Separuh harga Harrier - Adakah Toyota Corolla Cross separuh lebih teruk, atau lebih bagus?
Mersita · Jan 22, 2022 08:00 PM
0
0
Harga Toyota Harrier XU80 hampir dua kali lebih mahal daripada harga Toyota Corolla Cross V
Kedua-duanya berdasarkan platform TNGA, cuma tetapan berbeza
Adakah Harrier juga dua kali lebih bagus daripada Corolla Cross?
Kami di WapCar.my sememangnya peminat tegar Toyota Harrier XU80 atas sebab-sebab yang sangat ketara. Ia adalah antara pakej terbaik yang ditawarkan dalam segmen pasaran SUV premium. Ia sangat elegan luar dan dalam, ditambah lagi dengan pemanduan yang hebat. Bagi kami, ia kombo yang ‘hampir’ sempurna?
Kenapa ‘hampir’ sempurna? Baru-baru ini kami berpeluang mencuba Toyota Corolla Cross dan ia membuatkan kami tertanya; adakah Harrier (berharga RM 249,706, tanpa SST) betul-betul lebih bagus daripada Toyota Corolla Cross (RM 129,000, varian V, tanpa SST)?
Atas kertas – Harrier ada pakej spesifikasi hebat, tapi Corolla Cross yang lebih murah juga ada macam-macam untuk tanda harganya
XU 80 Toyota Harrier vs Toyota Corolla Cross
Perbandingan Spesifikasi
Kelengkapan
Harrier
Corolla
Cross V
Lampu hadapan LED
Ya
Ya
A/C
Automatik dwi-zon
Automatik dwi-zon
Kamera undur
Ya
Ya
Bumbung panoramik elektrokromik
Ya
Tidak
Pelaras stereng elektronik
Ya
Tidak
Pembuka but dgn. penderia kaki
Ya
Ya
Android Auto/
Apple CarPlay
Ya
Ya
Pengecas bebas wayar Qi
Ya
Tidak
Sistem audio
6 speaker
6 speaker
TPMS
Ya
Ya
Beg udara
7
7
ACC
Ya
Ya
FCW
Ya
Ya
AEB
Ya
Ya
LKA
Ya
Ya
Seperti yang anda boleh jangkakan, Corolla Cross pada tanda harga tersebut memberi saingan hebat dari segi kelengkapan jika dibandingkan dengan Harrier.
Ya, Harrier diberi pelbagai ciri menarik seperti bumbung kaca panoramik, pelaras stereng elektronik, dan pengecas bebas wayar. Namun, tak pernah sekali pun kami rasa Corolla Cross lokek dengan kelengkapannya.
Dengan kelengkapan ADAS penuh, 7 beg udara, dan juga pembuka but mudah diakses, semua ini standard bukan saja di dalam Harrier namun juga bagi Corolla Cross, varian V. Terima kasih, Toyota.
Luaran kereta – Harrier memang ‘ada kelas’, Corolla Cross pula ‘hensem rugged’
Terang lagi bersuluh, sekali pandang Harrier XU80 mata memang ‘lekat’. Ia mewah, elegan, berkelas tinggi. Dari aspek ini, memang ketara Harrier nampak lagi mahal daripada Corolla Cross. Memang patut dan padanlah dengan harganya yang tinggi, tak boleh disangkal lagi.
Rekaan badan luaran Harrier memang tampak premium
Dari dulu lagi, kami memang gemar dengan reka bentuk Harrier dan nampak gayanya pujian itu masih akan kekal lama lagi. Rupa bentuknya cukup menarik sehinggakan jika ia ditampal dengan lencana Lexus sekalipun, orang mungkin akan percaya ia datang dari jenama premium itu.
Bagaimanapun, ini tidak bermaksud Corolla Cross dianggap sebagai ‘saudara miskin’ bagi Harrier. Ia cuma membawa imej berbeza, dimana ia tampak lebih tegap dan lasak berbanding Harrier dan kualiti ini sememangnya ada di dalam Corolla Cross.
Ia membawa aura bak mini-RAV4 – dengan perincian plastik yang ranggi di sekeliling badannya. Dalam varian tertingginya buat masa ini iaitu varian V, ia dilengkapi dengan rim ‘diamond-cut’ 18 inci. Ia segak dan kacak dengan caranya yang tersendiri, menyeimbangkan garisan berlekuk dengan sentuhan lasak.
Pilihan kami dari segi rupa bentuk sememangnya Harrier, namun anda akan nampak sama mewah juga berada di dalam Corolla Cross. Reka bentuknya masih lagi menarik dan masih tinggi tarafnya. Itu baru dari luar, macam mana pula di dalam ruang kabinnya?
Ruang dalaman – Harrier memang premium, Corolla Cross dah mula nampak ‘kurang’ sikit
Ruang dalaman hebat dengan sentuhan premium
Apabila anda melangkah masuk ke dalam kereta barulah anda akan nampak jurang ketara anda dua kereta ini. Sejurus selepas anda melangkah masuk ke dalam Harrier, anda akan faham kenapa harganya begitu mahal.
Dari kualiti materialnya sehinggalah ke binaan kabin – ia adalah salah satu kabin yang paling sempurna buatannya dari Toyota. Dahlah ada bumbung kaca panoramik yang elektrokromik – tekan satu butang saja ia ‘tertutup’ kemas macam magik!
Bumbung kaca elektrokromik Harrier sumpah ‘cool’!
Semua titik sentuh utama dan ‘trim’ rasa hebat, premium dan bertaraf tinggi. Dengan mata tertutup, ruang kabin ini terasa se-premium kabin Lexus. Memang ‘best’.
Tapi, apa kekurangannya? Skrin sentuh infotainmennya di tengah-tengah tampak dan terasa murah – agak asing daripada keseluruhan kabinnya. Sistem audionya juga tidak begitu memberangsangkan.
Tak ada masalah pun, cuma tak cukup mengagumkan
Jika kedua-dua kereta diletakkan bersebelahan, ruang dalaman Corolla Cross nampak biasa sedikit. Sebenarnya, langsung tiada masalah dari segi kualiti, kemasan dan pemasangannya. Ia cuma terasa kurang mengujakan berbanding Harrier.
Jika diberi hanya satu pilihan kata-kata bagi menggambarkan ruang kabin Corolla Cross, perkataannya ialah “solid”. Ia cukup bagus dalam menjalankan fungsinya, memenuhi semua keperluan anda, tapi setakat itu sajalah.
Jika anda mencari kabin yang ‘fancy’ dan lebih menggiurkan, eloklah kiranya jika anda naiktaraf ke Harrier – dengan harga dua kali lebih mahal.
Pengalaman pemanduan – Harrier memang mantap, tapi Corolla Cross pun hampir sama hebat
Jika ruang dalaman Harrier boleh membuktikan siapa ‘bos’ kepada Corolla Cross, aspek pengalaman pemanduannya pula akan membuatkan anda tertanya-tanya kenapa Harrier jauh lebih mahal.
Dalam rebiu kami untuk Harrier, kami memang puji melambung-lambung tentang kualiti perjalanan dan pengendaliannya. Tak banyak SUV mahupun kereta yang mempunyai bakat hebat seperti Harrier.
Ini pendapat kami sebelum kami dapat Corolla Cross. Walaupun ia menggunapakai tetapan ‘torsion beam’ lebih ringkas di bahagian belakangnya, caranya mengendali permukaan jalan raya sama dengan Harrier dalam hampir semua situasi.
Tambahan pula, pengendalian Corolla Cross juga hampir sama hebat – dengan tindakbalas stereng yang padu, chassis yang responsif, dan kendalian kaki yang meyakinkan.
‘Suspension’ belakang jenis ‘double wishbone’ pada Harrier memang mantap
Ya, Harrier mempunyai lebih kelangsungan pada penghujungnya (disebabkan oleh double wishbone rear suspension lebih moden) yang memberikannya sedikit kelebihan, namun adakah kelebihan ini berbaloi bagi harga dua buah Corolla Cross?
Bagi aspek ini, jawapannya memang tidak. Yang penting, Corolla Cross sudah mempunyai 80 peratus daripada tahap penghalusan dan karakter pemanduan Harrier. Ini saja sudah cukup untuk meyakinkan ramai pembeli.
Enjin 2.0 liter Harrier lancar, tapi lemau sedikit
Selain itu, kami kurang berpuas hati dengan kecekapan enjin Harrier. Berbekalkan kuasa hanya 173 PS dan tork 203 Nm, Harrier kalah di lampu isyarat. Penghantaran kuasa lancar, tapi ia bukannya enjin yang berkuasa tinggi.
Memandangkan Corolla Cross mempunyai janaan kuasa lebih rendah (139 PS, 172 Nm), patutnya rasa kurang puas hati kami sama saja, bukan?
Hakikatnya, ketidakpuashatian ini jauh lebih serius jika anda terpaksa ‘korek poket’ sampai RM 249k berbanding RM 129k. Lagipun, Harrier 200 kg lebih berat, dan ini merugikan kuasa yang ada.
Tambahan pula, walaupun ada jurang dalam aspek kualiti, posisi pemanduan di dalam kedua-dua buah SUV ini sama tara. Memandangkan posisi pemanduan yang anda boleh perolehi dalam Corolla Cross sama selesa dengan Harrier, ini membuktikan kehebatan platform TNGA Toyota yang cukup sempurna bagi aspek penting diperlukan oleh pemandu.
Motif burung Harrier menghiasi ‘trim’ pintu, masih nampak ‘classy’
Bolehkah anda katakan yang Harrier patut jadi pilihan walaupun harganya boleh dapatkan anda dua buah Corolla Cross? Dalam hemat kami, tidak. Walaupun Harrier sudah cukup mantap, ada beberapa perkara yang kami kurang puas hati.
Ya, ada beberapa perincian di dalam Harrier yang membuatkannya lebih bagus. Namun dalam aspek yang lebih ketara, Corolla Cross sama padan dengannya ataupun kalah sedikit saja. Yang pasti, jurang harganya tidak menggambarkan jurang kualitinya sama sekali.
Sudut terbaik bagi Harrier XU80
Pendek kata, Harrier bukanlah dua kali lebih bagus daripada Corolla Cross. Ya, terdapat beberapa aspek yang boleh membuktikan taraf Corolla Cross dari segi harga, namun ia melangkaui jangkaan terutama dari segi kualiti pemanduan dan pengendalian. Spesifikasinya juga setaraf dengan Harrier.
Bagaimanapun, keputusan dalam pembelian tidak semestinya bergantung hanya pada angka dan harga semata-mata. Secara objektifnya, Corolla Cross lebih berbaloi. Namun, jika anda masih terpanggil untuk membeli Harrier, ia masih masuk akal. Kalau dah suka, pinang saja.
Apa-apa pun, perbandingan ini membuktikan betapa bagusnya Corolla Cross lebih lagi daripada perbandingan harganya dengan Harrier. Jika anda sedang mempertimbangkan Corolla Cross, anggaplah ini sebagai desakan untuk anda teruskan pembelian. Jangan lupa, ada varian hybrid juga untuk puaskan hati anda.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.