Suzuki Motor Malaysia bakal lancar 2 model CKD tahun ini. Satria F150, GSX-R150?
Khairil ยท Mar 23, 2021 06:00 PM
0
0
Sudah hampir lapan bulan sejak Suzuki Motor Malaysia melancarkan 'teaser' mengenai kehadiran semula model yang disifatkan sebagai 'Raja' di laman Facebook rasmi syarikat berkenaan.
Tetapi selepas penat menunggu, tiada khabar lanjut atau berita baharu membabitkan teaser berkenaan yang menunjukkan bahagian lampu hadapan sebuah motosikal yang nampak seperti model Satria F150 yang dijual di pasaran Indonesia itu.
Sekalipun masih menanti, perkembangan itu tetap mengujakan terutama buat peminat jenama berkenaan di negara ini.
Dan selepas berbulan-bulan, timbul imformasi baharu mengenainya yang diperoleh daripada rakan media automotif tempatan mengenai tarikh pelancaran berkenaan yang dijangka berlangsung pada separuh kedua tahun ini.
Begitupun lebih menarik, bukan sahaja model Satria F150 atau berkemungkinan menggunakan nama Belang akan dibawa masuk, namun syarikat berkenaan turut akan akan membawa model yang amat dinanti-nantikan, GSX-R150 ke dalam pasaran tempatan.
Menurut Arena Motosikal, Suzuki Motor Malaysia kini sedang dalam proses untuk menyiapkan kilang mereka bagi proses pemasangan secara tempatan (CKD).
Mengimbau kembali, pada tahun 2016, pengilang motosikal Suzuki iaitu Suzuki Assemblers Malaysia mengambil keputusan untuk menutup kilang pengeluarannya di Prai, Pulau Pinang. Justeru, untuk mengeluarkan motosikal CKD, mereka pastinya memerlukan sebuah kilang pemasarangan.
Dan menurut Paultan.org pula, kedua-dua model berkenaan ketika ini sedang menunggu kelulusan VTA daripada JPJ dan sepatutnya tidak mengambil masa yang begitu lama untuk dilancarkan.
Berdasarkan spesifikasi Satria F150 di pasaran Indonesia, ia sememangnya sebuah jentera Super Moped yang berprestasi tinggi.
Menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 147.3 cc serta padanan kotak gear enam kelajuan, ia boleh menghasilkan kuasa sehingga 18 Hp, lebih tinggi daripada model terbaharu Yamaha, Y16ZR atau Honda RS150R.
Bagi GSX-R150, ia sememangnya sebuah jentera Sportbike kelas permulaan yang amat dinanti-nantikan di pasaran tempatan dan menjadi antara model paling laris di pasaran seberang.
Menariknya jika benar kedua-dua model ini akan dikeluarkan secara CKD, ia seakan memberi petanda bahawa harganya akan menjadi sedikit rendah berikutan keputusan kerajaan menawarkan pengecualian duti eksais 100 peratus untuk model-model motosikal di bawah 150 cc bermula 1 April 2021 sehingga 31 Disember 2021.
Apa yang pasti, perkembangan terbaharu ini amat dinanti-nanti dan bakal merancakkan industri permotoran tempatan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.