Sudah lebih lima bulan berlalu sejak Suzuki Malaysia memaparkan imej 'teaser' lampu hadapan sebuah model mirip motosikal moped Raider 150 Fi di laman Facebook rasmi syarikat berkenaan.
Tetapi malangnya, tiada perkembangan baharu atau susulan mengenai imej berkenaan yang disertakan dengan keterangan gambar "The King is Back" (Raja Sudah Kembali) itu.
Kepada sesiapa yang tidak tahu, Raider 150 Fi adalah generasi terbaharu bagi Suzuki Belang 150 yang pernah dijual di pasaran tempatan satu ketika dulu diberi julukan 'King' berikutan kapasiti enjinnya yang tinggi bagi model moped.
Justeru, imej berkenaan dan kapsyen itu sememangnya memberi petunjuk ia adalah generasi baharu motosikal moped berkenaan bakal kembali ke pasaran tempatan.
Namun selepas penantian selama beberapa bulan, ia boleh diibaratkan seperti peribahasa 'bagai menunggu buah yang tak gugur' sehingga laman Facebook itu yang agak aktif itu dilimpahi kata-kata cacian.
Selepas sekian laman, akhirnya timbul satu perkembangan menarik apabila salah satu laman web automotif iaitu Pandu Laju berjaya memperoleh foto intip kiriman pembaca bersama mesej ringkas 'Penampakan Belang FI di Malaysia'.
Menurut laporan laman web berkenaan, belum dapat dipastikan sama ada ia adalah benar-benar motosikal yang sedang menjalani ujian kerana imej berkenaan agak kabur dan beresolusi rendah.
Malah percubaan mereka untuk mendapat lebih maklumat mengenainya motosikal yang memang mirip Raider 150 Fi itu juga tidak berjaya.
Tetapi jika ia benar, ia menandakan kehadiran motosikal berkenaan ke pasaran tempatan sudah semakin dekat.
Meneliti lanjut laman Facebook Suzuki Malaysia, ternyata peminat jentera berkenaan memang ramai, namun ada diantara mereka sudahpun 'patah hati' dengan jenama berkenaan kerana tempoh menunggu yang terlalu lama.
Apa yang menyebabkan Raider 150 Fi atau kembarnya Satria 150 Fi (Indonesia) menarik perhatian adalah motosikal berkenaan mampu menghasilkan kuasa yang lebih tinggi berbanding pencabar utama dalam segmen berkenaan iaitu Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.
Ringkasan mengenai spesifikasi Raider 150 Fi, model berkenaan dijana enjin baharu menggunakan teknologi MotoGP bersesaran 147.3 cc, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang dipadankan dengan transmisi klac manual 6-kelajuan. Ia menghasilkan kuasa 18.2 Hp pada 10,000 rpm dan tork 13.8 Nm pada 8,500 rpm.
Sehingga kini, hanya itu perkembangan yang dapat dikongsikan ketika ini kerana Suzuki Malaysia memang gemar dan pandai bermain teka-teki.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.