'Rossi mampu kompetitif sekalipun sertai pasukan satelit Petronas Yamaha SRT'
Khairil · Jan 31, 2021 06:00 PM
Keputusan Valentino Rossi menyertai pasukan satelit, Petronas Yamaha SRT bagi musim 2021 diakui Jorge Lorenzo sebagai mengejutkan namun tindakan legenda MotoGP Itali itu tidak boleh disifatkan satu 'kelemahan'.
Sejurus pelumba muda Perancis, Fabio Quartararo sah menandatangani kontrak pasukan utama, Monster Energy Yamaha MotoGP awal tahun lalu, persoalan mengenai masa depan Rossi terus menjadi perbualan hangat.
Begitupun, ia dinoktahkan apabila juara dunia sembilan kali itu menyertai pasukan satelit Petronas Yamaha SRT pada September lalu namun ia hadir dengan jaminan dia akan mendapat sokongan penuh daripada pasukan utama.
Justeru bagi Lorenzo yang pernah bergandingan bersama Rossi pada satu tempoh berkata, dia tidak melihat yang perpindahan berkenaan akan mendatangkan kesan atau sebagai kekurangan terhadap penunggang legenda itu.
"Saya terkejut dengan pilihan Rossi menyertai Petronas. Saya tidak menjangkakan keputusan ini kerana untuk melihat Rossi belumba bukan bersama pasukan utama adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran saya.
"Tetapi saya tidak fikir akan berlaku banyak perubahan kepadanya. Kita sudah melihat yang Quartararo dan (Franco) Morbidelli memperoleh keputusan yang sama, kadang kala lebih bagus daripada pasukan utama dan saya fikir perkara itu boleh terjadi kepada Valentino juga.
"Jika tahap kompetitif jentera itu menjadi kebimbangan, saya tidak fikir akan ada sebarang kekurangan," kata Lorenzo memetik laporan Sky Sport Itali.
Di usia 32, Lorenzo yang juga juara dunia lima kali mengumumkan persaraannya dari kancah perlumbaan MotoGP pada penghujung musim 2019 mengakui tindakan Yamaha 'menyingkirkan' Rossi sebagai sudah dijangka.
"Dari sudut media, ia berita yang mengejutkan. Tetapi Yamaha, seperti syarikat lain di dunia harus memandang ke depan.
"Saya masih ingat apabila saya menandatangani kontrak bersama Yamaha pada 2007 untuk menyertai mereka pada 2008, mereka sedang melihat kepada masa depan dengan sekiranya Rossi beralih ke Formula 1 seperti yang digembar-gemburkan atau dia memutuskan untuk berhenti.
"Yamaha perlu memandang ke depan dan kerana itu mereka memilih pelumba muda dan ketika itu orangnya adalah saya bersama Valentino yang kini berusia 41 tahun. Seperti semua syarikat di dunia, mereka memandang ke depan dan masa depan ketika ini disandarkan kepada pelumba muda. Ketika ini, ia adalah Quartararo," kata Lorenzo.
Petronas Yamaha SRT pada awalnya dijadual akan memperkenalkan jentera baharu pasukan itu bersama Rossi dan Morbidelli pada sesi Latihan Musim Sejuk MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang namun dibatalkan susulan penularan semula Covid-19 di Malaysia.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen