Top 10 - Proton Wira yang ‘rare’ dan unik!

Zamil Syaheer · Jan 14, 2021 11:59 AM

Nama Proton Wira ini memang sebati dengan rakyat Malaysia, macam nasi lemak. Model kedua keluaran syarikat nasional ini pada tahun 1993 selepas Proton Saga adalah model yang penting pada masa itu, dan sehingga kini masih ramai lagi yang meminatinya.

Berasaskan model Mitsubishi Lancer generasi keempat, Proton telah mencipta pelbagai jenis variasi model berasaskan platform Wira ini seperti Aeroback, Satria, Arena, dan juga Putra.

Jangan risau, model ni mesti ada punya. Tapi ianya bukan nombor satu dalam senarai ini! Imej dari Adam Photography.

Dalam rencana kami kali ini pula, penulis ingin memberi fokus khusus kepada model Sedan dan Aeroback yang ‘rare’ dan unik, bermula dari nombor 10 sehingga-lah Wira yang kami rasa paling 'ultimate'.

10. Proton Wira 2.0 Diesel

Imej dari Wayne Phang.

Tak banyak orang yang mengetahui fakta ini, tetapi Proton Wira merupakan kereta nasional pertama yang menawarkan enjin berkuasa diesel kepada orang ramai.

Ditawarkan pada tahun 1996, varian berkuasa diesel 2.0 liter 4 silinder SOHC 9 injap aspirasi natural 4D68 (dilabel sebagai 2.0D atau D) mencapai standard piawaian Euro 1. Ia menghasilkan 64 PS.

Imej dari Faizal Adaries.

Terdapat juga varian 2.0 turbodiesel (TD atau TDi) yang hanya dijual di pasaran Eropah yang menghasilkan 80 PS.

Ketika itu, pembeli Wira Diesel layak untuk mendapat pengurangan cukai jalan sebanyak 50% daripada kerajaan sebagai sokongan untuk kereta yang lebih bersih.

Poster dari zaman EON. Imej dari Haiqal.

Namun begitu, varian diesel ini dihentikan beberapa tahun kemudian kerana kurangnya minat pengguna akibat daripada kadar cukai jalan yang terlalu tinggi pada kenderaan persendirian yang menggunakan enjin diesel berbanding petrol dengan seseran yang sama (sehinggalah struktur cukai tersebut disemak semula pada tahun 2008).

Harga pada ketika itu bermula pada RM56,567.95 (solid) dan RM 57,249.81 (metalik).

9. Proton Wira 1.5 Special Edition (SE)

Varian 1.5 Special Edition (atau lebih dikenali sebagai SE) ini merupakan versi khas yang terakhir direka oleh Proton. Ia kemasan luar lebih aerodinamik, tempat duduk bucket, spring sport, panel meter sporty, tombol gear aluminium, pedal aluminium, spoiler GT, ekzos sport, dan rim 16-inci berspesifikasi GTi.

Menggunakan enjin 4G15 MPI yang telah ditala, ia menghasilkan 90 PS @ 6,000 rpm dan 126 Nm tork @ 3,000 rpm. Sistem ekzos pada Wira SE ini dikatakan menawarkan peningkatan kuasa sehingga 8 peratus. Terdapat dua pilihan transmisi iaitu automatik 3 kelajuan ataupun manual 5 kelajuan.

Untuk harga RM 49,000 pada tahun pelancarannya (2004), kami rasa ia agak berbaloi memandangkan anda mendapat pelbagai jenis kelengkapan serta pemanduan yang lebih menyeronokkan berbanding Wira standard. Hanya dua warna sahaja yang ditawarkan, iaitu Racing Red dan Black Rider.

8. Proton Wira 1.6 Millennium

Imej dari Wayne Phang.

Proton Wira 1.6 Millennium ialah model Aeroback dengan warna Lake Green metalik istimewa yang dikeluarkan sebagai tanda memasuki era Millennium (2000) pada masa itu.

Spesifikasi dan kit badan sama seperti Wira Edisi Piala Thomas di atas. Kami tidak dapat pastikan harganya berapa pada masa itu, tetapi kami yakin ia berada di julat harga Edisi Piala Thomas.

7. Proton Wira 1.6 Edisi Piala Thomas

Imej dari Adam Photography.

Sebagai salah satu cara untuk Proton menunjukkan sokongannya kepada pasukan badminton negara kita dalam Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Thomas dan Kejuaraan Uber Cup KL 2000, EON telah menghasilkan ‘Edisi Piala Thomas’ khas berdasarkan sedan Proton Wira 1.6XLi yang popular.

Stiker khas. Imej dari Adam Photography.

Wira 'Edisi Piala Thomas' dengan warna biru metalik dengan harga RM63,182.67 (dengan insuran) sama dengan Wira sedan biasa dengan warna metalik. Bezanya, ia dilengkapi stereng kulit, penutup pintu baru, dan tempat duduk 'semi-bucket' kulit.

Ciri-ciri tambahan termasuk skirting hujung depan baru, jalur cermin depan berwarna, jalur khas, lencana Logo Piala Thomas, rawatan lampu depan 'gelap' dan antena "bee-sting" di atas bumbung.

6. Proton Wira Executive 1.5/1.6

Imej dari Haiqal.

Wira standard tak cukup luas? Jangan risau, kerana Proton juga pernah menawarkan Wira varian Executive dengan jarak roda 254 mm panjang berbanding standard.

Imej dari Bayen.

Menariknya, anda boleh memilih samaada anda inginkan model Sedan ataupun Aeroback. Memang gempak betul Proton pada masa itu.

Luas ooo. Imej dari Bayen.

Berbanding Wira Grand Limousine, interior Executive sama dengan Wira standard kecuali tambahan trim kayu di papan pemuka.

Imej dari Haiqal.

Proton menawarkan Wira Executive dengan 2 jenis enjin iaitu 1.6 liter 4 silinder 4G92P (113 PS dan 137 Nm) dipadankan dengan transmisi 4 kelajuan automatik dan 1.5 liter 4 silinder 4G15P (85 PS dan 123 Nm) dengan transmisi 3 kelajuan automatik.

Imej dari Bayen.

Pada mana yang bajet tak cukup tinggi pada masa itu tapi inginkan ruang yang lebih dibelakang, bolehlah beli varian 1.5 liter. Harga berdasarkan senarai harga tahun 1996 adalah seperti berikut:

  • 1.5 GL Sedan RM 71,969.58
  • 1.6 XLi Sedan RM 80,981.67
  • 1.6 XLi Aeroback RM 79,160.80
  • 1.6 XLi Aeroback (dengan aksesori) RM 83,073.02

5. Proton Wira Grand Limousine 1.6

Terpaling panjang! Mana nak cari pintu ganti ni? Imej dari Bayen.

Executive tak cukup panjang? Ni dia! Model Proton Wira Grand Limousine ini sangat ‘rare’. Katanya hanya 25 unit sahaja yang dibina, menjadikan unit ini lebih ‘rare’ daripada Proton Satria R3. Ia mempunyai jarak roda tambahan 915 mm dari Wira sedan standard. Malah, ia juga dibuat Australia dan bukannya dipasang secara tempatan.

Antena belakang tu memang klasik. Imej dari Bayen.

Wira Grand Limousine ini dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri seperti:

  • televisyen dengan pemain video
  • antena TV ‘boomerang’
  • kemasan kulit "Connolly"
  • meja siap laci perahat kaki bersaiz penuh
  • cermin pembahagi ruang privasi antara depan serta belakang

Serba mewah. Imej dari Bayen.
  • sistem intercom dengan pemandu
  • lapik lantai belakang menggunakan bulu biri-biri
  • trim kayu di papan pemuka
  • lampu bacaan di tiang belakang
  • lampu suasana
  • bumbung dibalut PVC lembut

Imej dari Bayen.

Dari segi trenkuasa pula, ia menggunakan enjin 1.6 liter 4 silinder 4G93 dengan 113 PS dan 137 Nm tork. Tiada pilihan enjin lain. Mesti ada tertanya harganya berapa kan? Menurut broshur EON pada tahun 1996, harganya adalah RM 108,358.97; dah saing-saing Proton X50 dan Proton X70.

4. Proton Wira 1.8 EXI PERT (C99S)

Imej dari Wayne Phang.

Tanpa spoiler tiang gol, rim AAC 14 inci 5 lubang, dan warna Lake Green metalik yang nampak macam budak baik, memang varian EXI 1.8 PERT ini nampak sama seperti Wira biasa dengan sedikit perubahan.

Imej dari Mudah.

Namun jika anda seorang yang amat teliti, anda boleh lihat lampu depan dengan kemasan hitam, lip depan, antena radio bumbung di belakang tengah, lampu signal berwarna putih, dan juga rim 6 bilah.

Imej dari Mudah.

Berbeza dengan interior Wira 1.8 EXI LE, tiada tempat duduk Recaro, tombol gear dan juga stereng MOMO. Sebaliknya, tempat duduk dalaman disaluti dengan kain kulit, manakala panel meter dan radio pula berwarna perak. Perbezaan terbesar model ini ialah ianya dilengkapi dengan transmisi automatik 4 kelajuan.

Imej dari Wayne Phang.

Senang cerita, ini adalah Wira C99 versi ‘jinak’ dan ‘baik’ jika nak dibandingkan dengan tiang gol itu. Harganya pun sedikit ‘murah’ – RM 71,947.86 (berdasarkan senarai harga tahun 2003).

3. Proton Wira 1.8 EXI LE RS (C99S)

Jika anda rasa versi 1.8 EXI LE tak cukup luar biasa lagi, lihatlah varian RS (Racing Sport/Rally Sport). Hanya 50 unit sahaja dihasilkan, segala kelengkapan yang berat telah dibuang atau diringankan, termasuklah tingkap yang ditukar ke jenis manual dan bukannya elektrik.

Malah, ia tidak dilengkapi dengan tempat duduk Recaro beserta fabrik trim yang sama serta stereng dan tombol gear Momo. Senang cerita, interiornya sama dengan Wira 1.3. Hasilnya, varian RS ini hanyalah 1,030 kg sahaja.

50 unit model RS ini kebanyakkan dibeli oleh pasukan lumba kereta dan rali, jadi nak tengok atas jalan amatlah sukar sekali.

Untuk menjadikannya lebih kompetitif, Proton mendakwa ECU yang digunakan dalam versi RS masih lagi menggunakan 'circuit board' MMC yang ditala oleh Proton Motorsport. RS ini tiada rev cut mahupun speed cut, dan dikatakan mampu mencapai 9,000 rpm!

Meternya pun menunjukkan bacaan 260 km/j. Senang cerita, ini memang betul-betul jiwa kering punya Wira.

2. Proton Wira 1.8 EXI LE (C99S)

Senarai ini tak sah kalau kami tak sebut model 1.8 EXI LE, model ‘holy grail’ bagi peminat Proton Wira. Lebih dikenali sebagai Wira C99 atau Wira “spoiler tiang gol”.

Dibina khas untuk untuk memenuhi keperluan homologasi FIA (badan berkanun sukan permotoran dunia) yang memerlukan sekurang-kurangnya 2,500 unit yang ditetapkan oleh Kejuaraan Rali Dunia Group N.

Selain kit badan, ekzos tip berkembar, rim AAC 14 inci, brek depan serta belakang yang lebih besar, kerangka badannya telah dikuatkan dengan penambahan 20 poin kimpalan sirat berganda ('double stitch weld') di serata kerangka dan bar pengukuhan ('reinforcement bar') bagi menguatkan struktur dan mengurangkan tahap lentur ('body roll') ke jumlah yang minima.

Wira 1.8 EXI LE dikuasakan oleh enjin 1.8 liter 4G93P 4-silinder aspirasi natural menghasilkan 140 PS @ 6,500 rpm dan tork 167 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi 5 kelajuan manual.

Interiornya pula datang dengan tempat duduk Recaro Enjoy semi-bucket dengan kain fabrik Recaro di keseluruhan trim, beserta stereng Momo Daytona 3-bilah dan tombol gear Momo. Harga untuk kesemua kit ini? RM 72,235.10 dengan insuran (berdasarkan senarai harga tahun 1998). Berbaloi-baloi.

1. Proton Sembilu

Imej oleh Arkib Negara X.

Anda mesti ingat Proton Wira 1.8 EXI LE (C99S)  ini menduduk carta teratas dalam senarai ini, tetapi kereta inilah yang menjadi permulaan bagi model yang terkenal dengan jolokan nama “spoiler tiang gol”. Direka pada tahun 1994, Edaran Otomobil Nasional (EON), telah memperkenalkan Proton Sembilu.

Apa yang spesel tentang Sembilu ini adalah ia menggunakan enjin 2.0 liter 4 silinder turbo 4G63T dan juga pacuan semua roda (AWD) daripada Mitsubishi Lancer Evolution! Gila kentang!

Imej oleh Arkib Negara X.

Pihak EON ketika itu berkata "bahagian-bahagian yang diubahsuai akan dipasarkan kepada orang ramai apabila proses pengubahsuaian sepenuhnya selesai dalam tempoh kira-kira setahun lagi".

Antara pengubahsuaian yang dirancang untuk dilakukan dalam fasa seterusnya melibatkan "bahagian enjin, sistem suspensi dan gear untuk tujuan perlumbaan".

Abaikan dua bunga didepan ini - dekat belakang itu adalah Proton Sembilu! Imej dari Wayne Phang.

Perlumbaan yang dimaksudkan adalah Kejuaraan Rali Dunia (WRC) dibawah pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) yang merangkul pelbagai kejuaraan di bawah pemandu utamanya, lagenda rali Karamjit Singh.

Tun Dr Mahathir dengan Proton Sembilu. Imej dari Faizal Adaries.

Sayangnya, model Sembilu ini tidak dapat dipasarkan akibat mendapat tentangan dari pihak JPJ. Dari tentangan ini, Proton menggunakan badan asal Mitsubishi Lancer Evolution dan menukar lambang ke Proton untuk memenuhi kriteria homologasi Kejuaraan Rali Dunia pada masa itu.

Tetapi R&D kereta ini tidak dihentikan sebegitu sahaja, kerana ianya melahirkan bintang terbesar dalam sejarah Proton Wira iaitu model 1.8 EXI LE (C99S).

Konklusi

Semasa acara Wira Day pada tahun 2019. Banyak gila oi! Imej oleh Adam Photography.

Inilah dia serba serbi Proton Wira yang ‘rare’ dan unik sepanjang tahun pengeluarannya selama 17 tahun. Dalam 952,216 unit yang dijual, beberapa ribu dari nombor tersebut merupakan model yang ada dalam senarai diatas.

Proton Wira yang terakhir dijual pada tahun 2009, digantikan dengan Proton Gen.2 (Aeroback) pada tahun 2004 dan juga Proton Persona (Sedan) pada tahun 2007.

Legasi Proton Wira akan kekal sepanjang hayat dan kekal terpahat di dalam sejarah automotif Malaysia. Mana satukah Proton Wira kegemaran anda dalam senarai ini?

Komen

Up to 20% higher than average trade-in price

2021 Honda City Hatchback International Version

Upgrade

Add your car

Service powered by

Berita Terkini

    Cek Lebih

    Model Terbaru