Rekaan Proton tapi berasaskan model Geely menjelang tahun 2026!
Haris · Mar 11, 2021 07:00 PM
Ketua Pereka Proton iaitu Azlan Othman bersama-sama dengan Ketua Pereka Geely Shanghai iaitu Guy Burgoyne dalam satu wawancara telah menjelaskan visi rekaan Proton pada masa hadapan.
Proton akan beralih daripada model rebadge Geely sepenuhnya dengan input Proton dan bergerak ke arah model rekaan Proton sepenuhnya berasaskan Geely.
Pengesahan tersebut memberi satu anjakan paradigma bagi Proton. Sebelum ini, model Proton rebadge daripada Geely iaitu Proton X50 dan Proton X70 masih mirip dengan model asas iaitu Geely Bo Yue dan Geely Bin Yue.
Perbezaan kedua-dua model dapat dilihat pada rekaan gril dan lambang Proton. Selain itu, kesemua bentuk badan Proton X70 dan Proton X50 masih mirip dengan model asas. Malah, Proton X50 turut dilengkapi dengan angkup brek daripada Lynk & Co, subjenama kereta elektrik Geely.
Menurut Azlan, "Kami bergerak daripada menyesuaikan projek CBU, kemudian membangunkan projek CKD, dan akan datang, perubahan 'top hat' penuh."
'Top hat' merujuk kepada struktur badan di atas ruang enjin. Ini merujuk kepada tiang A / B / C sebagai contoh.
Sebagai contoh, Perodua Myvi generasi ketiga menggunakan platform Daihatsu dengan rekaan 'top hat' daripada Perodua pada bahagian luar dan dalam. Model Perodua Myvi generasi ini tiada model sama untuk pasaran domestik Jepun, berlainan dengan model generasi pertama (Toyota Passo).
Kiri: Ekskutif Program Kenderaan (Bahagian Kejuruteaan) bagi Proton Saga 2019, Desmond Pinto. Kanan: Ketua Pereka Proton Azlan Othman
Azlan turut menjelaskan bahawa, "Jelas sekali, jika kita melihat kepada konsep kereta penderma, pembangunan kereta akan lebih terbatas. Tetapi ketika jika kita bergerak ke arah lain, rekaan 'top hat' misalnya, maka tiada lagi batasan tersebut."
Kenyataan tersebut turut memberi kemungkinan bahawa model Proton akan datang boleh disesuaikan dengan platform BMA (atau platform milik Geely yang lain) dengan input rekaan daripada Proton. Hal ini membolehkan kos pembangunan dikurangkan dan model kereta rekaan tempatan dapat direalisasikan.
"Namun, visi ini tidak dapat dilihat dalam jangka masa pendek" tegas Azlan lagi yang menambah visi tersebut hanya akan direalisasikan dalam tempoh 5 ke 6 tahun akan datang.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen