan Honda City dengan yakin.
Konklusi
Melalui pengalaman pertama kami pada rebiu yang ringkas ini, Honda City adalah satu produk yang baik. Ia mempunyai kuasa enjin yang lebih berguna berbanding Nissan Almera. Namun begitu, perincian untuk kabin masih kekurangan dimana keselesaan kerusi dan kesenyapan kabin tidak sehebat Nissan Almera.
Walau apapun, ini hanyalah rebiu ringkas.
Varian RS hibrid dengan tren kuasa i-MMD pula akan menyusul pada awal tahun hadapan. Pada masa yang sama, Toyota Vios 2021 juga akan dilancarkan tidak lama lagi.
Sementara itu, apa kata anda baca rebiu kami mengenai Nissan Almera untuk membantu anda dalam membuat pilihan?
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen