'Supernaked' Triumph, Speed Triple 1200 RS 2021 tiba di Malaysia, harga asas RM 99,900!
Khairil · May 3, 2021 09:00 PM
0
0
Tahun 2021 nampaknya cukup rancak buat Triumph Motorcycles Malaysia. Apa tidaknya, baru saja memasuki bulan Mei, sudah beberapa model jenama berkenaan dilancarkan di pasaran tempatan dan terbaharu jentera 'Supernaked'Triumph Speed Triple 1200 RS 2021.
Sebagai model yang diperkenalkan buat pertama kali pasaran United Kingdom, negara kelahiran jenama itu pada Januari lalu, kehadiran jentera naked aras tinggi dari Triumph itu di Malaysia boleh dianggap sebagai pantas.
Tetapi, harganya tidak murah. Ia datang pada tanda harga asas RM 99,900 dan dengan hanya satu varian iaitu RS. Pilihan warna yang diberikan pula ialah Matt Silver Ice dan Sapphire Black.
Sebagai info, Triumph Motorcycles Malaysia melancarkan Triumph Trident 660 2021 dan Tiger 850 Sport 2021 di pasaran tempatan.
Sebagai jentera aras tinggi dan antara model terpenting dari Triumph, Speed Triple 1200 RS 2021 dilengkapi dengan enjin baharu bersesaran 1,160 cc, 3 Silinder Sebaris, DOHC, 12 Injap, Penyejuk Cecair.
Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan turut dibekalkan dengan teknologi assist & slipper clutch dan Triumph Shift Assist up-and-down quickshifter.
Kuasa maksimum yang boleh dihasilkan daripada enjinnya juga kini setara dengan beberapa pencabar lain daripada kelas Supernaked iaitu 177.5 Hp pada 10,750 rpm dengan tork maksimum 125 Nm pada 9,000 rpm.
Sekalipun jumlah kuasa yang dihasilkan tidak mencapai angka 200 Hp, ia begitupun 30 Hp lebih tinggi daripada model sebelumnya. Ia turut dibantu oleh berat keseluruhan jentera berkenaan yang 10 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya.
Sebagai model yang dikemaskini sepenuhnya, Triumph mendakwa Speed Triple 1200 RS 2021 bukan saja menjanjikan peningkatan kuasa, malah kelajuan dan juga pengendalian yang lebih cemerlang.
Ia turut dibantu dengan nisbah kuasa dan berat (198 kg) yang dimiliki jentera berkenaan yang dikatakan seimbang.
Kembali kepada sudut pengendalian, Triumph Speed Triple 1200 RS dipadankan sistem suspensi yang terbukti kualitinya daripada jenama Ohlins dengan ciri boleh laras sepenuhnya.
Sistem brek pula menggunakan brek dwicakera kaliper 4 angkup dari jenis Brembo Stylema dengan saiz 320 mm di bahagian depan dan cakera tunggal 220 mm di bahagian belakang bersama Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Untuk pasaran Malaysia, tayar 'Standard kilang' yang diberikan ialah Metzeler Racetec RR.
Antara teknologi canggih yang dipandankan dengan Triumph Speed Triple 1200 RS ialah Optimised Cornering ABS, switchable Optimised Cornering Traction Control (with IMU), 5 mod tunggangan termasuk mod Track, cruise control dan front-wheel lift control.
Seperti motosikal moden lain, ciri-ciri lain yang turut ditawarkan ialah sistem kunci keyless sepenuhnya, sistem sambungan My Triumph Connectivity System, paparan panel meter TFT berukuran 5.0 inci dan sistem lampu LED penuh dengan rekaan yang unik.
Menurut laman web Visordown yang sudah menunggang uji Triumph Speed Triple 1200 RS 2021 berkenaan di litar, sekalipun ia mungkin tidak 'setaraf' dengan Aprilia Tuono V4 atau Ducati Streetfighter V4 yang masing-masing mempunyai angka kuasa melebihi 200 Hp, ia setanding dengan jentera hebat lain seperti Honda CB1000R, KTM 1290 Super Duke dan Kawasaki Z H2.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.