Sejarah Honda Accord: Kejayaan yang menerajui pasaran Honda di dunia
Faisal · Oct 4, 2020 01:50 PM
Sebelum era 70-an, Honda pernah mempertimbangkan untuk mengundur diri daripada dunia automotif kerana permintaan tidak memberangsangkan. Malah mereka berhasrat untuk mengutamakan pengeluaran motorsikal sahaja.
Pada masa yang sama, mereka mengambil peluang terakhir dengan memperkenalkan Honda Civic pada tahun 1972. Menariknya, Honda Civic telah melonjakkan jualan Honda di beberapa pasaran yang berpengaruh.
Oleh itu, Honda mengambil keputusan untuk memperkenalkan model baharu yang beraspirasikan Honda Civic tetapi dengan pakej yang lebih besar. Maka terciptalah Honda Accord pada tahun 1976 yang dibina dengan falsafah “Space, Driving Comfort and Style”.
Generasi pertama (SJ-SM, 1976-1981)
Honda Accord generasi pertama agak berlainan dengan apa yang kita lihat sekarang. Sewaktu dilancarkan, ia didatangkan dengan reka bentuk hatchback 2-pintu yang hanya berukuran panjang sebanyak 4,100 mm.
Sebagai perbandingan, Honda Jazz mempunyai ukuran panjang sebanyak 3,995 mm. Honda Jazz juga memiliki kelebihan dari segi kuasa dimana Honda Accord pada permulaan hanya memiliki 80 PS dan 125 Nm tork yang dihasilkan oleh enjin 1.6L 4-silinder. Ternyata “humble beginnings” yang sering disinonimkan oleh Honda Accord adalah benar.
Pengeluaran Honda Accord tepat pada masanya kerana dunia sedang menghadapi krisis minyak. Ketika itu, pengguna lebih tertarik akan kereta yang menjimatkan minyak tetapi masih memiliki ruang yang ruas. Sambutan yang memberangsangkan menggalakkan Honda untuk memperkenalkan versi 4-pintu pada tahun 1979.
Teknologi dan inovasi:
Enjin 1.6L CVCC SOHC 8 injap
Enjin 1.8L (1978)
Transmisi Hondamatic dengan overdrive
Stereng kuasa mengikut kelajuan
Generasi kedua (AD, 1981-1985)
Honda tidak mahu mengubah resepi yang telah terbukti berkesan pada generasi pertama. Dikeluarkan pada tahun 1981, Honda Accord menyaksikan peningkatan dari segi saiz dan rupa paras yang lebih berlekuk walaupun masih kelihatan bersegi empat.
Dengan saiz yang lebih besar dan berat yang bertambah, enjin 1.8L yang menggunakan karburetor ditingkatkan kepada 108 PS dan 141 Nm tork manakala pengenalan jenis suntikan bahan api (fuel injection) pula menghasilkan sehingga 130 PS.
Honda Accord generasi ini turut memperkenalkan sistem navigasi berdasarkan elektro-giroskop. Selain itu, suspensi udara diperkenalkan sebagai kos tambahan tetapi ia hanya khusus untuk pasaran Jepun.
Untuk maklumat anda, Honda accord generasi ini telah menjadi kereta Jepun yang paling laris di Amerika (rekod yang bertakhta selama 15 tahun sehingga tahun 1996). DI Eropah pula, Honda Accord generasi ini telah merangkul anugerah 1983 European Car of the Year.
Teknologi dan inovasi:
Enjin 1.6 dan 1.8L CVCC-II SOHC 12 injap
Transmisi automatik 4-kelajuan
Kawalan pelayaran (cruise control)
Sistem navigasi elektronik
Suspensi udara
Penyerap hentakan 3-dimensi di belakang (pertama di dunia)
Suntikan bahan api (fuel injection)
Generasi ketiga (CA, 1985-1989)
Honda Accord generasi ini memperlihatkan perubahan yang drastik dari segi reka bentuk dimana ia lebih bersudut dan kelihatan lebih premium. Pada bahagian hadapan, ia memiliki lampu yang boleh disembunyikan dimana ia kelihatan seperti kereta sport. Dari segi enjin, kebanyakannya telah menerima suntikan fuel injection.
Untuk meningkatkan keselesaan dan pengendalian, ia didatangkan dengan sususan suspensi “double wishbone” di hadapan dan belakang (pertama di dunia untuk kereta pacuan roda hadapan). Selain itu, enjin 2.0L didatangkan pertama kali pada Honda Accord. Ciri keselamatan brek anti-kunci (ABS) turut diperkenalkan. Sehubungan dengan itu, Honda Accord telah dianugerahkan 1985 dan 1986 Japan Car of the Year.
Di samping itu, generasi ini turut memperkenalkan Accord Aerodeck dimana ia menampilkan badan hatchback 3-pintu dengan rupa paras “shooting brake”. Reka bentuk ini menambah ciri praktikal dimana kerusi belakang turut boleh dilipat. Sambutan Accord Aerodeck amat menggalakkan terutama di United Kingdom.
Pasaran Amerika pula lebih meminati jenis Coupe dimana ia pertama kali diperkenalkan dalam barisan Honda Accord pada tahun 1988. Menariknya, ia hanya dibina di Amerika. Oleh yang demikian, pasaran Jepun sendiri harus mengimport model ini dari Amerika.
Teknologi dan inovasi:
Enjin 2.0L 16 injap
Suspensi “double wishbone” di hadapan dan belakang
Brek anti-kunci (ABS)
Lampu hadapan yang boleh disembunyikan
Generasi keempat (CB, 1989-1994)
Dengan perubahan drastik dari segi rupa paras pada generasi sebelumnya, Honda kali ini lebih konservatif dimana reka bentuk Honda Accord diinspirasikan oleh abang sulungnya iaitu Honda Legend. Reka bentuk bumbung kini lebih menegak dan lampu hadapan yang boleh disembunyikan telah ditukar kepada lampu konvensional yang bersegi empat tepat.
Dari segi enjin, ia didatangkan dengan siri F22 yang serba baru dimana ia memiliki 16 injap. Pada masa yang sama, sistem stereng kuasa dan penyerap enjin telah menerima pengubahsuaian dimana ia kini dikawal oleh elektronik.
Selain itu, versi wagon diperkenalkan untuk pengguna yang lebih mengutamakan ciri praktikal. Sepanjang pengeluaran generasi ini, Honda telah menambah beberapa kelengkapan yang dikatakan mewah ketika itu seperti kerusi kulit, kawalan elektronik untuk pelarasan kerusi, dan pemain CD.
Teknologi dan inovasi:
Enjin 2.2L 16 injap dengan 2 pengimbang dalaman
Pengedap enjin jenis elektronik (Active Engine Mounts)
Kawalan stereng untuk roda hadapan dan belakang
Beg udara pemandu
Generasi kelima (CD, 1994-1998)
Honda Accord kali ini menyaksikan rupa paras yang lebih moden. Ia lebih rendah dan lebar bagi mengutamakan ruang bahu dan posisi kedudukan badan yang ideal. Rupa paras ini diinspirasikan oleh Honda Civic EG ketika itu dimana ia memperlihatkan bonet hadapan yang rendah serta but belakang yang tinggi. Teknologi VTEC turut diperkenalkan pada Honda Accord buat pertama kali.
Untuk pengetahuan anda, ini merupakan Honda Accord yang pertama dipasang di Philippines. Hal ini berikutan kerana Honda ingin bersaing dengan Mitsubishi Galant, Nissan Altima, dan Toyota Corona. Oleh itu, ia didatangkan dengan enjin 2.2L yang mempunyai 140 PS dan 193 Nm tork.
Pada tahun 1995, pasaran Amerika menerima enjin 2.7L V6 daripada Honda Legend untuk mengekalkan persaingan. Honda Accord generasi ini telah merangkul anugerah 1993 dan 1994 Japan Car of the Year dan 1994 Motor Trend Import Car of the Year di Amerika.
Teknologi utama:
Enjin 2.2L VTEC
Enjin 2.2L DOHC VTEC
Enjin 2.0L 16 injap (pasaran Eropah)
Enjin 2.7L V6 24 injap (pasaran Amerika)
Transmisi Prismatic-II automatik 4-kelajuan dengan Grade Logic Control
Beg udara pemandu dan penumpang
Kawalan cengkaman (Traction Control) serta limited-slip differential
Generasi keenam (CG, 1998-2003)
Sedan segmen D telah berkembang dari segi saiz. Pasaran ASEAN seperti Philippines telah menyaksikan pengeluaran Toyota Camry yang menggantikan Toyota Corona. Dengan itu, Honda menghasilkan 3 versi yang berlainan untuk menyesuaikan Accord dalam pasaran yang berbeza seperti di Eropah, US/ASEAN, dan Jepun.
Di Malaysia, varian VTI didatangkan dengan enjin F20 2.0L VTEC manakala varian VTI-L didatangkan dengan enjin F23 2.3L VTEC. Tidak lama kemudian, hanya enjin 2.3L digunakan. Untuk maklumat anda, enjin 3.0 liter V6 turut digunakan di beberapa pasaran yang memiliki persaingan yang tinggi.
Teknologi dan inovasi:
Enjin 1.8L VTEC
Enjin 2.0L DOHC VTEC
Enjin 2.0L VTEC LEV (Low-Emission Vehicle)
Enjin 2.3L VTEC
Enjin 3.0L V6 (pasaran Amerika)
Transmisi automatik 4-kelajuan dengan mod manual
Stereng kuasa elektrik (EPS) + nisbah adaptif (Variable Steering Gear Ratio)
Kawalan kestabilan (VSA)
Suspensi “double wishbone 5 link” di belakang
Sistem pemantuan perhatian pemandu
Generasi ketujuh (CM, 2003-2007)
Honda Accord generasi ini menerima pelbagai kawalan elektronik dimana ia selaras dengan pembangunan teknologi yang semakin pesat. Dari segi reka bentuk, ia menerapkan sudut yang lebih halus dan bahagian belakang yang unik dan moden.
Bahagian kabin juga menerima reka bentuk yang lebih menarik dan moden. Ia turut mempunyai kawalan audio di bahagian stereng.
Selain kelengkapan yang cukup premium, Honda Accord generasi ini turut didatangkan dengan teknologi DOHC i-VTEC pada enjin 2.0L dan 2.4L, serta enjin 3.0L V6 yang dikemaskini untuk menghasilkan 240 PS dan 286 Nm tork.
Selain itu, varian hibrid diperkenalkan pertama kali dalam keluarga Honda Accord pada tahun 2005 untuk mengekalkan sifat mesra alam untuk pasaran Amerika. Di samping itu, Honda Accord juga didatangkan dengan enjin diesel buat kali pertama dimana ia khusus untuk pasaran Eropah.
Pada masa yang sama, Honda Accord generasi ini merupakan kereta pertama di Eropah yang memiliki ciri bantuan keselamatan Lane Keeping Assist.
Teknologi dan inovasi:
Enjin 2.0L DOHC i-VTEC
Enjin 2.4L DOHC i-VTEC
Enjin 3.0L V6 VTEC (pasaran Amerika)
Accord Hybrid (pasaran Amerika): Enjin 3.0L V6 i-VTEC dengan Variable Cylinder Management (VCM) dan Integrated Motor Assist (IMA)
Enjin diesel 2.2L i-CTDi 4-silinder (pasaran Eropah)
Transmisi automatik 5-kelajuan
Sistem kawalan pendikit secara elektronik (drive-by-wire)
Kawalan gelincir (Side Slip Control)
Sistem bantuan pemandu Lane Keeping Assist (pasaran Eropah)
Generasi kelapan (CP, 2007-2013)
Honda Accord generasi ini mengalami peningkatan saiz yang begitu ketara. Dengan berukuran panjang hampir 5 meter, ini merupakan Honda Accord yang paling terbesar pernah dihasilkan.
Ia juga menerima perkembangan enjin yang ketara seperti enjin 3.5L V6 yang mempunyai Variable Cylinder Management (VCM) dimana ia boleh menutup separuh daripada operasi enjin apabila tidak diperlukan lantas menjimatkan minyak. Kuasa sebanyak 272 PS dan 336 Nm tork menjadikan ia sebagai Honda Accord yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Walaupun dengan saiz dan kuasa sebesar ini, ia masih mengekalkan pengendalian yang kemas.
Teknologi dan inovasi:
Enjin 3.5L V6 SOHC i-VTEC dengan Variable Cylinder Management (VCM)
Sistem stereng Motion Adaptive EPS
6 beg udara termasuk di sisi
Proton Accordana
Proton Perdana untuk kegunaan kerajaan
Menariknya, Proton Perdana generasi kedua dibina berdasarkan Honda Accord generasi ini. Ia turut memiliki tren kuasa yang sama.
Untuk orang ramai, mereka boleh memiliki Proton Perdana dengan reka bentuk luaran yang lebih unik.
Pada bahagian belakang pula, ia menerima reka bentuk "fastback" yang turut dimiliki oleh Honda Accord generasi kesepuluh.
Generasi kesembilan (CR, 2014-2018)
Honda Accord generasi ini memperlihatkan pengurangan dari segi saiz kerana beberapa pengguna berpendapat bahawa generasi sebelumnya agak sukar untuk dikemudikan. Namun demikian, jurutera Honda berupaya mengekalkan keluasan dan ruang di dalam kabin.
Selain itu, berat keseluruan telah dikurangkan untuk meningkatkan pecutan dan penjimatan minyak. Dari segi tren kuasa, ia didatangkan dengan enjin Earth Dreams melalui kapasiti 2.4L dan 3.5L V6. Enjin ini memiliki suntikan terus (direct injection). Di Malaysia, siri baharu ini hanya didatangkan dengan enjin 2.4L dengan tetapan fuel injection.
Hal ini berikutan kerana kualiti bahan api tempatan ketika itu tidak bersesuaian dengan enjin jenis direct injection. Buat pertama kalinya, Honda Accord memiliki sistem infotainment. Sistem ini didatangkan dengan i-MID (Multi-info Display) dengan ciri Bluetooth dan penyambungan USB. Dari segi keselamatan, ia turut didatangkan dengan sistem bantuan pemandu yang lebih menyeluruh.
Teknologi dan inovasi:
Enjin Earth Dreams 2.4L DOHC i-VTEC dan 3.5L SOHC i-VTEC
Enjin 2.0L Sport Hybrid i-MMD
Forward Collision Warning (FCW)
Lane Departure Warning (LDW)
Sistem pemantauan titik buta (Honda LaneWatch)
Adaptive Cruise Control (ACC)
Suspensi Multi-link di belakang
Sistem pengedap bunyi (Active Noise Cancellation)
Bantuan permulaan di cerun (Hill Hold Assist)
Generasi kesepuluh (CV, 2018-kini)
Honda Accord generasi terkini memperlihatkan falsafah yang berbeza setelah tumpuan pasaran beralih kepada kenderaan jenis SUV. Oleh itu, Honda menumpukan kepada ideologi yang lebih sporty dan bergaya. Ia menerima reka bentuk “fastback” yang memberikan imej yang lebih berani dan menyerlah.
Selain itu, enjin turbo diperkenalkan bagi mengekalkan saingan dari segi prestasi dan penjimatan minyak. Di samping itu, sistem keselamatan telah dikemaskini untuk berada dalam satu naungan yang dikenali sebagai Honda Sensing.
Teknologi dan inovasi:
Enjin 1.5L VTEC TURBO dengan transmisi CVT
Enjin 2.0L VTEC TURBO dengan transmisi automatik 10-kelajuan
Sistem bantuan keselamatan (Honda Sensing)
Sokongan Android Auto dan Apple CarPlay
Paparan kluster instrumen digital
Setelah lebih dari 40 tahun berada dalam pasaran automotif, Honda Accord telah menerajui jenama Honda ke pasaran global. Dengan jualan sebanyak jutaan unit sejak diperkenalkan pada tahun 70-an, Honda Accord semestinya sebuah ikon yang cukup disegani dalam arena automotif. Dengan perubahan pasaran ke arah SUV, hanya masa yang dapat menentukan warisan kejayaan Honda Accord pada era yang seterusnya.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen