Toyota GR Yaris 2020 dilancarkan di Malaysia – enjin 3-silinder berkuasa 261 PS, bermula RM 299k sahaja!
Faisal · Dec 17, 2020 08:00 PM
0
0
UMW Toyota Motor (UMWT) baru sahaja melancarkan hot hatch yang dinanti-nantikan: Toyota GR Yaris. Didatangkan sebagai model CBU dari Jepun, Toyota GR Yaris 2020 turut dilancarkan sekali dengan Toyota ViosGR Sport 2020.
Harga dan varian
Dibina berdasarkan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), pakej Performance Pack juga didatangkan secara standard buat pasaran Malaysia.
Toyota GR Yaris hadir dengan sistem pacuan semua roda dan tren kuasa seperti berikut:
Spesifikasi Toyota GR Yaris 2021 di Malaysia
Enjin
Transmisi
G16E-GTS
1.6L, turbo, 3-slinder
261 PS @ 6,500 rpm
370 Nm tork @ 3,000 - 4,600 rpm
Manual 6 kelajuan
Dengan Performance Pack, GR Yaris hadir dengan brek yang lagi mantap, anti-roll bar depan yang lebih tebal, roda BBS forged 18 inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S (225/40R18) dan limited-slip differential jenis Torsen.
Harga GR Yaris pula adalah seperti berikut:
Harga Toyota GR Yaris 2021 di Malaysia
Pembelian
Harga
Individu
RM 299,000
Syarikat
RM 299,407.20
Harga termasuk pengecualian cukai SST, tidak termasuk insurans
Di samping itu, UMWT turuh melengkapi GR Yaris dengan pakej Early Bird yang bernilai RM5,000 dimana pembeli akan menerima beg topi keledar, model GR Yaris yang berskala kecil dan program GR Yaris Driving Experience pada tahun 2021.
Dengan pakej sedemikian yang didatangkan standard, GR Yaris agak berbaloi memandangkan pesaingnya, Honda Civic Type R 2020 berharga RM 330k.
Yaris sahaja tapi harga mahal sebegini?
Untuk pengetahuan anda, ini bukan sebarang Yaris. Ia dibangunkan oleh Tommi Makinen (legenda kejohanan perlumbaan rali). Oleh itu, GR Yaris dipenuhi dengan teknologi rali.
Sebagai contoh, ia mempunyai sistem pacuan semua roda yang canggih. Malah sistem suspensi dan komponen pengendaliannya turut dikongsi oleh teknologi kereta lumba World Rally Championship milik Sebastian Ogier. Dalam erti kata lain, ia kereta rali untuk dipandu di jalan raya.
Pada masa yang sama, hot hatch ini mempunyai sistem GR-Four dimana ia boleh mengawal jumlah penghantaran kuasa ke setiap roda mengikut mod pemanduan yang dipilih.
Interior
Kabin GR Yaris kelihatan ringkas dimana ia bertepatan dengan falsafah kereta rali.
Walau bagaimanapun, ia masih mempunyai kelengkapan yang baik seperti penyaman udara 2-zon, Head-Up Display, infotainment 8 inci dengan 6 pembesar suara, dan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Walaupun kapasiti but belakang hanyalah 141 liter, kerusi belakang mempunyai fungsi lipatan 60:40 untuk memberikan kapasiti tambahan.
Ciri keselamatan
Selain daripada pengalaman pemanduan yang dikira menakjubkan oleh Top Gear, GR Yaris turut hadir dengan pelbagai ciri bantuan keselamatan ADAS oleh rangkaian Toyota Safety Sense (TSS). Antaranya ialah:
PreCrash System
Lane Departure Warning dengan Steering Assist
Dynamic Radar Cruise Control dengan Lane-tracing Assist
Automatic High Beam
Blind Spot Monitor dengan Rear Cross Traffic Alert
Selain daripada kawalan cengkaman dan kestabilan, GR Yaris juga dilengkapi dengan 6 beg udara dan peletak kerusi bayi ISOFIX.
Stok GR Yaris di Malaysia
Tempahannya sudah mula dibuka di Malaysia. Pembeli yang berminat ditawarkan dengan pilihan warna Super White II, Emotional Red 2, dan Precious Black. Seperti model Toyota yang lain, GR Yaris hadir dengan jaminan selama 5-tahun/perbatuan tanpa had.
Malangnya, pasaran Malaysia hanya memperoleh 200 unit sahaja. Jadi, anda harus cepat untuk memiliki salah satu daripadanya di cawangan GR Garage kerana kereta istimewa sebegini dikira sebagai sesuatu yang eksklusif buat industri permotoran di Malaysia.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.