RON95 dan RON97 boleh campur ke? Enjin tak jahanam pulak?
Mersita · Dec 16, 2020 07:00 PM
Situasi: Abg. Jamil singgah ke stesen minyak sambil berfikir, “Bajet tak kencang bulan ni, tapi aku selalu pam RON97. Myvi turbolah katakan.” Maka, Abg. Jamil pun fikir 10 kali nak pam RON95 atau tidak untuk ‘topup’ RON97 yang berbaki setengah tangki. “Apa jadi kalau aku campur minyak RON95 dan RON97, ya?” fikir beliau.
Jawapannya mudah, Abg. Jamil. RON95 dan RON97 boleh dicampur tanpa ada sebarang perubahan prestasi ketara ataupun mendatangkan musibat pada enjin kereta anda. Apa yang penting, tak kisah apa jua jenis kereta anda, pengguna mestilah mengikut piawaian yang ditetapkan dalam panduan pemilik kereta masing-masing. Contohnya, buku panduan pemilik atau label pada penutup tangki minyak akan menyatakan samada anda perlu menggunakan RON95 atau lebih tinggi (“RON95 or higher”).
Apa-apa pun, dalam kes mencampur antara RON95 dan RON97, tiada apa yang perlu dirisaukan. Yang penting, enjin kereta anda boleh menerima RON95 dan keatas. Bagi kenderaan yang memerlukan RON97 keatas, sekali sekala mencampur RON95 ke atas lebihan RON97 yang sudah ada di dalam tangki selalunya tidak memberi impak yang ketara.
Cuma pastikan nisbah RON95 tidak terlalu banyak dalam campuran tersebut kerana penggunaan RON yang lebih rendah daripada spesifikasi yang ditetapkan (RON97) untuk enjin kereta akan menyebabkan enjin anda berbunyi kuat (‘knocking’) yang boleh menjejaskan enjin jika dibiarkan terlalu lama.
Bagi enjin kereta berspesifikasi sekurang-kurangnya RON93 atau RON95 seperti kereta Perodua dan Proton misalnya, campur sajalah dengan RON sama atau lebih tinggi kerana ini tiada impaknya. Sama juga dengan jenama petrol (Shell, Petron, dll.) – walaupun lain formulasinya (tahap detergen dsb.), tiada masalah jika dicampur dengan petrol jenama berbeza.
Ikuti WapCar – BM di Facebook untuk dapatkan lebih banyak tip tentang apa saja berkaitan kereta dan motosikal! Juga dapatkan kemaskini harga petrol terkini setiap minggu di WapCar - BM!
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen