Selepas ADV 150, giliran Winner X dilancar 'tak lama lagi' di Malaysia?
Khairil · Feb 10, 2021 11:59 AM
Sejurus pelancaran skuter yang paling dinanti-nantikan, Honda ADV 150 selesai minggu lalu, ramai tertanya-tanya apakah model berikutnya yang akan dibawa Boon Siew Honda (BSH) ke pasaran Malaysia selepas ini.
Di penghujung pelancaran yang dibuat secara maya berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Yoshitaka Nakamura berulang kali menyatakan sesuatu yang amat mengujakan iaitu 'tidak lama lagi.'
Sebagai info, ADV 150 adalah produk ketiga dilancarkan oleh BSH dalam tempoh empat bulan. Bermula dengan motosikal kruiser, Honda Rebel 500, ia diikuti dengan pelancaran model Sportbike paling ditunggu-tunggu, CBR250RR kemudian skuter ala 'adventure', ADV 150.
Justeru, masih ada slot yang kosong khususnya dalam kategori moped.
"Nantikan lebih banyak berita baik daripada kami tidak lama lagi. Tidak lama lagi. Saya tidak sabar untuk jumpa anda lagi," kata Nakamura ketika penghujung penstriman berkenaan.
Honda ADV 150 (kanan) dan Honda Rebel
Begitupun, tidak dapat diketahui apakah maksud 'tidak lama lagi' itu namun apa yang dapat dipastikan, akan ada lagi pelancaran model baharu daripada BSH akan berlaku pada tahun ini.
Sebagai info, jentera moped dengan rekaan futuristik, Honda Winner X dilancarkan di pasaran Vietnam pada 2019 dan sehingga kini, banyak negara termasuk Malaysia mahupun Indonesia masih belum menerima varian ini.
Berdasarkan informasi yang dikutip daripada laman-laman web popular automotif tanah air, pelancaran itu memang akan berlaku pada tahun ini namun hanya tarikhnya belum dapat dipastikan.
Ramai yang menjangkakan ia akan berlaku pada separuh kedua atau pada suku keempat 2021 namun berdasarkan strategi pelancaran BSH dan kata-kata Nakamura itu, tidak mustahil ia akan dilancarkan lebih awal.
Sekalipun populariti dan penjualan Honda RS150R V2 tampak masih baik ketika ini, kehadiran pendatang baharu Yamaha Exciter 155 VVA yang turut dijangka dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor pada tahun ini dijangka akan menggugat trend berkenaan.
Yamaha Exciter 155 VVA
Bagi BSH, jalan terbaik adalah dengan melancarkan Honda Winner X yang jelas hadir dalam bentuk lebih segar, sporty dan berteknologi.
Bercakap pula mengenai namanya, ada pendapat menyatakan ia mungkin akan dikenali sebagai RS150R V3 namun pada pandangan kami, nama Winner X cukup sepadan dan amat sesuai bagi jentera moped berkenaan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen