Model ini diperkenalkan pada Januari 1979 sebagai Celica "versi 4 pintu”. Walaupun menggunakan nama Celica, ia sebenarnya diasaskan oleh Toyota Carina yang berpacuan roda belakang.
Pada mulanya, Celica Camry hadir dengan enjin 4 silinder melalui kapasiti 1.6L (88 PS) dan 1.8L (95 PS). Pada tahun 1981, enjin 1.8L (100 PS) dengan suntikan bahan api elektronik (EFI) diperkenalkan.
Pada masa yang sama, pembeli ditawarkan dengan pilihan enjin SOHC 2.0L ataupun enjin DOHC (135 PS) yang khusus untuk varian 2000GT. Kesemua varian dipadankan dengan transmisi manual 5 kelajuan.
Tidak seperti varian biasa yang menggunakan suspensi Rigid Axle 4-link System, varian berprestasi tinggi ini menggunakan suspensi independent dengan susunan semi-trailing arm di belakang.
Toyota Camry (V10, 1982 - 1986)
Pada Mac 1982, generasi seterusnya buat Celica Camry dirasmikan sebagai “Camry”. Untuk maklumat anda, model ini merupakan Toyota pertama yang berpacuan roda depan. Menariknya, ia boleh hadir dengan ciri seperti kluster instrument digital dan pengesan kehabisan brake pad.
Pada bulan Julai, transmisi automatik 4 kelajuan dengan fungsi overdrive diperkenalkan, diikuti dengan enjin 2.0L SOHC EFI (120 PS) yang dipadankan dengan transmisi automatik 4 kelajuan ECT-S pada bulan Ogos.
Pilihan enjin diesel turbo 1.8L pula dirasmikan pada Ogos 1983 (kapasiti ditingkatkan kepada 2.0L pada tahun 1985). Enjin Sports Twin-Cam (160 PS) pula ditawarkan pada Toyota Camry bermula Jun 1984.
Generasi kedua (V20, 1986 - 1992)
Generasi baharu beransur pada Ogos 1986 dimana ia menampilkan rekaan yang lebih kemas untuk aerodinamik yang lebih baik. Kali ini, Toyota Camry mempunyai varian Prominent dimana ia menggunakan enjin 2.0L V6, trim kayu asli, kerusi elektronik, dan panel instrumen elektronik.
Disebabkan varian ini cukup mewah, ia dijenamakan semula sebagai Lexus ES 250 tetapi dengan kapasiti 2.5L (156 PS).
Kali ini, pembaharuan yang diterapkan pada Toyota Camry ialah ciri bar anti-roll di depan dan belakang, brek jenis disc di belakang, pilihan pacuan 4 roda, brek ABS, dan kawalan pelayaran.
Generasi ketiga (XV10, 1992 - 1996)
Dengan persaingan yang lebih sengit buat pasaran global, Toyota berhasrat untuk menggantikan Camry dengan sesuatu yang lebih besar. Maka itu, Toyota menjenamakan semula model Scepter untuk menyambung legasi Camry di pasaran dunia.
Dari segi tren kuasa, ia hadir dengan pilihan enjin 2.2L (140 PS) ataupun 3.0L V6 (200 PS).
Antara ciri baru yang hadir pada Toyota Camry ialah beg udara, kawalan cengkaman (TCS), dan Toyota Electronic Modulated Suspension (TEMS) – perubahan watak absorber mengikut keadaan.
Generasi keempat (XV20, 1996 - 2002)
Toyota Camry generasi keempat dilancarkan pada Disember 1996 dengan pilihan enjin 2.2L yang terdahulu ataupun enjin 2.5L V6 yang baru. Enjin yang menghasilkan 200 PS ini dipadankan dengan transmisi ECT-i.
Menariknya, ia boleh mengehadkan sampai gear 3 untuk pemanduan di kawasan bukit yang lebih cekap.
Selain itu, Toyota Camry didatangkan dengan beberapa ciri yang baru. Antaranya seperti penyaman udara automatik, cermin anti-UV, kunci kawalan jauh, kluster instrumen optitron, dan sistem navigasi.
Generasi kelima (XV30, 2002 - 2007)
Diperkenalkan pada September 2002, Toyota Camry generasi kelima menampilkan reka bentuk yang lebih moden dan berkelas. Ketika itu, Toyota Camry diiktiraf oleh ramai sebagai sedan yang bertaraf dunia. Malah ia adalah kereta keluarga terlaris di Amerika untuk 4 tahun berturut-turut.
Kali ini, Toyota Camry dibangunkan berdasarkan 3 aspek utama iaitu pakej, prestasi, dan keselamatan. Dari segi pakej, ia direka dengan cukup ergonomik. Uniknya, ia merupakan Camry pertama yang didatangkan dengan corong penyaman udara untuk penumpang belakang. Dari segi prestasi, Camry generasi kelima diasaskan oleh platform baru, rekaan suspensi yang baru, serta gabungan enjin VVT-i & transmisi Super ECT.
Di pasaran besar, Camry turut ditawarkan dengan enjin 3.0L (210 PS) dan 3.3L (225 PS). Di Malaysia, pembeli ditawarkan dengan enjin VVT-i 4 silinder melalui kapasiti 2.0L (144 PS) ataupun 2.4L (154 PS).
Dari segi keselamatan, ia hadir dengan ciri baru seperti lampu HID, kawalan kestabilan, dan beg udara sisi.
Di mata dunia, Toyota Camry generasi kelima di pasaran Malaysia digelar sebagai "Camry Prestige".
Generasi keenam (XV40, 2007 - 2012)
Dengan impak pada generasi yang terdahulu, Toyota berhasrat untuk menyambung penerajuan Camry dengan menaikkannya ke standard yang baru. Kali ini, tempat duduk di belakang mempunyai lantai yang rata untuk keselesaan yang maksimum.
Antara ciri baru yang hadir ialah penyaman udara Plasmacluster dengan kawalan 2-zon, keyless entry & butang push-start, pelindung matahari untuk cermin sisi, dan butang pelarasan kerusi depan untuk penumpang belakang.
Dari segi tren kuasa, enjin V6 yang hadir pada generasi terdahulu digantikan dengan enjin 3.5L V6 Dual-VVT-i (268 PS). Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan Super ECT. Di samping itu, ini adalah Camry pertama yang ditawarkan dengan tren kuasa hibrid (2.4L, 188 PS). Ia dipadankan khusus dengan transmisi eCVT.
Di Malaysia, pembeli ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0L (147 PS) dan 2.4L (167 PS) yang sama seperti generasi sebelumnya tetapi varian 2.4L dipertingkatkan dengan transmisi automatik 5 kelajuan.
Generasi ketujuh (XV50, 2012 - 2017)
Toyota Camry generasi ketujuh memperagakan rekaan yang lebih tajam. Selain tren kuasa V6 yang terdahulu, generasi ini memperkenalkan beberapa tren kuasa yang baru. Antaranya ialah enjin 2.0L VVT-iW (167 PS) dan 2.5L Dual-VVT-i (181 PS). Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan Super ECT.
Selain itu, enjin hibrid dipertingkatkan ke 2.5L (205 PS). Sepanjang keluarannya di Malaysia, pembeli ditawarkan dengan enjin 2.0L VVT-iW, 2.5L Dual-VVT-i, dan 2.5L Hybrid Synergy Drive.
Antara ciri baru yang hadir pada Toyota Camry ialah lampu LED, sistem audio JBL, pengecas telefon tanpa wayar, port USB, penyaman udara Panasonic Nanoe, amaran titik buta, dan Hill-start Assist.
Generasi kelapan (XV70, 2017 - sekarang)
Dengan pasaran yang semakin beralih ke SUV atau crossover, Toyota Camry generasi kelapan direka dengan pemahaman yang jauh lebih sporty. Untuk itu, ia dibangunkan oleh beberapa aspek utama. Antaranya ialah platform TNGA, enjin Dynamic Force 2.5L (203 PS), 3.5L (301 PS) & hibrid (215 PS), transmisi automatik 8 kelajuan, dan rekaan yang lebih menyerlah.
Pada masa yang sama, ia turut menampilkan teknologi yang serba canggih. Antaranya seperti Head-Up Display, kawalan pelayaran adaptif, sistem bantuan keselamatan ADAS, auto brake-hold, brek parkir elektronik, dan pembaca tekanan angin tayar.
Di Malaysia, Toyota Camry generasi sekarang hanya ditawarkan dengan enjin 2.5 V yang terdahulu tetapi masih dilengkapi dengan pelbagai ciri.
Konklusi
Toyota Camry sering dikenali sebagai sebuah sedan keluarga yang cukup selesa. Sejak keluarannya, jualan kini telah mencecah 20 juta unit di serata dunia. Di Amerika sahaja, ia telah menjadi kereta keluarga terlaris untuk 15 tahun berturut-turut.
Dengan perubahan drastik pada generasi terkini, Toyota Camry telah menjadi sebuah sedan yang begitu mantap untuk dipandu. Menariknya, ia masih mengekalkan aspek keselesaan dan jangka hayat yang panjang. Disebabkan itu, ia sering dianggap sebagai kereta eksekutif yang sejati.