Sejarah Mitsubishi Pajero pertama – dari juara rali Dakar Paris ke sebuah SUV keluarga
Faisal · Jan 2, 2021 12:00 PM
0
0
Dahulu kala, SUV bukanlah sesuatu kehangatan. Malah ia lebih kepada kereta yang serbaguna. Disebabkan itu, Mitsubishi Pajero, Isuzu Trooper, dan Toyota Land Cruiser telah menjadi satu ikon di dalam dunia pacuan empat roda.
Diantara ketiga-tiga model ini, hanya Toyota Land Cruiser sahaja yang masih ada sampai sekarang. Isuzu Trooper telah dihentikan beberapa tahun yang lalu, manakala Mitsubishi Pajero baru sahaja dihentikan pada tahun ini. Oleh itu, mari kita belajar sedikit sebanyak mengenai asal usul Pajero yang pernah menjadi sebuah 4x4 yang cukup megah di Malaysia.
Sebelum pelancaran Mitsubishi Pajero yang pertama, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) sudah ada model 4x4 yang dikenali sebagai Mitsubishi Jeep. Saudara kembar Jeep ini dilancarkan di Jepun pada tahun 1953.
Hasil persetujuan lesen diantara Jeep dan MMC, Mitsubishi Jeep tidak dibenarkan untuk dieksport ke luar negara. Maka itu, pesaing seperti Nissan Patrol dan Toyota Land Cruiser telah mengungguli pasaran 4x4 daripada Land Rovers.
Pada tahun 1970, MMC bercadang untuk menembus pasaran 4x4. Malangnya, mereka harus membangunkannya secara sendiri. Menariknya, projek tersebut bukanlah sesuatu yang sukar memandangkan mereka ada kepakaran dalam dunia 4x4 sejak dari zaman sebelum mereka melesenkan Jeep lagi.
Pada tahun 1934, Mitsubishi Heavy Industries (sebelum pertubuhan MMC) pernah menghasilkan beberapa prototaip PX33. Disebalik rekaan kontemporari tahun 30-an ini ialah sebuah kereta convertible 4 pintu yang cukup inovatif.
Ia merupakan sedan buatan Jepun pertama yang menggunakan sistem 4WD sepenuh masa. Malah ia dikuasai oleh enjin diesel 6.7L dengan direct injection dimana ia hanya menghasilkan 70 PS.
Malangnya, projek ini dihentikan kerana kerajaan Jepun ketika itu menggesa industri untuk mengutamakan kenderaan komersil dan kapal perang. 10 tahun kemudian, setelah Jepun kalah dalam Perang Dunia ke-2, para jurutera di MMC berhasrat untuk membangunkan kereta 4x4 sendiri.
Prototaip Pajero
Sewaktu di Tokyo Motor Show 1973, MMC melancarkan prototaip Pajero yang pertama. Untuk maklumat anda, pembangunan off-roader yang santai ini kelihatan hampir sama seperti Jeep CJ-5. Oleh yang demikian, MMC bercadang untuk mereka semula.
Enam tahun kemudian, sewaktu di Tokyo Motor Show 1979, prototaip Pajero kedua diperkenalkan. Disebabkan Mitsubishi ingin mengekalkan konsep off-road yang santai, Pajero II masih memperagakan reka bentuk ala convertible.
Penampilannya yang kelihatan ringkas dan kukuh bertepatan dengan apa yang pengguna mahukan pada sebuah 4x4.
Dengan sambutan yang menggalakkan buat prototaip kedua ini, MMC berhasrat untuk membawa Pajero ke fasa produksi pada tahun 1982. Maka itu, bermulalah kehadiran Mitsubishi yang mendominasi pasaran 4x4.
Bagaimana nama “Pajero” terhasil?
Walaupun nama “Pajero” itu sesuatu yang lucah menurut bahasa Sepanyol, pemahaman MMC sebenarnya lebih kepada panggilan di Amerika Selatan yang bermaksud kucing liar (Leopardus pajeros).
Disebabkan itu, Pajero dikenali sebagai Montero di negara Sepanyol. Di United Kingdom pula, Pajero dikenali sebagai Shogun.
Debut pertama
Versi produksi Pajero dilancarkan di Tokyo Motor Show 1981. Pada mulanya, ia hanya ditawarkan dengan versi 3 pintu yang mempunyai jarak roda pendek. Pembeli turut diberi pilihan diantara bumbung jenis kanvas ataupun besi.
Ketika itu, hanya 3 enjin sahaja yang ditawarkan. Antaranya ialah enjin petrol 2.0L (4G63), enjin diesel 2.3L (4D55), dan enjin diesel turbo 2.3L (4D55T). Ketika itu, enjin diesel turbo dan susunan suspensi double-wishbone di depan dengan spring torsion bar adalah sesuatu yang unik buat kereta 4WD.
Tidak cukup dengan itu, Pajero turut hadir dengan ciri power steering, penyaman udara, dan kerusi bersuspensi.
Pada tahun 1983, Mitsubishi memgembangkan model Pajero dengan memperkenalkan versi 5 pintu yang mempunyai jarak roda yang panjang (LWB). Varian ini turut dikenali sebagai Pajero Wagon dan ia hadir dengan pilihan enjin petrol turbo 2.0L dan enjin diesel turbo 2.3L.
Pembeli yang berminat dengan Pajero LWB ditawarkan dengan 3 pilihan gaya badan yang memberikan kelegaan kepala yang berbeza iaitu Standard, Semi-High Roof, dan High Roof. Malah Pajero LWB turut hadir dengan sistem audio high-end dengan amplifier dan kerusi kulit.
Menariknya, Pajero LWB mempunyai konfigurasi 7 tempat duduk dimana kerusi baris ketiga boleh dilipat tepi untuk ruang tambahan. Pengguna juga boleh melipat kerusi barisan kedua untuk menghasilkan tilam.
Dari segi praktikal, Pajero pertama boleh dikira sebagai sebuah MPV.
Pembangunan lanjut
Pada tahun 1984, Pajero dikemaskini dengan ciri brek cakera (disc brake) pada keempat-empat roda untuk pemberhentian yang lebih mantap. Setahun kemudian, transmisi automatik 4 kelajuan diperkenalkan pada enjin diesel turbo.
Pada tahun 1987, varian teratas diperkenalkan dimana ia mempunyai warna badan 2-tona yang telah menjadi satu identiti. Uniknya, varian ini hadir dengan ciri pemanas kerusi depan, kerusi dengan balutan bulu, perehat kepala (headrest) kulit, dan roda stereng 3 bilah.
Pada tahun 1988 pula, Pajero didatangkan dengan beberapa enjin yang lebih berkuasa. Antaranya ialah enjin diesel turbo 2.5L dengan penyejuk dalaman (4D56) dan enjin 3.0L V6 (6G72). Untuk pengetahuan anda, enjin V6 ini agak laris di Malaysia. Selain itu, versi LWB diperbaharui dengan sistem suspensi coil link dimana ia memberikan pemanduan yang lebih selesa. Pada masa yang sama, suspensi yang lebih baru ini memberikan kemampuan off-road yang lebih tinggi.
Legenda rali
Pajero sewaktu menyertai kejohanan Camel Trophy
Walaupun menjadi sebuah 4x4 yang lebih selesa berbanding pesaing ketika itu, Pajero tetap berbisa di dalam cabaran off-road. Perkara ini dibuktikan dimana ia pernah menyertai kejuaraan Australasian Safari, Northern Forest di Rusia, dan juga Camel Trophy.
Debut pertama buat Mitsubishi di perlumbaan rali Dakar pada tahun 1983
Walau apapun, tiada apa yang lebih hebat daripada penyertaan rali Dakar Paris. Pada tahun 1983, selepas setahun Pajero dijual di pasaran, Mitsubishi berhasrat untuk bertanding di perlumbaan rali yang melelahkan. Walau bagaimanapun, Pajero gagal mencapai tahap podium. Namun demikian, cubaan itu adalah sesuatu yang cukup baik.
Setahun kemudian, Mitsubishi mendapat tempat ketiga di dalam kejohanan yang sama. Pencapaian ini telah memberi semangat yang tinggi buat Mitsubishi sehingga mereka naik menjadi juara buat kejohanan rali Dakar pada tahun 1985.
Pajero pertama memegang takhta yang kuat di pasaran sehinggalah tahun 1991 dimana ia digantikan dengan Pajero generasi kedua.
Melewati sejarahnya yang cukup unik, Pajero merupakan sebuah 4x4 yang cukup berkebolehan. Ia juga mempunyai jangka hayat yang panjang. Malah terdapat pemilik yang masih menggunakannya sehingga ke hari ini. Sebagai sebuah lagenda, Pajero telah menjadi aspirasi buat pemahaman SUV moden yang menjadi satu trend di pasaran sekarang.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.