Sejarah Perodua Kancil – 25 tahun yang mencipta kenangan rakyat Malaysia

Faisal · Nov 21, 2020 04:00 PM

Sebagai rakyat Malaysia, kita telah menyaksikan peningkatan yang ketara dari segi kualiti dan pembuatan produk tempatan. Dalam aspek pengangkutan, negara kita memiliki jenama kenderaan yang lahir dari tanah air sendiri. Untuk Perodua, model Kancil telah gagah bertakhta dalam membantu kehidupan rakyat jelata walaupun ia kereta pertama daripada syarikat itu.

Imej: todayonline

Faktor harga mampu milik juga telah memberikan peluang kepada masyarakat untuk memiliki kenderaan yang boleh diharap dalam merialisasikan potensi individu di dalam kehidupan seharian mereka. Maka itu, majoriti rakyat Malaysia mempunyai pengalaman dengan sebuah Perodua Kancil. Dengan itu, ia sering digelar sebagai kereta rakyat.

Sejarah pengeluaran

Pada Ogos 1994, Perodua Kancil pertama dirasmikan dengan harga RM 24,800. Menjadi model pertama Perodua, kereta ekonomi ini dibina berdasarkan Daihatsu Mira L200. Ia turut mempunyai format sebuah hatchback kompak tetapi dengan 4 pintu. Untuk pengetahuan anda, nama “Kancil” diambil sempena seekor haiwan bijak yang pernah muncul dalam cerita kanak-kanak zaman dahulu. Seperti haiwan tersebut, Ia mempunyai berat sebanyak 650 kg

Ketika pelancaran, Perodua Kancil hadir dengan dua varian iaitu 660 EX (manual 4 kelajuan) dan 660 GX (manual 5 kelajuan). Kedua-dua varian ini mempunyai enjin 0.6L yang menggunakan karburetor dimana ia menghasilkan 31 PS.

Pada Januari 1995, varian EZ dilancarkan. Varian yang berharga RM 28,900 ini hadir dengan transmisi automatik 3 kelajuan buat kali pertama untuk Perodua Kancil. Selain itu, ia menampilkan bampar yang berwarna, pengunci tombol gear, pelindung sisi (side protector molding), penanda kecemasan segi tiga, dan kit cedera.

Pada Ogos 1996, enjin 0.85L yang menghasilkan 37 PS diperkenalkan. Varian yang dikenali sebagai 850 ini hadir dengan pelarasan elektronik untuk tingkap di pintu hadapan (front power window).

Pada Ogos 1997, Perodua Kancil mendapat beberapa pembaharuan pada rekaan gril depan, trim di belakang, dan reka bentuk roda yang baru (12 inci). Di samping itu, ciri semburan pembersih cermin diperkenalkan buat kali pertama. Pada bahagian dalam pula, varian 850 dikemaskini dengan kluster instrument berwarna putih dan pelarasan untuk perehat kepala (adjustable headrest).

Dalam diam, Perodua sebenarnya berhasrat untuk mengeksport ke luar negara untuk meraih pasaran yang lebih besar. Pada September 1997, mereka melancarkan Perodua Nippa di United Kingdom. Pelancaran ini menjadikannya kereta yang termurah di sana.

Kembali ke Malaysia, varian EX Extra diperkenalkan pada May 1998 dimana ia menampilkan transmisi manual 5 kelajuan.

Pada tahun 2000, varian 850 menampilkan ciri pelarasan elektronik untuk cermin sisi.

Uniknya, Daihatsu turut menjenamakan semula Perodua Kancil untuk dipasarkan di Indonesia. Dikenali sebagai Daihatsu Ceria, ia dirasmikan di negara jiran pada Julai 2001.

Facelift

Pada September 2002, Perodua Kancil dikemaskinikan dimana ia menampilkan lampu depan dan lampu insyarat sisi yang berbentuk bulat. Pada bahagian belakang, grafik lampu diberi sentuhan yang lebih moden. Malah plat nombor kenderaan juga dipindahkan ke bahagian pintu but.

Pada bahagian dalam, kluster instrument diubah ke bahagian tengah dimana ia mengikuti trend Toyota Yaris dan Vios ketika itu. Sewaktu pelancaran, Perodua Kancil facelift hanya didatangkan dengan varian 660 EX dan 850 EX.

Pada Februari 2003, varian EZi diperkenalkan dimana Perodua memperkenalkan enjin 0.85L yang menggunakan suntikan bahan api. Uniknya, enjin yang menghasilkan 50 PS ini hanya dipadankan dengan transmisi automatik 3 kelajuan.

Risalah Perodua Kancil EXb hampir 20 tahun yang lalu

Untuk pembeli yang ingin berjimat sepenuhnya, Perodua menghasilkan varian 660 EX Basic yang hanya berharga RM 22,500. Varian ini menggugurkan pelindung sinaran matahari untuk penumpang hadapan, jam, visor pintu (door visor), pengelap cermin belakang, radio, sistem pengera (alarm), dan kunci utama (central locking).

Imej: piston.my

Pada pertengahan tahun 2005 pula, Kancil 850 EXS dilancarkan. Menariknya, ia hadir dengan pemain CD dimana ini adalah kali pertama buat Perodua Kancil.

Konklusi

Dengan jualan keseluruhan yang mencecah 730,000 unit, Perodua Kancil telah menjadi satu kejayaan buat penghasilan produk buatan tempatan. Untuk kereta pertama, ia telah menjadi satu populariti di kalangan masyarakat. Malah ia digunakan sebagai kereta rasmi untuk latihan sekolah memandu.

Dengan saiz yang begitu kompak dan badan yang cukup ringan, kereta ekonomi ini sangat mudah untuk dikendalikan dan menjimatkan minyak. Setelah 15 tahun di dalam produksi, pengeluaran Perodua Kancil dihentikan pada Julai 2009 bagi memberikan ruang untuk model pengganti iaitu Perodua Viva.

Komen

Berita Terkini

    Cek Lebih

    Model Terbaru